North Carolina haram perkahwinan sejenis

Thursday, May 10, 2012

Pengundi North Carolina semalam meluluskan satu pindaan Perlembagaan yang mendefinisikan perkahwinan sebagai penyatuan antara lelaki dan wanita sahaja.

Kelulusan tersebut menjadikan North Carolina sebagai negeri ke-30 di Amerika Syarikat (AS) yang mengharamkan perkahwinan homoseksual.

Berdasarkan keputusan tidak rasmi pengundian di 35 kawasan sehingga malam tadi, sebanyak 58 peratus penduduk menyokong pindaan Perlembagaan itu, manakala 42 peratus menentang.

Beberapa hari sebelum pengundian itu, anggota Kabinet pimpinan Presiden Barack Obama melahirkan sokongan terhadap perkahwinan sejenis dan bekas Presiden, Bill Clinton membuat rakaman telefon menggesa pengundi menolak pindaan tersebut.

Pihak yang menentang pindaan tersebut turut mengadakan demonstrasi, melancarkan iklan di televisyen dan mengadakan ceramah.

Penyokong pindaan itu juga melancarkan kempen di televisyen, sementara pemimpin gereja menggesa pengundi menyokongnya.

Kedua-dua pihak dilaporkan membeli iklan berjumlah kira-kira AS$3 juta (RM9.3 juta) dalam kempen mereka.

Undang-undang North Carolina sebelum ini sudah mengharamkan perkahwinan sejenis seperti sembilan negeri AS lain, tetapi pindaan terbaru itu akan mengetatkan lagi undang-undang berkenaan. - AGENSI

0 Komen:

Post a Comment

 

ZONFINITI