Ajaran Ahmad 100 dipantau JAIS

Tuesday, May 08, 2012

Ajaran Ahmad 100 yang didakwa sedang bergerak aktif di Selangor dan merebak ke Melaka, kini dalam pemantauan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais).

Penolong Pengarah Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Jais, Sharom Maarof berkata, pihaknya sedang meneliti secara terperinci cara penyebaran ajaran yang berpusat di Wangsa Maju ini, bagi memudahkan sebarang pendakwaan dilakukan, kelak.

Menurutnya, Jais perlu mengumpul maklumat terlebih dahulu kerana ajaran Ahmad 100 ini masih baru dan belum difatwakan sebagai ajaran sesat.

“Kita sedang pantau dan mencari maklumat terperinci tentang ajaran ini, termasuk bagaimana ajaran ini disampaikan kepada orang ramai.

“Saya menyeru kepada orang awam supaya berhati-hati dengan orang perseorangan yang mencurigakan dalam menyampaikan ajaran bercanggah dengan Islam,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Sharom berkata, pihak bertanggungjawab menyebarkan ajaran sesat pada masa kini bijak dalam mengembangkan fahaman mereka, termasuk menerusi pertemuan orang perseorangan.

“Mereka sememangnya tahu jika bergerak menyebarkan ajaran kepada orang ramai di masjid atau surau, pergerakan mereka akan mudah dikesan,” katanya.

Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan pengakuan beberapa bekas pengikut ajaran Ahmad 100 yang diasaskan oleh seorang lelaki yang dikenali sebagai Ahmad.

Kumpulan ini bergerak secara sulit menerusi beberapa siri pertemuan rahsia di kediaman Ahmad selaku ketua ajaran terbabit bagi mengelak dihidu pihak berkuasa.

Difahamkan, misi Ahmad ialah melahirkan 25 pengikut yang beriman selain bernafsu menikahi 13 wanita.

Salah seorang daripada bekas pengikutnya, Abu (bukan nama sebenar), 37, kini terpaksa menerima hakikat rumah tangganya musnah gara-gara ajaran sesat itu.

Abu berkata, pada awalnya dia tertarik menyertai kumpulan itu selepas kagum dengan cara Ahmad yang menasihatinya supaya menjadi orang diredai dan dikasihi ALLAH SWT.

Seorang lagi bekas pengikut ajaran Ahmad 100, Kamal (bukan nama sebenar), 32, memberitahu, dia mula mengikut aktiviti Ahmad 100, sejak 2004, namun dibuang kumpulan itu kerana dikatakan tidak menerima ajarannya dengan ikhlas.

Sementara itu, usaha Sinar Harian sebanyak dua kali bagi mendapatkan maklum balas Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi), juga gagal kerana diberitahu kes tersebut masih dalam siasatan. ~ Sinar Harian

0 Komen:

Post a Comment

 

ZONFINITI