Hakim syariah dipecat kerana hubungan sulit

Wednesday, March 05, 2014

Hakim syariah dipecat kerana hubungan sulit

JAKARTA: Dua hakim mahkamah rendah di Jambi, Sumatera Tengah, seorang daripadanya hakim mahkamah syariah, dipecat pada Selasa selepas didapati melanggar kod etika kerana melakukan hubungan sulit, lapor agensi berita Antara.

Hakim mahkamah negeri, Elsadela dan hakim mahkamah syariah, Mastuhi yang dibicarakan berasingan bagaimanapun mendapat hak pencen.

"(Jawatankuasa mendapati) Hakim terlapor terbukti melanggar kod etika pedoman dan perilaku hakim dan (jawatankuasa) menjatuhkan hukuman pemberhentian tetap dengan hak pencen," kata Ketua Majlis Kehormatan Hakim, Andi Syamsu Alam ketika membacakan keputusan sidang panel itu.

Menurut panel itu, tindakan dua hakim berkenaan tidak menjunjung harga diri, martabat dan keluhuran hakim.

Dua hakim itu dihadapkan ke jawatankuasa etika yang ditubuhkan oleh Mahkamah Agung dan Suruhanjaya Kehakiman.

Kes itu didengar selepas suami Elsadela membuat laporan mendakwa isterinya mengadakan hubungan sulit dengan Mastuhi, yang juga telah berkahwin dan mempunyai tiga orang anak. Beliau membuat laporan itu selepas menjebak isterinya berdua-duaan dengan hakim agama itu pada akhir November tahun lalu.

Dalam pembelaannya meminta hukuman yang ringan, Elsadela berkata rumahtangganya tidak harmoni sejak awal pernikahan dan mengaku pernah menuntut cerai daripada suaminya.

Krisis rumahtangga itu jugalah yang membawa kepada perkenalannya dengan Mastuhi. Mereka pada awalnya bertukar nombor PIN Blackberry untuk tujuan rundingan permohonan cerai. Namun, Elsadela mendakwa Mastuhi menggunakan kesempatan itu untuk mendekatinya sehingga terjebak melakukan hubungan suami isteri.

"Awalnya, (Elsadela) mengira Mastuhi sebagai malaikat penyelamat, tapi ternyata malah sebagai serigala berbulu domba," kata Hakim Desnayati membacakan pembelaan Elsadela.

Ini adalah kes terbaru pemecatan hakim yang terbukti melanggar kod etika bersabit melakukan hubungan sulit.

Pada akhir Februari lalu, seorang hakim di Maluku digantung tugas dua tahun kerana didapati mengadakan hubungan sulit dengan keraninya yang bekerja di mahkamah yang sama.

Sementara itu, jurucakap Mahkamah Agung, Ridwan Mansyur berkata adalah sukar untuk pihaknya mengawal perlakuan seperti ini kerana ia melibatkan ruang peribadi kehidupan seorang hakim.

"Mereka tidak harus menggunakan alasan ditugaskan jauh dari keluarga untuk menghalalkan tindakan mereka kerana semua hakim bersetuju bahawa mereka sedia untuk ditugaskan ke mana saja," katanya seperti dipetik oleh The Jakarta Post.

Seorang anggota suruhanjaya kehakiman sebelum itu mengkritik sistem Mahkamah Agung yang sering menempatkan hakim jauh daripada keluarga dan amalan itu membuka ruang kepada perselingkuhan.

Tahun lalu, panel berkenaan menghukum tujuh hakim kerana pelanggaran etika dengan empat daripadanya melibatkan kes hubungan sulit. -- Agensi

0 Komen:

Post a Comment

 

ZONFINITI