Penjelasan mukjizat, sihir, karamah elak syirik

Wednesday, March 12, 2014

Penjelasan mukjizat, sihir, karamah elak syirik

Tukang sihir dan dukun sering mempamerkan `kehebatan' mereka. Ada yang mampu tidur di atas taburan paku tajam tanpa mencederakan diri mereka dan ada yang boleh makan pecahan kaca seperti makan nasi.

Tidak dinafikan keajaiban berlaku dengan izin Allah SWT, tetapi kita perlu tahu perkara yang membezakan perkara hebat yang berlaku bagi mengelak syirik kerana makhluk yang kufur turut diberi kemampuan luar biasa.

Nabi Ibrahim tidak terbakar apabila dicampak ke dalam api oleh kaumnya. Itu adalah mukjizat Allah SWT kepada Baginda untuk meyakinkan kaumnya akan kekuasaan Allah SWT.

Mukjizat dan sihir, kedua-duanya di luar adat kebiasaan dan hukum alam. Oleh itu, kita perlu memahami perbezaan antara mukjizat dan sihir.

Mukjizat berasal daripada Allah SWT sebagai bentuk kemuliaan kepada nabi dan rasul-Nya, manakala sihir pula amalan syaitan. Tukang sihir dan dukun tidak mungkin dapat melakukan perkara aneh tanpa ada yang membantunya iaitu syaitan.

Firman Allah SWT yang bermaksud: "Mereka mengikuti apa yang dibaca oleh syaitan pada masa kerajaan Sulaiman (dan mereka mengatakan bahawa Sulaiman itu mengerjakan sihir), pada hal Sulaiman tidak kafir (tidak mengerjakan sihir), hanya syaitan itulah yang kafir (mengerjakan sihir). Mereka mengajarkan sihir kepada manusia." (Surah al-Baqarah, ayat 102)

Mukjizat bukti kewujudan Allah

Mukjizat berdepan dengan tentangan bersifat umum daripada mereka yang tidak mahu mempercayai dakwah rasul. Justeru, Allah SWT mengurniakan kelebihan luar biasa kepada rasul untuk membuktikan kewujudan Yang Maha Esa.

Berbeza dengan sihir, tidak ada pengamalnya yang berani memberitahu atau menunjukkan ilmu kepada umum. Mereka tahu akan ada pihak yang cuba menandingi kehebatan dan ini akan merugikan apabila orang sudah tidak mempercayainya lagi.

Syarat pelajari ilmu sihir jual agama


Ilmu sihir boleh dipelajari dengan syarat dia bersedia menjual agamanya. Allah SWT berfirman yang bermaksud: "Hanya syaitan-syaitan itulah yang kafir (mengerjakan sihir). Mereka mengajarkan sihir kepada manusia dan apa yang diturunkan kepada dua orang malaikat di negeri Babil, iaitu Harut dan Marut, sedangkan kedua-duanya tidak mengajarkan (sesuatu) kepada seorang pun sebelum mengatakan: Sesungguhnya kami hanya cubaan (bagimu), sebab itu janganlah kamu kafir. Mereka mempelajari dari kedua malaikat itu apa yang dengan sihir itu, mereka dapat menceraikan antara seorang (suami) dengan isterinya. Mereka itu (ahli sihir) tidak memberi mudarat dengan sihirnya kepada seorang pun kecuali dengan izin Allah. Mereka mempelajari sesuatu yang memberi mudarat kepadanya dan tidak memberi manfaat." (Surah al-Baqarah, ayat 102)

Sihir boleh dikalahkan baik dengan sihir yang lebih kuat atau zikir dan bacaan al-Quran. Allah SWT mengisahkan kekalahan sihir terhebat pada zaman Nabi Musa. Sihir tidak mampu berdepan mukjizat Nabi Musa.

Karamah diberi kepada wali


Karamah pula adalah kejadian menakjubkan di luar kebiasaan yang mungkin terjadi pada wali Allah SWT sebagai kemuliaan bagi mereka. Karamah diberi oleh Allah SWT kepada wali seperti yang diberikan kepada Ashabul Kahfi iaitu penjagaan dari kejahatan kaumnya dengan cara luar biasa iaitu mereka tidur selama 309 tahun dalam gua.

Karamah hampir sama dengan mukjizat kerana kedua-duanya datang daripada Allah SWT, tetapi karamah tidak diiringi dengan pengakuan kenabian.

Mukjizat, sihir dan karamah adalah perkara yang terkeluar daripada adat kebiasaan dan hukum alam. Justeru, kita perlu memahami perbezaan antara mukjizat, sihir dan karamah supaya tidak terjebak dalam perkara menyebabkan kita syirik.

Oleh Hashim Ahmad

0 Komen:

Post a Comment

 

ZONFINITI