Legenda filem Hollywood, aktres Elizabeth Taylor meninggal dunia hari ini akibat diserang sakit jantung. Dia berusia 79 tahun.
Pemenang dua kali Anugerah Academy ini menghembuskan nafas terakhir di Pusat Perubatan Cedars-Sinai di sisi anak-anaknya selepas dimasukkan ke hospital selama enam minggu.
Taylor ketika hayatnya popular menerusi filem National Velvet, Cleopatra dan Who's Afraid of Virginia Woolf? dan dia kemudian semakin dikenali apabila berpacaran dengan aktor Richard Burton, yang kemudian menjadi suaminya.
Taylor dilaporkan pernah berkahwin sebanyak sembilan kali dengan lapan lelaki termasuk dua kali dengan Burton.
Dia pertama kali bertemu Burton pada 1963 ketika penggambaran filem Cleopatra, salah satu daripada filem termahal dan paling mendapat publisiti di Hollywood ketika itu.
Sebelum berkahwin dengan Burton pada 1964, Taylor pernah berkahwin sebanyak empat kali iaitu dengan Conrad Hilton, Michael Wilding, Michael Todd dan Eddie Fisher.
Namun, kebahagiaan yang dikecapi bersama Burton tidak bertahan lama apabila pasangan tersebut bercerai dan berkahwin semula pada 1975 dan selepas itu, Taylor berkahwin pula dengan John W Warner dan Larry Fortensky.
Pada zaman kegemilangannya, Taylor sentiasa mendapat perhatian meluas kerana kecantikan serta kehebatan lakonan dalam setiap filemnya.
Taylor juga dikatakan merupakan rakan karib raja pop Michael Jackson.
Taylor mula dilanda masalah kesihatan ketika menjalani penggambaran filem hit pertamanya, National Velvet dan pada 1961, dia menghidapi pneumonia di samping bertarung dengan masalah ketagihan alkohol serta ubat tahan sakit.
Pada 2004, Taylor disahkan menghidapi penyakit jantung tersumbat apabila menunjukkan simptom seperti keletihan dan sesak nafas.
Bagaimanapun, semangatnya masih kuat untuk meneruskan kempen amal Aids yang ditubuhkannya pada 1991 selepas kematian rakan seperjuangannya, Rock Hudson. - Agensi
0 Komen:
Post a Comment