Meriam bunyi digunakan pada Sukan Olimpik London

Tuesday, May 15, 2012

Kementerian Pertahanan (MoD) Britain akan menggunakan senjata kontroversi dikenali sebagai 'meriam bunyi' semasa Sukan Olimpik London, yang akan bermula pada Julai ini.

Alat yang mengeluarkan bunyi kuat seperti bunyi jet pejuang ketika berlepas itu boleh membantu menyuraikan sebarang tunjuk perasaan atau perhimpunan.

Alat Akustik Jarak Jauh yang dikeluarkan di Amerika Syarikat itu turut akan digunakan untuk mengawal kemungkinan tunjuk perasaan ketika Kejohanan Bola Sepak Euro 2012 pada musim panas ini.

Alat itu telah diuji oleh MoD pada minggu lalu ketika satu latihan keselamatan besar-besaran sebelum temasya Olimpik London bermula.

Ia boleh disasarkan kepada kumpulan tertentu dan rakaman video ketika meriam bunyi itu digunakan ke atas penunjuk perasaan Kumpulan 20 (G20) di AS baru-baru ini menyaksikan orang ramai bertempiaran lari sambil menutup telinga.

Selain mengeluarkan bunyi kuat, ia juga boleh digunakan sebagai alat komunikasi bagi menyampaikan mesej kepada penunjuk perasaan seperti mengarahkan mereka bersurai.

Jurucakap MoD berkata, penggunaan meriam bunyi itu adalah sumbangan tentera kepada polis bagi memastikan keselamatan sepanjang berlangsung sukan berprestij itu. - AGENSI

0 Komen:

Post a Comment

 

ZONFINITI