GUNUNG JERAI: MITOS , MISTERI, EKOPELANCONGAN

Friday, December 03, 2010

Daerah Yan bersempadan dengan daerah Kota Star, Pendang dan Kuala Muda menjadikan keseluruhan daerah Yan mencatatkan keluasan seluas 95.01 batu persegi bersamaan dengan 246.07 km persegi. Terdapat lima mukim di daerah Yan iaitu Mukim Yan, mukim Sala Besar, Mukim Sungai Daun, Mukim Dulang dan Mukim Singkir. Di sekitar daerah inilah dari jauh, saujana mata memandang tersergam megah sebuah gunung ibarat raksasa yang menjadi penjaga kepada kawasan sekitarnya dari sebarang ancaman musuh.



Gunung Jerai turut mempromosikan ekopelancongan iaitu Taman Rimba Rekreasi Gunung Jerai dan Muzium Perhutanan yang mendedahkan kepada pelancong tentang kepentingan hutan. Di samping itu juga, daerah Yan turut mempunyai empat buah pulau yang dijangka berpotensi untuk dimajukan sebagai salah satu sektor pelancongan.



Gunung Jerai adalah gunung berhutan jenis Dipterokarp yang mempunyai ketinggian 1217 meter dan menganjur ke Tanjung Jaya dipinggir laut Selat Melaka yang bersuhu 19-24 darjah celcius menjadikan gunung ini sebagai kawasan eko-pelancongan yang menarik untuk dikunjungi. Gunung Jerai merupakan salah sebuah tempat peranginan di negeri Jelapang Padi di mana tempat tersebut mampu memberi pelbagai pengalaman menarik seperti jungle tracking, perkhemahan serta menyertai kem motivasi.

Suasana Gunung Jerai kadang kala menimbulkan seribu satu pertanyaan dalam fikiran setiap pelancong yang mengunjunginya. Namun, keindahannya membuatkan pengunjung tidak serik untuk datang lagi. Keadaan pergunungan ini masih terpelihara dengan flora dan faunanya menjadikan kebanyakkan pencinta alam memilih lokasi perlancongan ini sebagai tempat untuk bersantai dan mendekatkan diri dengan alam semula jadi.

Menurut Noor Hidayah, 22, pelajar Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA), ”saya memilih kawasan pergunungan ini sebagai tempat untuk melakukan aktiviti perkhemahan dan kerana saya gemarkan kawasan perkhemahan ini yang tenang dan nyaman selain infrastrukturnya yang lengkap”. Katanya ketika ditemui di tapak perkhemahan Gunung Jerai.




Di samping itu, terdapat juga kawasan air terjun di Gunung Jerai untuk bermandi-manda sesuai bagi aktiviti sekeluarga. Muzium Perhutanan juga boleh dikunjungi untuk melihat khazanah hutan flora dan fauna. Pelbagai spesies hidupan boleh ditemui seperti orkid, rama-rama, serangga akuatik, katak, burung, periuk kera dan tumbuhan herba dipamerkan untuk tatapan umum dan untuk generasi baru. Bahan-bahan geologi yang menarik termasuk batu-batan berwarna warni, garnit, garnet dan monazite turut terdapat disekitar puncak gunung.

Kedudukan Gunung Jerai yang berdekatan dengan laut menjanjikan satu pemandangan yang cantik dan mengasyikan sekiranya dilihat dari puncak gunung. Panorama indah ibarat hamparan pemaidani emas yang terbentang luas dapat dilihat apabila musim padi masak tiba. Pelbagai kemudahan asas disediakan untuk pengunjung seperti tandas, wakaf, laluan pejalan kaki dan kawasan rekreasi seperti Titi Hayun, Seri Perigi, dan Batu Hampar.

Projek pembesaran Pusat Peranginan Titi Hayun menelan belanja sebanyak RM2.7 juta. Pihak Perbadanan Kemajuan Negeri Kedah (PKNK) bersetuju untuk membiayai proses pengambilan tanah yang bertujuan untuk pembesaran kawasan Rekreasi Titi Hayun. Chalet yang sedia ada tidak dapat menampung jumlah pengunjung yang mahu menggunakan fasiliti di Titi Hayun.

Melalui Titi Hayun, pengunjung boleh menggunakan Tangga Kenari 1,000 Tahun dan para pengunjung boleh mendaki anak tangga ini serta melalui trek hutan ke puncak Gunung Jerai melalui daerah Yan. Pengalaman mendaki ini pasti memberi 1001 pengalaman yang indah sambil menikmati flora dan fauna sepanjang perjalanan ke puncak gunung. Trek Jejak Warisan pula, bermula dari Muzium Arkeologi Lembah Bujang hingga ke puncak gunung mampu memberi cabaran kepada pengunjung yang menggemari aktiviti lasak.

Sungguhpun begitu, Gunung Jerai turut mempunyai mitosnya tersendiri. Di mana Gunung Jerai yang menganjur ke Tanjung Jaga di Selat Melaka ini telah menjadi panduan kepada pelayar-pelayar silam yang singgah berdagang di negeri ini. Gunung Jerai sering dikaitkan dengan mitos Raja Bersiong yang telah membuka kawasan penempatan dikaki gunung ini.

Menurut cacatan sejarah, Gunung Jerai yang terletak di daerah Yan ini telah lama menarik kunjungan pedagang Acheh ke daerah ini. Sebagai buktinya sehingga kini kebanyakkan penduduk kampung Acheh dan kampung Sungai Limau, Yan adalah berketurunan Acheh Indonesia.

Di Puncak Gunung Jerai terdapat sebuah batu besar yang berbentuk sebuah kapal dipercayai telah disumpah oleh Sang Kelembai iaitu gergasi yang mempunyai sakti. Kapal tersebut dikatakan telah dinaiki oleh Maharaja Merong Mahawangsa yang ketika itu ingin berlabuh di Pulau Jerai iaitu nama asal bagi Gunung Jerai.

Perigi Tok Sheikh yang terletak bersebelahan dengan kawasan air terjun Gunung Jerai ini pula dikatakan milik pendeta Arab yang dipercayai telah berlabuh di Sungai Baboor dan kini dikenali Sungai Merbok dengan tujuan menyatakan keindahan Islam pada pemerintah Kataha atau Kalaha iaitu Kedah. Tok Sheikh atau Sheikh Abdullah bin Sheikh Jaafar Kumiri adalah orang yang bertanggungjawab mengislamkan Raja Kedah yang pertama iaitu Maharaja Derbaraja (Sultan Muzaffar Syah) pada tahun 1136 masihi (531 hijrah).

Disebabkan Tok Sheikh ini dianggap sebagai manusia yang mulia maka air perigi Tok Sheikh dipercayai mampu menjadi penawar kepada pelbagai penyakit dengan cara meminum atau mandi dengan menggunakan air telaga ini. Padang Tok Sheikh, iaitu tapak masjid yang didirikan di zaman Sheikh Abdullah Yamani. Telaga Tok Sheikh tempat beliau mengambil air sembahyang dan sekeping batu rata seperti permukaan meja yang dipanggil Sejadah Tok Sheikh iaitu tempat beliau bersembahyang.

Kononnya ada gua dipanggil Gua Tok Sheikh di Gunung Jerai tempat orang sembahyang Jemaah. Di dalam gua tersebut masih boleh dilihat orang berdiri betul, ruku dan sujud dan dalam pelbagai rupa orang bersembahyang tetapi semuanya batu, kaku dan berlumut.

Walau bagaimanapun, Gunung Jerai ini menyimpan seribu satu misteri tersendiri yang sukar diungkap. Penduduk sekitar Gurun dan Yan, majoritinya mempercayai kawasan pergunungan ini merupakan kawasan penempatan bunian yang besar dan diperintah oleh raja bunian. Oleh sebab itu, mereka percaya kawasan pergunungan ini dijaga oleh orang bunian. Pelbagai peristiwa aneh dialami oleh pengunjung kawasan pergunungan ini apabila mereka datang dengan tujuan yang kurang baik. Pelbagai cerita misteri yang sukar untuk diterima oleh akal fikiran yang logik kerap di kaitkan dengan Gunung Jerai.

Menurut Ramli yang merupakan seorang pekerja organisasi yang bekerja di puncak gunung ini, “Sejak 20 tahun lalu pernah ternampak istana dan perkampungan bunian di pinggir air terjun berdekatan dengan Telaga Tok Sheikh. Beliau juga pernah berhadapan dengan jelmaan bunian yang menyerupai gadis cantik semasa menjalankan tugas. Akan tetapi, bagi Encik Ramli perkara seperti itu alah bisa tegal biasa”. Menurutnya lagi, “seorang pengunjung lelaki dalam lingkungan usia 20-an telah hilang pada awal tahun 2000.

Sehubungan itu, pelbagai usaha telah dilakukan untuk mencari pemuda tersebut termasuk menggunakan anjing pengesan tetapi gagal ditemui. Namun, selepas seminggu, pemuda tersebut dijumpai di sekitar kawasan air terjun. Malangnya beliau ditemui telah meninggal dunia dalam keadaan yang amat mengerikan di mana kepala dan badan telah bercerai dari badannya. Beliau dipercayai telah disorok dan dibunuh oleh orang bunian kerana kawasan air terjun dan hutan sekelilingnya adalah tempat perkampungan orang bunian”.

Katanya ketika di wawancara melalui e-mail. Biarpun pelbagai cerita misteri dikaitkan dengan gunung ini namun keindahan, keunikan flora dan faunanya serta ketenangan yang boleh dinikmati apabila berada di puncaknya mengatasi segala-galanya. Saujana pemandangan yang permai dan damai ini menjadikan Gunung Jerai tidak lekang dengan pelancong dari dalam mahupun luar negara.

Oleh: Noor Hidayah shafiee , Noriham Muda & Siti Norfarhana Anuar Shah



Rahsia Lulus Temuduga Kerja Kerajaan. Keterangan lanjut,sila klik sini

0 Komen:

Post a Comment

 

ZONFINITI