Pendahulu liga seri dengan Kuala Lumpur, 16/05/2012

Wednesday, May 16, 2012

Pasukan Lions XII dari Singapura gagal meraih tiga mata penuh apabila seri tanpa jaringan menentang Kuala Lumpur dalam saingan Liga Super di Stadium Hang Jebat, Melaka malam ini.

Keputusan seri itu, bagaimanapun tidak mengubah kedudukan skuad bimbingan V.Sundramoorthy itu yang masih menerajui kedudukan liga dengan mengumpul 41 mata selepas mengharungi 21 perlawanan.

Negeri Sembilan pula merampas kedudukan ketiga liga dari Perak selepas menumpaskan pasukan bimbingan Norizan Bakar itu 3-1 di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi.

Skuad Rusa, bagaimanapun dikejutkan dengan gol pendahuluan pasukan pelawat menerusi Michal Kubala seawal minit keenam permainan.

Tersentak dengan jaringan tersebut, Negeri Sembilan yang dibimbing Mohd Azraai Khor Abdullah kembali menyusun strategi dan berjaya menjaringkan tiga gol menerusi penyerang import dari Cameroon, Jean Emmanuel Effa Owona pada minit ke-24 dan ke-66 serta Marian Farbak pada minit ke-83.

Perlawanan tersebut, sebelum itu dicemari dengan insiden pergaduhan pada minit ke-80 menyaksikan pengadil Rahmat Jantan melayangkan kad merah kepada pemain Negeri Sembilan Idris Karim dan pemain Perak Shahrul Nizam Mustafa.

Skuad Rusa diekori rapat oleh wakil kelab dari Terengganu, T-Team yang menewaskan Sabah 2-1 di Stadium Likas.

Dua gol T-Team dijaringkan oleh Mohd Fadzli Saari pada minit ke-29 dan ke-68 manakala gol tunggal tuan rumah dijaringkan pemain importnya dari Jerman, Hendrik A. Helmke pada minit ke-32.

Selangor pula kembali memberikan saingan dalam liga setelah mencatatkan kemenangan tipis 2-1 ke atas Felda United di Stadium Shah Alam.

Pemain tengah skuad Red Giants, Azidan Sarudin membuka tirai jaringan pada minit ke-37 selepas memanfaatkan bola muntah hasil sepakan Amirulhadi Zainal yang gagal ditangkap kemas oleh penjaga gol Felda United, Mohd Hamsani Ahmad.

Pemain lawan Farderin Kadir menyamakan kedudukan menerusi sepakan percuma pada minit ke-45 sebelum Azidan menjaringkan gol kemenangan Selangor tiga minit kemudian.

Terengganu pula sekadar seri 2-2 bertemu Sarawak di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah di Kuala Terengganu.

Dua gol skuad Penyu dijaringkan oleh Abdul Hadi Yahya pada minit ke-46 dan Edison Da Silva pada minit ke-67 manakala dua gol skuad Bujang Senang dijaringkan oleh Azizan Saperi pada minit ke-38 dan Khairul Azhar Eidroos pada minit ke-52.

Kedah kembali dirundung malang setelah tumpas 1-3 kepada PKNS Selangor di Stadium Darul Aman, Alor Setar.

Helmi Loussaief dan Mohd Nizaruddin Yusof meletakkan wakil kelab Lembah Klang itu di hadapan apabila masing-masing menjaringkan gol pada minit ke-45 dan ke-51.

Penyerang import Kedah dari Croatia, Vedran Gerc berjaya merapatkan kedudukan menerusi jaringan pada minit ke-58 sebelum Rudie Ramli melengkapkan kemenangan PKNS Selangor dengan menjaringkan gol ketiga pelawat pada minit ke-79. — BERNAMA

0 Komen:

Post a Comment

 

ZONFINITI