Culik budak depan sekolah

Wednesday, May 16, 2012

“Saya gembira dan berterima kasih kepada semua pihak terutama polis yang berjaya mengesan dan mengembalikan anak saya dalam keadaan selamat,” kata M Santhi, 47, selepas anak perempuannya, T Purani, 9, ditemui semula semalam selepas diculik sejak kira-kira jam 3 petang kelmarin.

Menurutnya, anaknya ditemui di sebuah rumah di Jelutong, kira-kira jam 1.45 tengah hari semalam dalam keadaan selamat dan sihat.

Dalam kejadian kelmarin, mangsa dikatakan diculik di pekarangan sekolahnya di Sekolah Kebangsaan Khir Johari selepas tidak pulang ke rumah seperti biasa.

Kejadian itu disedari nenek mangsa yang kemudian menghubungi ibu kanak-kanak itu apabila mangsa masih tidak pulang seperti biasa.

Santhi berkata, sejurus menerima panggilan daripada ibunya, dia bergegas pulang dari tempat kerjanya di Prai.


“Ibu saya kemudian menemui pemandu van sekolah anak dikenali sebagai Bahyah yang memberitahu rakan anak saya ternampak Purani menaiki sebuah kereta ke arah yang tidak diketahui. “Bimbangkan keselamatan anak, saya membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Tengah (IPDSPT) dan pada masa sama, adik ipar turut menerima panggilan daripada seorang wanita yang meminta kami membayar RM24,850 jika mahu Purani selamat,” katanya ketika ditemui di IPDSPT, semalam.

Menurutnya, dia mengesyaki ia dilakukan seorang wanita dikenali yang berdendam dengannya berikutan pernah memarahi wanita itu sebelum ini.


“Apapun saya berterima kasih kepada semua pihak sehingga anak saya selamat ditemui,” katanya.

Timbalan Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Superintendan Baharudin Mustapha berkata, hasil maklumat awam dan risikan, pihaknya menyerbu sebuah rumah di Jelutong dan menahan seorang wanita berusia 23 tahun, semalam.

“Hasil penahanan wanita berkenaan yang juga rakan ibu mangsa, polis menemui semula kanak-kanak itu,” katanya ketika ditemui, semalam.

Katanya, polis masih mengesan beberapa lelaki yang dipercayai terbabit dengan kejadian berkenaan.

“Siasatan lanjut masih dijalankan dan polis percaya beberapa lelaki yang dikenali suspek wanita itu turut terbabit dan usaha mengesan giat dilakukan,” katanya. ~ Metro

0 Komen:

Post a Comment

 

ZONFINITI