Kementerian Belia dan Sukan (KBS) mencadangkan menetapkan had umur baru belia di negara bermula 15 hingga 30 tahun berbanding sehingga 40 tahun sebelum ini.
Menterinya, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata, perkara itu diputuskan bagi menggantikan dasar belia negara yang lama.
“Sudah tiba masanya kita menyelaraskan usia belia di negara ini. Kalau sebelum ini kita kata had usia baru 15 hingga 25 tahun, tetapi anjakannya begitu mendadak.
“Penetapan usia baru ini dilakukan supaya dapat menyesuaikan had usia belia di negara ini agar setanding dengan usia belia diguna masyarakat antarabangsa.
“Kita mahu lahirkan belia yang matang pada usia lebih muda. Had usia 15 hingga 30 tahun itu bersamaan dengan had usia belia di negara Komanwel dan beberapa negara jiran,” katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Penyelarasan Program Pembangunan Belia dan Sukan 2012 di Menara KBS, semalam.
Dalam perkembangan lain, Shabery berkata, Parlimen Belia percubaan akan diadakan pada 11 hingga 13 Mei depan, di Hotel Palace of The Golden Horses, dekat sini.
“Ia diadakan sebagai persediaan sebelum perlaksanaan penuh hujung ini.
“Dari segi strukturnya, kita mahu Parlimen Belia percubaan ini sama seperti Parlimen sebenar. Cuma, dari segi pelantikan mereka akan dilantik oleh persatuan atau majlis belia, institusi pengajian tinggi (IPT) dan sebagainya,” katanya.
Mengulas mengenai perkembangan itu, Shabery berkata, beliau menjangkakan sambutan karnival Himpunan Jutaan Belia yang akan diadakan pada 23 hingga 27 Mei depan lebih meriah berbanding tahun lalu.
“Kali ini Himpunan Jutaan Belia dijangka lebih meriah berbanding sebelum ini. Kita beri kebebasan kepada belia untuk menjalankan pelbagai aktiviti dan menunjukkan kreativiti mereka.
“Saya harap Himpunan Jutaan Belia dapat menjadi antara 10 karnival terbesar di dunia,” katanya.
0 Komen:
Post a Comment