Ada menyangka, program realiti popular American Idol 10 (AI10) kurang seri dengan ketiadaan pengkritik lancang, Simon Cowel yang kini dibarisi aktres Jennifer Lopez dan penyanyi rock Aerosmith, Steve Tyler berganding bahu membantu juri tetap, Randy Jackson.
Ternyata AI10 masih terus mendapat perhatian ramai dan ini terbukti melalui sambutan menggalakkan uji bakat yang diadakan.
Sambutan penonton terhadap program antarabangsa ini cukup positif dan memberi impak pertandingan mencungkil bakat dalam bidang nyanyian ini masih relevan untuk diteruskan.
Malah Cowell mengatakan musim kali ini lebih baik berbanding sebelumnya. Penyertaan Cowell sejak 2002 banyak membantu menaikkan populariti program ini walaupun mengambil keputusan undur diri selepas musim kesembilan, tahun lalu.
Ketika ditemubual menerusi program The Oprah Winfrey Show dua tahun lalu, dia pernah menyatakan rating AI mula menurun hingga dia berasa bosan untuk terus bersama program berkenaan.
Pada 2009, penulis lirik Kara DioGuardi tampil menjadi juri keempat selepas Paula Abdul tidak lagi bersama AI manakala Ellen DeGeneres turut serta sebagai juri pada tahun lalu. Kata Cowell, barisan juri AI10 mula mendapat 'tenaga' semula, berkeyakinan dan kompetitif. Malah katanya, mereka sebenarnya 10 kali bekerja keras lebih daripada yang pernah dilakukan. "Hakikatnya, AI masih menjadi program terbaik dan saya tidak mahu menggagalkannya. Program ini bukan hanya fokus pada saya seorang kerana itu saya mengambil keputusan undur diri dulu dan mahu beri kelainan," katanya.
Merujuk pada AI10, Jennifer dan Tyler kelihatan lebih bertimbang rasa dalam mengkritik persembahan peserta berbanding Cowell yang bermulut lancang. Penyanyi Britain berusia 51 tahun, Tyler dikenali mempunyai nada suara 'nyaring' dan kerap memberi komen menyindir. Namun, Cowell pernah mengakui, dia menyesal mengenai kenyataan yang pernah dilemparkan menerusi program itu.
Katanya, ketika itu dia selalu fikir yang 'Idol' adalah dirinya, Paula dan Jackson. "Apabila orang lain sertai sebagai juri dan tanpa kehadiran Paula, saya berasakan program ini berbeza dan menjadi program terakhir saya sebelum mengundur diri. Ini mewujudkan atmosfera yang janggal," katanya.
Mnggu ini, 13 peserta beradu nasib meraih tempat untuk beraksi ke minggu seterusnya. Semua peserta mengadakan persembahan Khamis lalu disiarkan menerusi Astro - Star World (saluran 711), jam 6 petang.
Mereka ialah Casey Abrams, Naima Adedapo, Lauren Alaina, James Durbin, Ashthon Jones, Stefano Langone, Jacob Lusk, Scotty McCreery, Paul McDonald, Thia Megia, Haley Reinhart, Karen Rodriguez dan Pia Toscano.
Semua peserta diberi peluang menyampaikan lagu artis kegemaran mereka sendiri. Merujuk persembahan sebelum ini, tiga peserta, Naima, Ashthon dan Langone tersenarai dalam kategori 'wild cards' kerana menduduki kedudukan tercorot.
Namun, keputusan pengumuman program itu yang disiarkan menerusi Star World jam 6 petang semalam menyaksikan, Ashthon bersama Karen dan Haley mendapat markah terendah.
Menerusi undian penonton, keputusan akhirnya menentukan Ashthon tersingkir pada saingan minggu ini. Penyanyi berusia 24 tahun ini, gagal meraih sokongan 30 juta undian yang diterima pada minggu ini walaupun persembahannya menerusi lagu popular Diana Ross, When You Tell Me That You Love Me mendapat kritikan positif tiga juri, Jackson, Jennifer dan Tyler.
Pengacara Ryan Seacrest, menyatakan Ashthon masih berpeluang untuk terus bersaing dalam program ini menerusi peluang terakhir yang diberi juri sebelum penentuan Top 5 nanti.
Randy mengkritik, dia mempunyai sedikit kebimbangan terhadap persembahan Ashthon kali ini tetapi menyukainya apabila dia menunjukkan kematangan.
"Kamu memberikan fokus pada 'nota' ketika menyanyi secara 'tajam' atau mendatar dan kemudian membawa kembali bersama 'vibrato'. Saya fikir kamu berikan persembahan terbaik pada aspek itu," katanya.
Jennifer berkata, ia bukan masa untuk Ashthon terus bersaing. Keputusan yang dibuat penonton adalah sebulat suara.
Mengiringi kesedihan Ashthon, juara musim ketujuh, David Cook menyampaikan lagu popular gubahan semula, Don't You (Forget About Me) nyanyian asal band rock Scotland, Simple Minds. Pada minggu ini, bekas naib juara AI musim kelapan, Adam Lambert bersama Diddy-Dirty Money dan Skylar Grey turut muncul mengadakan persembahan sebagai artis jemputan.
Penyanyi lain membuat persembahan, Lauren menyampaikan lagu Any Man of Mine (Shania Twain), Abrams (With a Little Help From My Friends - The Beatles), McDonald (Come Pick Me Up - Ryan Adams), Pia (Ally By Myself - Eric Carmen), Durbin (Maybe I'm Amazed), Haley (Blue - LeAnn Rimes), Lusk (I Believe I Can Fly), Thia Megia (Smile - Michael Jackson), Langone (Lately - Stevie Wonder), Karen (I Could Fall in Love - Selena), McCreery (The River - Garth Brooks) dan Naima (Umbrella - Rhianna).
Untuk mengetahui profil peserta yang bertanding, peminat boleh melayari laman sesawang, www.americanidol.com/contestants. Maklumat dan berita terkini program kegemaran ramai ini boleh diikuti menerusi www.facebook.com/americanidol dan www.twitter.com/americanidol (@americanidol). Jangan lupa terus menonton program AI10, persembahan mingguan setiap Khamis, jam 6 petang manakala keputusan penyingkiran pada keesokan harinya waktu sama di Star World (saluran 711).
Juri American Idol mula dapat tenaga
Entri Lain
Permalink: Juri American Idol mula dapat tenaga
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 Komen:
Post a Comment