Barack Obama sokong perkahwinan sejenis

Saturday, May 12, 2012

Presiden Amerika Syarikat (AS), Barack Obama sekali lagi mempertahankan sokongannya terhadap perkahwinan sejenis dengan menganggap ia merupakan langkah waras ke arah 'Amerika yang lebih adil' dalam satu majlis di Hollywood, lewat malam tadi.

Majlis tersebut dianjurkan aktor George Clooney bagi mengutip dana kempen Parti Demokrat, yang mana pelakon tersebut merupakan penyokong parti itu.

"Semalam satu sejarah baru tercipta. Kebenarannya, ia merupakan satu langkah logik yang sepatutnya perlu ada pada sebuah negara seperti Amerika, bukankah kita negara untuk semua? Bukankah semua rakyat negara ini patut mendapat layanan yang sama," katanya mempertahankan kenyataan yang dibuatnya kelmarin.

Obama percaya tindakan tersebut membuatkan negara ini lebih kuat, sehingga mendapat tepukan gemuruh mereka yang hadir pada majlis yang diadakan di kediaman Clooney.

Majlis yang menghimpunkan beberapa selebriti ternama Hollywood dan pemimpin utama Washington itu disasarkan untuk mengutip dana bagi kempen Obama selama enam bulan bagi mempertahankan jawatan, sebelum pilihan raya Presiden AS berlangsung.

Kira-kira 150 tetamu hadir dengan membayar AS$40,000 (RM120,000) setiap seorang bagi menyertai acara tersebut.

Keputusan Obama menyokong perkahwinan sejenis secara umum membuktikan sikap terbukanya dan dilihat ingin meraih sokongan terhadap namanya yang tenggelam sejak kempen pilihan raya Presiden 2008.

Bagaimanapun, pencabar utama beliau daripada Parti Republikan dalam kempen pilihan raya Presiden kali ini, Mitt Romney pula tidak menyokong perkahwinan sejenis dengan menyatakan perkahwinan hanya melibatkan penyatuan antara lelaki dan perempuan. - AFP

0 Komen:

Post a Comment

 

ZONFINITI