Debaran dan kehangatan Anugerah Planet Muzik 2009 (APM 2009) semakin dirasai apabila hanya tinggal lima hari sahaja lagi anugerah berprestij itu akan berlangsung.
Pertama kalinya juga anugerah yang mengiktiraf karyawan seni dan muzik serantau itu diadakan di bumi Jakarta, Indonesia pada 18 Julai ini selepas Singapura dan Malaysia sejak mula dianjurkan lapan tahun lalu.
Bukan sekadar mempertaruhkan kategori terbaik yang menjadi idaman karyawan seni tiga negara serumpun, tetapi kategori popular juga merupakan sandaran kepada artis yang bertanding.
Mungkin ramai yang menempelak apabila mereka berpendapat populariti hakikatnya bukanlah satu tiket untuk bertahan lama dalam industri seni sebaliknya gelaran terbaik adalah kemuncak kerjaya seseorang artis itu.
Tetapi sayugia diingatkan, jika hanya memenangi gelaran terbaik tanpa terpalit populariti, agak sukar juga untuk seseorang artis itu menjana karier seninya untuk jangka masa panjang.
Dalam hal ini, contoh terbaik adalah penyanyi nombor satu negara, Datuk Siti Nurhaliza yang berjaya membuktikan dirinya bukan sahaja popular tetapi yang terbaik juga.
Dalam sejarah penganjuran APM misalnya, Siti satu-satunya penyanyi wanita yang berjaya mempertahankan kedudukannya sebagai Artis Wanita Terbaik selama enam tahun berturut-turut sehinggalah gelaran itu dirampas Kris Dayanti tahun lalu.
Begitu juga dengan gelaran Artis Wanita Paling Popular selama tujuh tahun berturut-turut menjadi miliknya sehingga tiada siapa yang mampu mengekang kemenangannya itu.
Persoalannya, apakah Siti mampu mempertahankan gelaran itu tahun ini? Apatah lagi kategori Artis Wanita Paling Popular sudah dimansuhkan sebaliknya digantikan dengan kategori Artis Serantau Paling Popular yang menggabungkan artis dari Indonesia dan Singapura.
Selain itu juga, nama Siti turut tercalon dalam kategori Artis Paling Popular (Malaysia).
Benar, jika diukur pada nama dan kehebatan Siti sebagai seorang penghibur ternama, ramai yang berpendapat laluan Siti adalah mudah untuk memancing peminat untuk terus mengundinya.
Malah, ramai yang sudah menjangkakan Siti akan membawa pulang anugerah itu tanpa ragu tetapi sejauh manakah keyakinan itu mampu bertahan?
Jangan terkejut seandainya Siti tidak mampu lagi membawa pulang gelaran itu hanya kerana dia tidak menerima undian yang besar daripada pengundi di negara ini yang mewakili 33.3 peratus dari undian keseluruhan untuk setiap negara.
Ini diberitakan sendiri oleh Pengarah Urusan Beyond Events Sdn. Bhd., Amin Hussen dalam satu sidang media khas yang diadakan di Hotel One World, Petaling Jaya, Selangor baru-baru ini.
kedudukan artis
Biarpun enggan mendedahkan peratusan sebenar kedudukan artis Malaysia yang bertanding dalam kategori popular, Amin menjelaskan, kedudukan artis tempatan agak ketinggalan berbanding artis Indonesia dan Singapura.
Tambahnya, ia mungkin berpunca daripada sikap pengundi yang hanya akan mengundi di saat-saat akhir sedangkan senario itu hakikatnya boleh dikatakan agak membahayakan.
Semua itu ujarnya, adalah pengundian untuk kategori Artis Serantau Paling Popular di mana kedudukan tertinggi setakat ini dikatakan menjadi miliki band Indonesia, ST12.
Selain itu, nama Taufik Batisah juga berada di barisan hadapan selain Faizal Tahir yang dilihat menjadi saingan utama Siti yang mewakili artis Malaysia.
"Memang agak terkejut apabila melihat kedudukan artis kita yang agak ketinggalan sedangkan Malaysia memulakan undian paling awal berbanding Indonesia dan Singapura iaitu pada 18 Jun lalu.
"Kalau boleh, kita mahu artis kita menjulang anugerah di APM seperti mana tahun-tahun sebelum ini dan apa yang saya harapkan, semua pihak dapat berganding bahu untuk memastikan kejayaan menjadi milik kita," kata Amin penuh harapan.
Untuk kategori Artis Paling Popular (Malaysia) pula, selain Siti dan Faizal, nama-nama seperti Aizat, Hujan dan Stacy turut memberikan persaingan yang tidak kurang hebatnya.
Amin turut ditebak dengan tindakannya itu yang seolah-olah mahu artis Malaysia dinobatkan dengan gelaran popular sahaja sedangkan pengiktirafan terbaik yang seharusnya diburu.
"Bila berkata tentang populariti dan terbaik, ia adalah dua perkara yang berbeza. Pemilihan yang terbaik diserahkan kepada juri profesional manakala popular pula diserahkan kepada peminat untuk memilih artis kesayangan mereka.
"Malah, saya percaya peminat sekarang sudah bijak untuk memilih artis yang benar-benar layak untuk dijadikan sebagai artis popular yang rata-rata mempertaruhkan bakat dan kualiti muzik mereka," kata Amin lagi.
Dalam hal ini, Amin memberikan contoh terbaik oleh peminat muzik Indonesia yang dilihat begitu komited mengundi artis kesayangan mereka untuk menjulang anugerah pada malam itu nanti.
Semuanya itu dilihatnya sendiri ketika menghadiri sidang media APM 2009 di Jakarta pada 3 Jun lalu.
Amin menjelaskan, dia begitu kagum melihat sokongan dan semangat hampir 100 syarikat media dan penerbitan berbeza yang memberikan kerjasama untuk melancarkan perjalanan APM tahun ini biarpun bekerjasama dengan empat stesen radio di sana sebagai rakan media.
"Mungkin juga kerana APM diadakan kali pertama di sana menjadikan mereka begitu teruja untuk menjadikan APM kali ini sebagai satu kejayaan.
"Melihatkan senario itu, ia telah membuat kami berfikir untuk menggugurkan hak eksklusif kepada mana-mana pihak media mulai tahun depan.
"Bukan itu sahaja, perkembangan teknologi terkini juga merupakan salah satu faktor mengapa kami memutuskan untuk tidak lagi memberikan hak eksklusif kepada mana-mana pihak.
"Kami mahu penglibatan semua pihak untuk tampil memberikan sokongan kepada kami sekali gus untuk meletakkan APM di tangga teratas," katanya sambil memperkenalkan Suria FM sebagai rakan media dalam mempromosikan APM 2009.
Sebelum ini, radio nombor satu dan dua negara, Era FM dan Sinar FM dipilih sebagai radio rasmi untuk anugerah itu.
Selain itu, majalah HAI serta akhbar kompak, KOSMO! juga merupakan majalah dan akhbar rasmi APM 2009 yang akan disiarkan menerusi Ria (saluran Astro, 104) tepat pukul 9 malam.
Oleh SHAZRYN MOHD. FAIZAL
Anugerah Planet Muzik 2009
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 Komen:
Post a Comment