Sejarah dan mitos Baling, Kedah

Monday, March 24, 2014

Sejarah dan mitos Baling, Kedah

Baling pernah dikaitkan dengan dua teori asal usul kewujudan daerah kedua terbesar di Kedah iaitu peristiwa Raja Ong Maha Perita atau Raja Bersiong dan perkataan Siam (Thailand) Ban-Lin bermaksud Kampung Kera yang masih dipercayai sehingga hari ini.

Teori pertama menurut Hikayat Merong Mahawangsa mengisahkan Raja Bersiong dari keturunan Merong Maha Wangsa yang gemar memakan sayur bayam dengan kuah darah manusia dan dianggap bersikap kejam. Baginda terpaksa melarikan diri dan mencabut gigi siong lalu membaling gigi itu akhirnya dikenali sebagai Baling.
Kolam air panas Kedah

Manakala, teori kedua dikaitkan perkampungan Siam dan Burma (Myanmar) diserang oleh kera yang memusnahkan hasil tanaman penduduk. Susulan itu, penduduk menamakan penempatan mereka itu sebagai Ban-Lin. Ban dalam bahasa Siam bermaksud Kampung, manakala Lin pula kera atau Kampung Kera.

Teori nama Baling

Untuk disesuaikan dengan penduduk yang bertutur dalam bahasa Melayu loghat Kedah, sebutan Ban-Lin lama kelamaan bertukar menjadi Baling.

Sebenarnya teori terbabit adalah cerita lisan yang diwarisi masyarakat di beberapa daerah tertentu di Kedah. Kisah ini diceritakan turun temurun sejak dulu lagi hing-galah ke beberapa generasi terutamanya di dalam daerah Baling ini sendiri.

Namun begitu, daerah yang mempunyai keluasan 1,530 kilometer persegi turut mempunyai sejarah pahit tersendiri iaitu peristiwa Rundingan Baling 1955, Ancaman Komunis 1972 dan Peristiwa Memali 1985 yang masih terpahat di hati penduduk daerah Baling.

Hari ini, Baling yang mempunyai lapan mukim semakin tersohor seperti daerah lain iaitu Alor Setar, Kubang Pasu, Yan, Kulim, Pokok Sena, Sik, Bandar Baharu, Langkawi dan Padang Terap yang mempunyai keunikan tempat pelancongan dan tidak terdapat di negeri lain.

Majlis Daerah Baling (MDB) sudah mula memajukan beberapa tempat menarik untuk dijadikan destinasi pelancongan. Ini termasuk menaik taraf Pusat Rekreasi Air Panas Ulu Legong.

Sejak 1998, MDB sudah membelanjakan kira-kira RM4.5 juta untuk menjadi pusat rekreasi air panas semula jadi itu sebagai destinasi pelancongan berkonsepkan kekeluargaan.

Pekan lama dan baharu

Tidak dinafikan bandar Baling hari ini sudah maju dan pesat membangun. Bagaimanapun, di sebalik kepesatan itu, keadaan pekan lama masih kekal.

Kepada pengunjung yang suka membeli-belah, pekan Baling Lama menjadi destinasi yang wajib dikunjungi kerana terkenal sebagai pusat membeli peralatan dapur seperti periuk, belanga, barangan plastik dan pakaian pada harga sangat berpatutan.

Oleh kerana tidak jauh dengan Pangkalan Hulu, Perak, tidak hairanlah penjual berani menjual barangan pada kadar lebih baik dari tempat lain.

Di pekan lama ini juga, mereka yang mencari makanan unik patut mencuba nasi hujan panas, nasi ayam periuk besar dan sate mamak yang boleh didapati di Baling.

Galeri Rundingan Baling

Daerah Baling juga agak sebati dengan sejarah pertempuran pasukan keselamatan negara dengan pengganas komunis. Ketika zaman darurat sehingga sekitar lewat 70-an, penduduk Baling sudah biasa mendengar bunyi letupan bom dan tembakan. Penduduk ketika itu juga kerap melihat angkatan tentera negara berkumpul dengan kelengkapan senjata di pekan Baling sebelum meneruskan operasi sama ada di Grik atau Pangkalan Hulu (dulu dikenali sebagai Kroh).

Untuk pengunjung yang menyukai sejarah Baling, Sekolah Kebangsaan Tunku Putra menyimpan kisah Rundingan Baling 1955 membabitkan Perdana Menteri Tunku Abdul Rahman dengan Setiausaha Parti Komunis Malaya (PKM), Chin Peng dan Rashid Maidin.

Disebabkan ia memberi nilai sejarah yang besar kepada negara, tempat rundingan itu dilakukan masih dikekalkan. Ini termasuk mewujudkan Galeri Putera untuk memberi peluang kepada pelawat mendapatkan gambaran atau membayangkan suasana rundingan itu berlangsung.

Jam simbol kemerdekaan

Turut tersenarai tempat sejarah Baling ialah Menara Jam Baling yang terletak berhampiran Masjid Jamek Baling. Masjid itu juga dikenali sebagai Balai Jam Merdeka yang dirasmikan oleh Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah pada 25 Februari 1959.

Menara ini dibina sebagai persiapan menyambut hari kemerdekaan Tanah Melayu dan hari ini dianggap simbol kemerdekaan yang terdapat di daerah Baling.

Lapan kolam air panas semula jadi

Pusat Rekreasi Air Panas Ulu Legong berubah wajah dari masa ke semasa selepas proses menaik taraf dilakukan untuk dijadikan lokasi pelancongan terkenal di daerah Baling

Setiausaha Majlis Daerah Baling, Yazlan Sunardie Che Yahya, berkata pusat rekreasi yang diambil alih oleh MDB sejak 13 tahun lalu, kini mengalami banyak perubahan dari segi kemudahan.

Pelbagai kemudahan

"MDB mewujudkan pelbagai kemudahan untuk orang ramai, contohnya menaik taraf surau, tandas, bilik persalinan lelaki dan perempuan, menyediakan tempat makan dan terbaharu menyediakan tempat penginapan untuk pengunjung yang berhasrat bermalam di sini.

"Kemudahan ini akan bertambah apabila MDB merancang untuk menjadikan pusat rekreasi ini sebagai taman tema mini dan mini I-City untuk menarik pengunjung datang sama ada siang atau malam," katanya.

Ketika ini, lapan kolam air panas semula jadi dibina dengan ciri keselamatan untuk kanak-kanak dan orang dewasa.

"Kolam terbabit memiliki ciri keselamatan dengan dilampirkan batu marmar kalis licin pada setiap kolam mandi wanita, kanak-kanak dan terbuka. Kami merancang untuk membina 12 wakaf dalam masa terdekat bagi kemudahan tempat rehat untuk keluarga jika mereka tidak menginap di sini," katanya.

Baling

- Baling adalah daerah kedua terbesar selepas Yan.

- Daerah Baling bersempadan dengan Betong, dan Pangkalan Hulu, Perak

- Keadaan muka bumi daerah Baling adalah tanah pamah di kawasan tengah manakala berbukit bukau di kawasan sempadan Thailand

- Baling mempunyai lapan mukim iaitu Siong, Baling/Bongor, Pulai, Kupang, Tawar, Bakai dan Teloi Kanan

- Baling turut mempunyai penduduk berketurunan Siam yang tinggal di Kampung Watt, Simpang Empat dan Tass.

- Baling juga mempunyai penduduk Orang Asli yang tinggal di Kampung Legong

- Gunung Baling yang terletak berhampiran Pekan Baling menjadi lokasi sukan lasak.

Oleh Zulhilmi Hat

0 Komen:

Post a Comment

 

ZONFINITI