Segmen Sehari Sebuah Buku di Malaysia Hari Ini (MHI)

Monday, March 14, 2011

Walau sekadar hebahan bahan bacaan terbaru di pasaran, segmen Sehari Sebuah Buku menjadi antara pengisian program Malaysia Hari Ini (MHI) yang ditunggu-tunggu penonton TV3.

Kebiasaannya segmen kira-kira lima minit itu membuka tirai program MHI yang memulakan siaran setiap hari seawal jam 7.15 pagi.

Sisipan khas yang membicarakan judul, genre, penulis serta ringkasan naskhah terkini itu direalisasikan bagi membolehkan pembaca mendapat maklumat terkini mengenai sesebuah penerbitan.

Perantara MHI akan memilih dua hingga tiga judul buku yang bakal berada di pasaran atau penerbitan mana yang terlaris pada bulan berkenaan.

Bagi hari tertentu, pihak MHI turut mengundang tetamu khas untuk mengupas perihal sesebuah buku yang dirasakan unik dan istimewa.

Bukan hanya penulis atau penerbit, penggemar sesuatu naskhah penerbitan juga turut diundang ke studio bagi memperinci apa yang mereka baca seterusnya berkongsi ilmu dengan penonton.

Antaranya ialah Ketua Editor Berita Publishing Sdn Bhd, Datuk A Kadir Jasin yang membicarakan buku A Doctor in the House: The Memoirs of Tun Dr Mahathir Mohamad ketika pelancarannya, baru-baru ini.

Bagi membolehkan interaksi tidak hanya membabitkan hos MHI dan tetamu jemputan, talian kepada penonton di rumah dibuka supaya semua pihak berpeluang mengemukakan pendapat mereka.

Biar hanya segmen singkat dengan masa yang agak terhad, Sehari Sebuah Buku bukan sekadar membantu mempromosikan sesebuah penerbitan sebaliknya mendidik semua generasi menghargai bahan bacaan.

Budaya membaca yang cuba dipupuk dikalangan masyarakat antara pemangkin yang membuatkan segmen ini terus mendapat tempat di hati penonton.

0 Komen:

Post a Comment

 

ZONFINITI