Barisan artis popular muncul di Shout! Awards

Tuesday, July 07, 2009

Sudahkah anda bersedia untuk menghitung detik ke anugerah Shout! Awards, sebuah anugerah baru yang sedang hangat diperkatakan dan bakal disiarkan secara eksklusif di 8TV pada 17 Julai ini.

Setiap anugerah pastinya tidak lengkap tanpa persembahan memukau dan menghiburkan dari artis popular. Pada malam kemuncak itu nanti rakyat Malaysia bakal menyaksikan penampilan artis popular Malaysia dan juga penampilan khas artis antarabangsa.

Shout! Awards bakal membariskan persembahan artis yang cukup hebat seperti Pop Shuvit, One Buck Short, Jin Hackman, Reza Salleh, Komplot, Caprice, Estranged, Shila, Bunkface, Mia Palencia, Pesawat, Paolo Delfino, Nikki, Joe Flizzow dan Rahim Maarof.

Anugerah ini turut diserikan oleh selebriti popular sebagai penyampai seperti Juliana Evans, Deborah Henry, Paul Moss, Fazura, Alif Satar, Yasmin Ahmad, Smek, Chong Sisters, Diana Rosdi, Jojo Struys, Nabil (Raja Lawak 2), Syafinaz Selamat, Jien, Marion, Afdlin Shauki, One Nation Emcee, Love Me Butch, Dato’ Sri Tony Fernandez dan Sarah Lian.

Shout! Awards diadakan untuk meraikan mereka yang terbabit di dalam industri muzik, filem, TV dan radio. Ia akan disiarkan secara langsung dari Stadium Putra Bukit Jalil eksklusif di saluran hip 8TV. Pengacara terkenal yang acap kali dikenali oleh peminat setia 8TV iaitu Marion Caunter dan Jien akan bergandingan bersama muka baru yang sedang meningkat naik iaitu Sarah. Mereka diberi tanggungjawab untuk mengacarakan anugerah yang julung-julung kali diadakan ini.

Apa yang lebih menarik, penyanyi terkenal antarabangsa Sean Kingston akan diterbangkan khas untuk membuat persembahan di Shout! Awards. Inilah peluang anda untuk menyaksikan sendiri persembahan bertenaga dan menghiburkan dari Sean Kingston.

“Kami cukup gembira dan berbesar hati untuk mengumumkan kehadiran Sean Kingston di Shout! Awards nanti. Bukan sekadar membuat penampilan istimewa, Sean Kingston juga bakal beraksi di pentas Shout! Awards ,” kata Ketua Pegawai Eksekutif 8TV, Ahmad Izham Omar.

“Kehadiran artis popular antarabangsa ini pastinya menjadikan anugerah ini sebagai anugerah yang paling hangat diperkatakan. Selain Sean Kingston, Shout! Awards turut membariskan artis tempatan popular yang turut serta membuat persembahan,” tambah Izham lagi.

Untuk mengundi artis kegemaran anda bagi setiap kategori, anda boleh mengundi secara online dengan melayari laman web utama www.shoutawards.com.my

Pemenang bagi setiap kategori akan ditentukan oleh undian rakyat Malaysia menerusi undian secara ‘online’ dan SMS. 50 peratus akan dikira daripada undian secara ‘online’ manakala peratusan yang berikutnya akan dikira melalui undian SMS. Seterusnya undian akan dikumpul dan diaudit oleh pihak berkecuali.

Undian telah dibuka sejak 8 Jun lalu dan akan ditutup pada 16 Julai 2009. Shout! Awards mengalu-alukan kerjasama penaja utama Hotlink FlyFM selaku radio rasmi.

Pas eksklusif ini boleh didapati secara percuma di bilik pengawal Sri Pentas bermula 13 Julai ini dari 3 hingga 5 petang. Anda juga boleh memenangi pas percuma ini menerusi 8TV Quickie, 8 Team, FlyFM, Facebook, Myspace dan melalui peraduan di surat khabar dan majalah hiburan Malaysia.

Shout! Awards diadakan untuk memberi penghargaan kepada mereka yang telah banyak mempengaruhi industri muzik, filem, TV dan radio tanah air. Rancangan yang akan berlangsung selama dua jam setengah ini akan menyaksikan penganugerahan bagi mereka yang telah memberi revolusi baru dalam industri hiburan tempatan.

Ia juga satu platform yang baik untuk peminat memilih dan melihat ke mana arah tuju industri hiburan Malaysia. Shout! Awards merangkumi anugerah khas untuk TV, filem, radio dan muzik dan turut menyelitkan persembahan bertenaga dari artis dan band tempatan dalam kolaborasi yang cukup menarik dan menghiburkan.

0 Komen:

Post a Comment

 

ZONFINITI