MH370: Nelayan dakwa nampak pesawat terbang rendah pada awal pagi Sabtu

Wednesday, March 12, 2014

Nelayan dakwa nampak pesawat terbang rendah pada awal pagi Sabtu

Seorang nelayan mendakwa melihat sebuah pesawat terbang rendah kira-kira pukul 1.30 pagi pada awal pagi Sabtu semasa sedang memancing ikan di perairan Pantai Kuala Besar, dekat sini.

Azid Ibrahim berkata beliau memang biasa melihat pesawat terbang pada waktu di kawasan itu namun pesawat yang dilihatnya pada awal pagi Sabtu itu agak berbeza dengan yang disaksikannya sebelum-sebelum ini kerana terbang rendah.

"Saya memang nampak banyak pesawat lalu tetapi yang itu pelik, lain daripada lain. Saya buat biasa saja sebab saya sedang memancing. Selepas balik esoknya, saya dengar cerita ada kapal terbang hilang.

"Saya kata (pesawat) yang semalam itu barangkali tapi tak tentu juga sebab saya tak tahu. Cuma pada malam itu saya nampak cahaya terang yang rendah macam cahaya lampu, bukan cahaya terbakar," katanya.

Beliau kemudiannya membuat laporan polis selepas diminta supaya berbuat demikian oleh Bukit Aman.

Menurut Azid, kawasan tempat beliau memancing itu terletak kira-kira 8 batu nautika dari daratan Kuala Besar.

Sementara itu, tiada laporan penemuan sebarang petunjuk mengenai pesawat yang hilang itu daripada nelayan di sekitar Kelantan walaupun ada nelayan laut dalam yang menangkap ikan sejak seminggu lalu di kawasan terakhir pesawat malang MH370 terputus hubungan.

Pengarah Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Kelantan, Wan Mohd. Adnan Wan Ibrahim berkata lebih 4,000 nelayan termasuk kira-kira 400 nelayan laut dalam tidak menjumpai apa-apa petanda yang boleh dikaitkan dengan pesawat itu.

Wan Adnan juga berkata pihaknya sudah meminta semua nelayan termasuk yang berada di laut untuk turut sama membantu pihak berkuasa mengesan pesawat berkenaan di kawasan perairan negara termasuk lebih 100 bot nelayan yang masih menjalankan kerja menangkap ikan.

"Kalau ada penemuan mereka akan sebarkan kerana kita ada sistem komunikasi," katanya.

Wan Adnan juga memberitahu nelayan yang berada di laut boleh berkomunikasi sesama mereka serta menghubungi pihak KLIM.

Kebanyakan nelayan laut dalam menjalankan kerja penangkapan ikan selama berminggu-minggu bahkan hampir sebulan.

Sementara itu, seorang pemilik bot nelayan laut dalam, Nazori Yusuf hairan dengan kehilangan pesawat itu dan yakin ia tidak terhempas di laut dan tidak dapat dikesan kerana ramai nelayan yang menjalan kerja penangkapan ikan di perairan Laut China Selatan.

Katanya, bot beliau juga kini sedang menangkap ikan di kawasan yang dikatakan tempat kali terakhir pesawat itu dikesan dan pihaknya turut dihubungi oleh pusat komunikasi dari Patnam di Thailand selepas pesawat berkenaan diketahui gagal dikesan.

"Sejak (Ahad) dan pagi Isnin, saya menghubungi nelayan dan mereka kata tidak jumpa apa-apa. Saya yakin pesawat itu tidak ada di situ. Saya yakin," katanya.

Jelas beliau, sekiranya pesawat itu terhempas ke laut, pukat tunda dan pukat tarik nelayan mampu mengaut dan menarik sebarang objek di dasar laut dengan kedalaman sehingga 30 meter.

Tambah beliau, kawasan dasar laut perairan negara di Laut China Selatan tidak dalam dan rata-ratanya sekitar 100 meter dalam dengan dasarnya ada yang berbukit dan ada yang datar.

Nazori yang ada pengalaman 30 tahun jadi nelayan berkata kawasan yang dikatakan tempat terakhir pesawat MH370 itu dikesan juga tidak dalam, hanya sekitar 40 meter dan dasarnya mempunyai batuan.

Astro Awani

0 Komen:

Post a Comment

 

ZONFINITI