Sejarah mata wang Islam

Friday, March 04, 2011

Duit adalah medium yang penting dalam perniagaan pada hari ini. Sebelum duit diperkenalkan, pelbagai barangan digunakan sebagai pertukaran bagi mendapatkan sesuatu jenis barangan dan perkhidmatan seperti makanan, buah-buahan dan haiwan dalam sistem yang dikenali sebagai sistem barter.

Sistem ini membolehkan manusia memperolehi pelbagai barangan dan perkhidmatan yang mereka perlukan dalam kehidupan mereka daripada ahli masyarakat yang lain tanpa menggunakan medium yang dipanggil duit.

Sebelum tahun 696 Masihi, masyarakat Arab menghasilkan duit yang mempunyai pengaruh salah satu daripada dua kuasa besar pada abad ketujuh Masihi iaitu Kerajaan Sasanid atau Kerajaan Byzantium.

Mata wang itu digunakan oleh masyarakat Arab sebagai medium mendapatkan barangan dan perkhidmatan dalam urusan harian mereka selama 31 tahun selepas peristiwa hijrah. Kedua-dua pengaruh ini mempunyai gambar pemerintah di atas duit yang dikeluarkan.

Dinasti Umayyah di bawah pemerintahan Khalifah Abd. al-Malik ibn Marwan (685 – 705 Masihi) telah mengambil inisiatif mengeluarkan duit kerajaan Islam bagi menyatukan seluruh umat Islam ketika itu dengan menggunakan ciri-ciri duit Empayar Byzantium.

Dirham Dinasti Abbasiyah (Pemerintah : Abdullah Al-Saffah) Kufah 132 Hijrah
Diameter: 23.91 mm.

Maharaja Rom ketika itu merasa tercabar dan tidak mengiktiraf duit yang dikeluarkan oleh Khalifah Abd al-Malik. Khalifah Abd al-Malik menggunakan hiasan figura salah satu maharaja Byzantium pada satu permukaan syilingnya dan motif kaligrafi mengenai tahun ia dibuat pada satu permukaan yang lain.

Dalam sejarah Islam, penghasilan duit syiling dengan menggunakan seni hiasan Islam sepenuhnya bermula pada tahun 696 – 698 Masihi.

Duit ini menggunakan motif kaligrafi kufik di kedua-dua belah permukaan duit syiling yang dihasilkan. Gaya hiasan ini kemudiannya telah digunapakai selama beberapa ratus tahun oleh dinasti Islam yang lain di seluruh dunia Islam.

Pertukaran rekaan duit ini adalah sebagai tindak balas Khalifah Abd al-Malik selepas Maharaja Byzantium mengeluarkan rekaan duit yang sama dengan yang dikeluarkan oleh baginda.

Khalifah Abd al-Malik juga mengeluarkan dekri supaya duit yang dikeluarkan baginda digunakan di dalam wilayah pemerintahan Dinasti Umayyah sepenuhnya. Manakala duit yang dikeluarkan oleh Empayar Byzantium yang terdapat dalam wilayah Dinasti Umayyah telah dikumpulkan dan dileburkan semula bagi pengeluaran duit Dinasti Umayyah. Sesiapa yang ingkar akan dijatuhkan hukuman berat.

Oleh ROS MAHWATI AHMAD ZAKARIA





0 Komen:

Post a Comment

 

ZONFINITI