Piala Uber 2012 milik China

Sunday, May 27, 2012

China merangkul kejuaraan Piala Uber buat kali ke-12 dengan membenam musuh tradisi mereka Korea 3-0, semalam.

Hampir dikejutkan dalam saingan perseorangan wanita, jaguh No. 1 dunia, Wang Yihan bagaimanapun bangkit daripada ketinggalan 14-21, 16-20 untuk mengutip mata pertama tuan rumah dengan kemenangan sengit 14-21, 22-20, 2-13 ke atas Sung Ji Hyun.

Pasangan No. 1 dunia, Yu Yang-Wang Xioli terlalu unggul buat beregu Korea, Kim Ming Jung-Ha Jung Eun apabila melakar kemenangan 21-15, 21-13 untuk meletakkan China 2-0 di depan, sebelum pemain No. 2 dunia Wang Xin hanya mengambil masa 39 minit untuk mengesahkan gelaran milik negaranya, menumpaskan Bae Youn Joo 21-10, 21-16.

China merupakan pemenang terbanyak Piala Uber sejak kejohanan berpasukan wanita ini diperkenalkan pada 1957 dengan muncul juara 1984, 1986, 1988, 1990, 1992, 1998, 2000, 2002, 2004, 2006, 2008 serta 2012.

Jepun pernah memenangi Piala Uber sebanyak lima kali, diikuti Indonesia (3), Amerika Syarikat (3) dan Korea sekali.

Malah kemenangan semalam menyuntik semangat pasukan lelaki mereka yang akan turut berdepan Korea Selatan pada perlawanan akhir Piala Thomas, hari ini.

"Saya melihat ke arah trofi (Piala Uber) dan saya mula berfikir, bagaimana kalau saya kalah lagi dalam perlawanan ini seperti 2010?

“Kebimbangan itu membuatkan saya tiba-tiba mendapat kekuatan untuk membuktikan semuanya tidak betul.

"Saya tidak terfikir saya akan menangis di gelanggang hari ini tetapi apabila saya menjerit, air mata tiba-tiba mengalir di pipi dan kemudian saya memeluk Li Yongbo (ketua jurulatih China).

“Saya juga boleh melihat dia menangis, ia perlawanan yang penuh emosi,'' cerita Wang Yihan. - UTUSAN

0 Komen:

Post a Comment

 

ZONFINITI