Selawat Perdana 1435H - Malam Cinta Allah dan Rasul 1435H

Friday, March 14, 2014

Selawat Perdana 1435H - Malam Cinta Allah dan Rasul 1435H

Misi penganjuran dan pengisian program Selawat Perdana 1435H - Malam Cinta Allah dan Rasul cukup mulia kerana bakal menghimpunkan seluruh umat Islam untuk mengagungkan kebesaran Allah SWT dan menjadikan Rasulullah SAW sebagai ikon untuk dicontohi terutama kalangan generasi muda di negara ini.

Bertemakan kesatuan, perpaduan dan persaudaraan, program anjuran Sekretariat Selawat Perdana yang mendapat sokongan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) Islam ini bakal berlangsung di Dataran Masjid Putra, Presint 1, Putrajaya jam 8 malam pada 21 Mac ini.

Lebih bermakna, program ini juga turut mendoakan misi pencarian pesawat MH370 serta keselamatan dan kesejahteraan semua 239 penumpang termasuk anak kapal yang hilang, sejak Sabtu lalu.

Presiden Gerakan Belia Gagasan 1Malaysia selaku Setiausaha Sekretariat Selawat Perdana, Shahrul Nasrun Kamarudin berkata, pihaknya juga menyasarkan seramai 500,000 orang untuk sama-sama merealisasikan program berkenaan.

"Program keagamaan bercorak santai ini untuk memupuk perhubungan sesama manusia yang berterusan tanpa mengira keturunan, darjat dan warna kulit, bahasa dan sebagainya. Contohnya, Rasulullah SAW juga sentiasa menghulurkan tali persaudaraan tanpa mengira latar belakang mereka.

"Pengisian program ini membabitkan budaya selawat, zikir dan qasidah yang mengajak umat Islam untuk mengingati Allah dan Rasulullah SAW sekali gus dapat menjadi pemangkin perpaduan umat Islam di sini.

"Ia juga untuk menyatukan seluruh umat Islam di negara ini untuk memupuk perasaan mahabbah iaitu cinta kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW melalui qasidah," katanya.

Shahrul ditemui di sidang media program Selawat Perdana 1435H - Malam Cinta Allah dan Rasul yang berlangsung di Hotel Royale Chulan Damansara barubaru ini. Hadir sama, penasihat Sekretariat Selawat Perdana, Datuk Noh Gadut.

Apa yang menarik, program ini menampilkan ikon agama nusantara dan pendakwah terkenal yang bukan calang-calang iaitu Habib Syech Abdul Qodir As Seggaf dan tausiyah pula bakal disampaikan penceramah bebas yang juga imam muda dan pencetus ummah, Habib Ali Zaenal Abidin.

Tidak ketinggalan, penampilan kumpulan nasyid terkenal tanah air seperti In-Team, Al Mawlid dan finalis program Imam Muda dan Pencetus Ummah.

Artis popular turun padang

Penganjuran program Selawat Perdana 1435H - Malam Cinta Allah dan Rasul turut disemarakkan dengan kehadiran barisan selebriti terkenal tanah air sekali gus sama-sama menyemarakkan lagi acara.

Antara selebriti mengambil bahagian ialah Datuk Rosyam Nor, Aziz M Osman, Zizan Razak, Mawi, Adira, Nora Danish, Erra Fazira, Shahir, Nabil Ahmad, Rita Rudaini, Johan As'ari, Hazama, Fizz Fairuz, Angah Raja Lawak, Jep Sepahtu, Tomok, Zahida Rafik, Irma Hasmie, Faizal Ismail, Puteri Sarah Liyana, Mila Jirin, Yatt Hamzah, Dazrin Kamaruddin, Abby Nazri, Adam AF, Corrie, Siti Nordiana, Atie AF, Fiify Natasha dan ramai lagi.

Ketika ditemui, Rosyam berkata, dia tidak mahu melepaskan peluang keemasan menjayakan program Selawat Perdana berkenaan.

"Sebagai orang Islam, saya berasa terpanggil untuk menjayakan program ini kerana pengisiannya yang cukup mulia iaitu untuk sama mengagungkan Allah SWT dan Rasulullah SAW.

Insya-Allah, saya akan hadir bersama keluarga untuk sama-sama memberi sokongan pada acara ini.

"Apapun, saya berharap program Selawat Perdana yang dianjurkan secara besar-besaran ini bukan saja menjadi acara tahunan sebaliknya dianjurkan pada setiap masa di negara ini," katanya.

Walaupun tidak dapat hadir pada malam Selawat Perdana, pelakon Adi Putra sentiasa mendoakan kejayaan program bercorak keagamaan itu.

"Saya tidak dapat turut serta dalam program Selawat Perdana kerana menunaikan umrah pada tarikh berkenaan.

Sebagai umat Islam, saya tetap akan mendoakan kejayaan program ini ketika di Makkah dan Madinah nanti.

"Insya-Allah, saya tidak akan ketinggalan untuk menjayakan program ini pada masa depan," katanya.

Bagi pelakon meningkat naik, Dazrin Kamaruddin pula, sesibuk manapun dengan agenda seni, dia tetap tidak mahu melepaskan peluang menjayakan program keagamaan berkenaan.

"Saya akan hadir tetapi bukan sebagai artis sebaliknya sebagai umat Islam yang turut sama untuk mengagungkan Allah dan Rasulnya. Saya juga berharap lebih ramai artis dan generasi muda di luar sana yang akan mengambil bahagian dalam acara ini nanti," katanya.

0 Komen:

Post a Comment

 

ZONFINITI