Terjalin ikatan pertunangan antara Elyana, 22, dan Khairul Anuar Hussin, 34, pada 11 Julai lalu maka secara automatik bermula alam baru dalam hidup mereka.
Simboliknya, Elyana atau nama penuhnya, Erneelya Elyana Emrizal sudah pun melangkah ke dunia baru seperti judul drama pertama lakonannya, Dunia Baru di TV3 beberapa tahun lalu.
Siapa sangka di sebalik bibit pertemuan yang bermula dengan kebencian dan usikan akhirnya bertamu dengan keindahan yang tidak terduga. Semuanya berlaku begitu pantas, hingga mereka sepakat mengikat hubungan itu sebagai pasangan tunang di sebuah restoran di Bangsar, Kuala Lumpur.
Lamaran demi lamaran yang dibuat Khairul, si pemilik sebuah restoran Jepun di Bangsar hampir mengundang kekecewaan di hatinya. Namun begitu, lumrah juga di alam percintaan pasti ada pasang surut, namun ia tidak sampai merobohkan benteng tugu cinta Elyana terhadap Khairul.
Dipendekkan hikayat cinta mereka, Elyana sendiri nekad melawan arus dengan melamar Khairul kembali kerana anak kedua daripada empat beradik itu percaya kehilangan tunangnya adalah satu kerugian besar. Bertemunya sejurus selepas selesai majlis ikatan pertunangan mereka, penyanyi lagu Kalis Rindu itu berkongsi rona kegembiraan.
ELYANA di sisi keluarganya.
“Selain gembira, saya sendiri takut kerana sudah mula melangkah ke alam baru. Takutnya bukan apa, bimbang juga saya tidak mampu menjadi tunang yang terbaik buat dia (Khairul). Tapi sebagai manusia biasa, saya akan melakukan yang terbaik dalam menghitung hari menjadi bakal isterinya kelak.
“Sudah lama saya menunggu detik dan hari ini, akhirnya ia menjadi kenyataan dan alhamdulillah semuanya berjalan lancar. Memilih jalan ini bererti saya sudah bersedia untuk bergelar menjadi isteri, mengimpikan sebuah keluarga dan kehidupan yang lain pula selepas ini.
“Ikatan pertunangan ini satu titik permulaan kepada hubungan dan tanggungjawab yang lebih besar. Ia bukan perkara main-main. Soal usia saya yang dilihat masih muda juga bukan alasan untuk saya tidak mengorak langkah memikirkan gerbang perkahwinan. Doakan hubungan kami kekal hingga ke jinjang pelamin dan akhir hayat,” katanya yang anggun disolek jurusolek popular, Saidatulnisa, kakak kepada penyanyi Ella.
Tarikh kahwin belum ditetapkan
MELALUI alam keseronokan seperti remaja yang lain, tanpa ragu-lagu penyanyi yang pernah dipilih peminatnya sebagai Artis Baru Wanita Popular, Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2002 itu mengatakan Khairul begitu dekat dan serasi dengannya. Tempoh pertunangan mereka dianggarkan dalam setahun.
“Tarikh perkahwinan masih belum ditetapkan, cuma wang hantaran saja sudah ditetapkan. Bagaimanapun ia masih dirahsiakan. Kami tunggu masa yang sesuai untuk melangsungkan hari bahagia. Kalau boleh memang kami tidak mahu tangguh lama-lama.
“Apa yang saya dapat katakan mengenai Khairul, dia seorang yang sangat sejiwa dengan saya biarpun tempoh perkenalan kami bukanlah dalam tempoh yang lama. Kami berkenalan pun dalam tempoh tiga tahun. Dia menerima saya dan keluarga seadanya. Sayangnya terhadap saya dan keluarga pun tiada tolok bandingnya,” kata pelakon drama Renjis itu.
Mengimbas kembali detik perkenalan mereka pada 9 April 2006, Khairul pada mulanya tidak menyedari yang Elyana sebenarnya bergelar selebriti.
Kata Elyana, bayangkan baru saja bertemu ketika itu, dia sudah rasa bengang dan seperti mahu melancarkan ‘perang’ dengan Khairul.
“Nak dijadikan cerita, teman saya ada meminta saya menghantarnya ke sebuah restoran yang dimiliki Khairul. Kebetulan kawan saya nak mencari kerja dan memberitahu majikan (merujuk kepada Khairul) di situ kacak orangnya. Sampai saja di restoran itu, saya lihat Khairul biasa saja, tidaklah terlalu kacak.
“Dia pun nampak sombong dan langsung tak menjaga hati perempuan macam saya ini. Malah, kehadiran saya seperti tak wujud di situ. Saya hanya memperkenalkan diri kepadanya sebagai Farah Idlyna. Saya sengaja menyamar guna nama kawan dan memberitahunya saya hanya menjual produk Tupperware. Lucunya, dia siap mengajak saya bekerja dengannya lagi.
“Tanpa disangka, pertemuan itu memulakan kesinambungan apabila dia mengajak saya dan kawan-kawan untuk berkaraoke dengannya. Akhirnya kawan saya sendiri dengan tidak sengaja mendedahkan rahsia siapa diri saya dengan memilih lagu nyanyian Elyana. Daripada situ, dia sudah mula syak siapa saya sebenarnya dan mula takut untuk berkawan dengan saya,” kata Elyana sambil memberitahu hubungan mereka selepas itu terus menjadi intim.
Khairul gugup
PADA sidang media yang diadakan sejurus selepas majlis selesai, Khairul turut bersama menemani Elyana untuk sesi soal jawab. Jelas kelihatan begitu gementar anak keenam daripada tujuh beradik itu apabila butir bicaranya tersekat-sekat ketika berucap menggunakan mikrofon.
Bagi Khairul yang agak segan bertemu rakan media, dia hanya mampu menarik lafaz lega tanda kesyukuran apabila majlis pertunangan yang dirancang berjalan lancar seadanya. Katanya, dia cukup menyenangi peribadi yang dimiliki Elyana, malah sudah bersedia meredah alam pertunangan bersamanya.
“Insya-Allah, saya sudah bersedia untuk melayari sebarang kemungkinan pada masa mendatang. Sepanjang berkawan dengan dia (Elyana) pun saya tidak terlalu memikirkan tekanan atau persekitaran luar.
“Saya hanya memikirkan dia saja. Tiga kali lamaran saya tidak mendatangkan hasil tapi akhirnya jodoh kuat menyatukan kami sebagai pasangan tunang,” kata Khairul yang cukup kacak dengan persalinan baju Melayu.
Majlis pertunangan yang diadakan di restoran itu dihias indah dengan sentuhan gabungan idea dan cetusan minda butik Lynda Rahim dan pereka fesyen kegemaran Elyana, Zery Zamry Couture. Malah, Zery turut menaja busana pertunangan kepada artis kesayangannya berkonsepkan Glam Punk Tradisional Kotemporari.
Gaya itu sedikit sebanyak mengelak klise yang sering dilakukan mereka yang ingin bertunang.
Sekali pandang majlis yang dilakukan ini sudah seperti majlis perkahwinan. Lengkap dengan balasan barang hantaran. Rombongan pihak lelaki membawa tujuh bekas hantaran dibalas sembilan hantaran daripada pihak perempuan. Acara menyarung cincin tanda ke jari manis Elyana dilakukan kakak Khairul sendiri iaitu Rozieka Hussin.
Majlis yang dihadiri kaum keluarga kedua belah pihak, teman rapat dan rakan media itu dihoskan penyampai berita Bernama TV, Hilmy Ashley. Sebelum bersurai, acara pemotongan kek bersempena sambutan hari lahir Elyana yang ke-22 pada 5 Julai lalu turut diadakan.
INFO: Majlis pertunangan Khairul dan Elyana
* Mengikut perancangan awal, majlis ini diadakan bersempena tarikh hari lahirnya, 5 Julai lalu. Perancangan itu tidak dapat dilaksanakan
kerana pada tarikh terbabit ibunya sedang mengikuti kursus haji.
* Elyana turut memberikan pendapat bagaimana majlis ini bakal dipersembahkan kepada Datin Lynda Rahim dan Zery Zamry.
* Sepatutnya majlis ini diadakan di kediaman keluarganya di Shah Alam. Bagaimanapun disebabkan jiran keluarganya sedang melakukan pengubahsuaian rumah, akhirnya restoran yang pada asalnya adalah sebuah rumah dipilih.
* Antara barangan hantaran yang diberikan seperti coklat, buah-buahan, alat solekan, telekung, kek cawan, sirih junjung, senaskah Al-Quran dan papan rehal, sejadah, tali pinggang dan dompet serta barangan penjagaan diri.
Pertunangan Elyana
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
1 Komen:
elyana tak de anak ke
Post a Comment