“Saya pernah cuba melarikan diri untuk mencari jalan pulang, namun usaha itu gagal kerana sudah kehabisan tenaga dan hampir pengsan,” kata Mohd Nazarudin Saidin, rakyat Malaysia yang diculik 10 lelaki yang menyerbu rumah sewanya di Indanan, Pulau Jolo, Selatan Filipina pada 8 Mei tahun lalu.
Mohd Nazarudin, 39, berkata cubaan melarikan diri itu dilakukan pada hari ke-10 sambutan Aidilfitri tahun lalu sebelum dia terkandas di dalam hutan kayu bakau.
“Memikirkan kepayahan yang perlu dilalui, saya membatalkan hasrat dan kembali semula ke lokasi kumpulan penculik terbabit sebelum diberi amaran supaya tidak melarikan diri,” katanya.
Mohd Nazarudin dibawa pulang ke tanah air semalam dan berada dalam keadaan sihat selepas keluar dari lokasi dia diculik pada jam 9 malam kelmarin.
Menurutnya, dia ditemani beberapa penduduk kampung di kawasan berkenaan menaiki bot menuju ke Sandakan dan tiba di situ jam 6.30 pagi sebelum terbang ke Kota Kinabalu bagi urusan dokumentasi.
“Saya tidak pasti berapa orang mengiring saya kerana dalam hati hanya berdoa supaya dapat kembali ke pangkuan keluarga.
“Sebaik tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pagi tadi (semalam), saya terus dibawa ke sini bertemu keluarga dan anak,” katanya ketika ditemui dalam sidang media di pejabat Kelab Putera 1Malaysia, di Jalan Kampung Attap, di sini, semalam.
Ketika diaju soalan mengenai perjalanan hidupnya sejak dia diculik, Mohd Nazarudin berkata, sepanjang setahun 13 hari berada di sana, dia serik dan tidak mahu kisah berkaitan cicak tokek yang hampir meragut nyawanya itu diungkit.
“Dalam sejuta orang diculik mungkin saya seorang selamat kerana apa yang saya tahu mereka yang diculik dan ditawan di sana pasti menemui ajal,” katanya.
Dia berkata, meskipun tidak dikasari sebaliknya dijaga dengan baik termasuk disediakan keperluan asas dan makanan, namun perasaan takut itu tetap ada di dalam hati.
“Selepas ini, saya mahu memulakan hidup baru dan mencari pekerjaan yang elok bagi menyara anak dan keluarga. Biarkan kisah saya ini menjadi teladan kepada anak muda di luar sana,” katanya.
Sementara itu, bagi ibu Mohd Nazarudin, Siti Hamdah Ahmad, 69, kepulangan anaknya itu hadiah Hari Ibu paling bermakna.
“Menggeletar seluruh tubuh sebaik melihat anak yang dirindui dan ‘hilang’ lebih setahun lalu berdiri di depan saya sampaikan tak mampu nak kata apa-apa lagi.
“Terima kasih kepada semua pihak yang bertungkus-lumus membawa pulang Mohd Nazaruddin ini, hanya Allah yang mampu membalas jasa anda semua,” katanya.
Difahamkan, pembebasan Mohd Nazarudin dibuat hasil rundingan Kelab Putera 1Malaysia bersama kumpulan penculik berkenaan, malah tiada sebarang wang tebusan dibayar kepada mereka.
Pada 15 Mei 2011, akhbar melaporkan kumpulan penculik menuntut wang tebusan 80 juta Peso (RM5.6 juta) bagi membebaskan Mohd Nazarudin yang disampaikan kepada isterinya menerusi ‘orang tengah’ yang juga ejen cicak tokek di negara ini.
Mohd Nazarudin dilaporkan berlepas ke Pulau Jolo pada 27 April 2011 bersama lelaki warga Filipina yang juga ejen cicak tokek sebelum ditahan kumpulan lanun terbabit pada 8 Mei.
Selepas rundingan keluarga mangsa pada 1 Julai 2011, wakil kumpulan penculik memberi kata dua kepada ibu Nazarudin supaya menyerahkan wang RM60,000 dalam tempoh seminggu atau pintu rundingan ditutup.
Pengalaman Nazarudin diculik
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 Komen:
Post a Comment