Intan Ladyana Nafi Bersekedudukan Kamal Adli

Wednesday, March 30, 2011

Aktres Intan Ladyana Mohamad Yahaya, 28, menafikan dakwaan tinggal serumah atau bersekedudukan dengan kekasihnya aktor Kamal Adli di sebuah kondominium di Ampang, Selangor.


Kata pelakon yang mesra disapa Intan itu, dakwaan tersebut adalah tidak benar sama sekali kerana hakikatnya mereka tinggal berasingan.

"Dakwaan yang mengatakan saya tinggal serumah dengan Kamal adalah tidak betul sama sekali. Kamal tinggal bersama keluarganya.

"Memang tidak betul sangatlah kalau ada yang mendakwa kami tinggal bersama macam pasangan suami isteri," katanya kepada mStar Online, Selasa.

Mengakui Kamal kerap berkunjung ke rumahnya untuk berjumpa atau keluar bersama, Intan bagaimanapun berkata, aktor itu hanya menunggu di bawah dan jarang masuk ke rumah kecuali atas hal-hal tertentu atau kecemasan.

"Saya tidak menafikan Kamal selalu datang tetapi tidaklah sampai masuk ke rumah, apatah lagi untuk tidur bersama pula.

"Kebiasaannya dia akan tunggu di bawah sahaja. Kalau pun keadaan memaksa dia untuk masuk ke rumah, kami tidak akan berdua-duaan. Pasti ada pembantu peribadi saya atau rakan-rakan lain juga," katanya.

Tambah pelakon filem Kembar Siang itu, dakwaan tersebut mungkin timbul kerana jiran-jirannya sering melihat kelibat Kamal berkunjung di kawasan kediamannya.

Tanpa mengetahui cerita yang sebenar, segelintir pihak mudah membuat tanggapan dan andaian masing-masing dengan menyebarkan cerita tersebut.

"Inilah masalahnya apabila orang mudah membuat andaian masing-masing tanpa mengetahui cerita sebenar. Namun, saya tidak kisah sebab perkara itu tidak berlaku," katanya.

Menyentuh perkembangan terbarunya, Intan baru sahaja menyambung kontrak sebagai pengacara untuk musim baru program Chopp!!! yang bersiaran di TV9.

0 Komen:

Post a Comment

 

ZONFINITI