Terokai kapal selam SMD Ouessant di Muzium Melaka

Tuesday, May 15, 2012

Publication: BH
Date of publication: May 14, 2012
Section heading: Sentral
Page number: 013
Byline / Author: Oleh Mohd Fahmi Mohamed Diah
Kini pengunjung kapal selam SMD Ouessant jenis Agosta 70 buatan Perancis yang menjadi muzium di negeri Melaka bakal berpeluang menerokai bahagian dalamnya tidak lama lagi.

Pengurus Besar Perbadanan Muzium Melaka (PERZIM), Datuk Khamis Abas berkata, pihaknya sedang dalam proses melaksanakan program itu dengan bantuan Kerajaan Pusat menerusi Kementerian Pelancongan.

Katanya, langkah itu diambil selepas pihaknya menerima banyak pertanyaan dan permintaan pengunjung yang berharap mereka dibenarkan meneroka bahagian dalam kapal.

"Kita sudah memohon peruntukan Kementerian Pelancongan berjumlah RM500,000 bagi membolehkan proses pembinaan pintu masuk dan tangga di kedua-dua bahagian tepi kapal berkenaan dilaksanakan.

"Selain itu, proses berkenaan akan turut merangkumi pemasangan sistem pendingin hawa dan udara dalam kapal untuk keselesaan pengunjung," katanya selepas Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang PERZIM 2011 di Muzium Rakyat, Jalan Kota dekat sini.

Hadir sama, Pengerusi Lembaga Pengarah PERZIM, Datuk Wira Hamdin Abdollah dan Timbalannya, Datuk Abdul Azis Abdul Ghani.

Harga tiket masuk ke Muzium Kapal Selam Melaka ketika ini adalah RM1 bagi dewasa dan 50 sen bagi kanak-kanak.

Kapal Selam SMD Ouessant jenis Agosta 70 yang kini dikenali Muzium Kapal Selam Melaka dan ditempatkan di Dataran 1Malaysia Klebang, dekat sini, sejak penghujung tahun lalu, adalah satu-satunya muzium seperti ini di negara ini serta rantau ASEAN.

Sebelum diletakkan di sini, kapal berkenaan pernah digunakan anggota Unit Kapal Selam Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) untuk melakukan latihan ketika ia masih ditempatkan di Perancis kira-kira lima tahun lalu.

Kerajaan Melaka sebelum ini merancang menjadikan muzium berkenaan sebahagian tarikan projek Kompleks Maritim Melaka yang akan dibangunkan di situ tidak lama lagi.

Mengulas lanjut, Khamis berkata, sejak dibuka kepada orang ramai, Muzium Kapal Selam Melaka berjaya menarik kedatangan kira-kira 82,000 pengunjung dari dalam dan luar Melaka termasuk antarabangsa.

Katanya, jumlah itu dijangka terus meningkat dalam tempoh terdekat ini khususnya apabila musim cuti sekolah bermula hujung bulan ini.

"Malah, kita jangkakan jumlah itu akan terus meningkat apabila kapal ini dibenar untuk diteroka di bahagian dalam kerana ramai ingin merasai sendiri pengalaman berada dalam kapal selam," katanya.

Mengenai tarikan terbaru bakal dibina di Kompleks Maritim Melaka, Khamis berkata, ia membabitkan pembinaan sebuah projek `Underwater World' dan sebuah replika Rumah Api Tanjung Tuan berhampiran Port Dickson.

0 Komen:

Post a Comment

 

ZONFINITI