Gadis Sepi Berat Jodoh

Sunday, July 19, 2009

Usia saya semakin bertambah dan belum berkahwin. Masalah ini membuat emosi saya tidak stabil, kadangkala mudah marah, bosan, cemburu, sentiasa rendah diri dan tidak berkeyakinan diri. Saya sudah letih, rasa putus asa dan hilang kewarasan silih berganti.

Setiap suruhan-Nya saya cuba patuhi. Zikir menjadi mainan lidah, solat malam mengikut kemampuan dan doa tidak putus mengiring doa tetapi sekarang saya sudah letih. Waktu saya malas beribadat, saya paksa dan ingatkan diri sendiri, melakukan ibadat mendapat pahala juga. Namun, jodoh belum sampai dan Umi, saya tidak tahu sejauh mana keikhlasan saya dengan-Nya. Saya rasa seperti hilang harapan. Dulu, sebut saja apa ikhtiar mencari jodoh, semua saya lakukan. Namun sekarang saya sudah penat. Bantulah saya untuk memudahkan urusan mencari jodoh ini. Apa yang harus saya buat puan?

Gadis Sepi - NIA

JAWAPAN


NIA yang sudah berputus asa. Untuk menjawab soalan Nia, Umi mulakan dengan catatan sejarah hidup sahabat yang mulia. Ada beberapa perkara yang membezakan mereka dengan orang lain. Antara catatan mengatakan pola hidup mereka sangat sederhana dan tidak memaksa diri. Mereka menghadapi segala masalah hidup dengan sewajarnya, tidak terlalu berlebihan dan tidak terlalu diselubungi bebanan. Sikap ini sesuai dengan perintah Allah SWT (Al-Ala' ayat kelapan) yang bermaksud: "Dan kami akan memberi kamu petunjuk kepada jalan yang mudah."

Mereka berusaha untuk memiliki ilmu seluasnya penuh berkat mengamalkan ilmu bukan hanya di minda dan di bibir. Hinggakan ilmu di dada menjadikan mereka semakin dekat dengan Tuhan. "Sesungguhnya orang yang takut kepada Allah di antara hamba-hamba-Nya hanya ulama." - (Fathir: 28).

Jika perasaan dekat dengan Tuhan, pasti dekat dengan keyakinan bahawa hidup ini sangat penting digunakan untuk menuntut ilmu dan menambah ilmu bagi meneruskan kehidupan. Tanpa tambahan ilmu, bermakna tidak bertambah dekat dengan Tuhan, maka rasa hidup ini tidak berharga.

Nia, perasaan dekat dengan Allah SWT membuatkan kita berasa hidup ini terlalu pendek untuk berduka cita dan kecewa. Kecewa yang singgah di hati hamba Allah SWT, menggambarkan beliau terlalu jauh dengan Ilahi hingga berasakan tidak disayangi dan dilindungi, mahu pun diberi nikmat juga rahmat oleh-Nya.

Apabila perasaan itu hilang, maka orang itu akan berasakan dunia ini sempit untuknya dan sukar. Andai pegangan sebegini subur dalam mindanya, maka apa yang ditemui dalam hidup hanyalah kesusahan yang silih berganti hingga ke akhir hayat. Apabila ini berlaku, beliau sebenarnya memilih untuk mati sebelum mati dan menukar dunia yang serba indah menjadi dunia penuh kelabu dan bercelaru. Hidup untuknya penuh masalah dan penderitaan.

Kehidupan sahabat jelas dijalani dengan mengutamakan amalan hati jauh lebih berat daripada ibadat fizikal. Dalam hati mereka penuh ikhlas, tawakal dan kecintaan yang mendalam kepada Allah SWT serta keinginan lebih dekat dengan Allah SWT memuncak, ingin menjauhi murka dan kerana ingin mengelak seksaan Ilahi. Mereka melihat dunia ini ladang untuk bertanam dan hasilnya di bawa ke akhirat kelak.

Namun jika kita terus hidup dengan kecewa dan berputus asa, pasti kita akan rugi di dunia dan akhirat. Kita juga akan berasa Allah tidak memberikan nikmat dan tidak berlaku adil dengan hamba-hamba-Nya, sedangkan Allah memberi penegasan dalam al-Quran (AlFath: 18) yang bermaksud: "Hidup ini perjuangan", tiada masa yang terlepas daripada konsep perjuangan. Jika berjuang pasti ada kalah dan menang.

Prinsip ini membuat mereka tidak pernah kenal putus asa dan tidak hanya berjuang tanpa disertai amal soleh. Hidup mereka berjihad dan mencari keredaan Allah SWT dan sangat yakin Ilahi memberi petunjuk pada setiap amalan mereka seperti janji Allah SWT dalam al-Quran (QS Al-Ankabut : 69) dan orang yang berjuang mencari reda Yang Maha Esa. Kami benar-benar akan tunjukkan kepada mereka jalan-jalan kami".

Nia, sepatutnya anda mencontohi sikap begini. Oleh kerana kita ini hamba Allah SWT dan perjalanan hidup ditentukan-Nya kerana Dia tahu apa yang ada di depan dan di belakang kita. Dia yang melukiskan peta hidup kita dan mencipta kita. Kenapa harus putus asa dengan Allah SWT sedangkan anda masih diberikannya hidup. Jika hari ini gagal, tidak bermakna selamanya gagal kerana tidak ada malam tanpa siang. Tidak akan selamanya kelam berpanjangan, pasti datang terang.

Allah SWT sangat sayang pada hamba-Nya mana mungkin Allah membiarkan hamba-Nya jatuh dan kecewa. Sebab itu fahamlah sumpah kita dalam solat, sesungguhnya solatku, ibadatku, hidupku dan matiku hanya untukmu. Mengapa terlalu mudah berputus asa dengan rahmatnya, sedangkan jantung anda masih dibiarkan berdenyut dan kaki anda masih dibenarkan bergerak?

Cadangan Umi, tamatkan kekecewaan anda jika anda masih mengaku hamba Allah. Jika tidak, anda akan melalui kehidupan ini dengan serba sulit kerana tidak ada yang mampu membantu anda kecuali-Nya.

Jodoh pertemuan ketentuan Allah, namun kecewa dengan Allah mana mungkin anda bertemu apa yang anda mahukan jika Dia belum lagi mahu menemukan anda dengan jodoh yang dicari,

Kembalilah kepada-Nya. Mengadu dengan ikhlas, dia akan mendengar semua hajat dan rintihan kita kerana dia maha mendengar.

Mudah-mudahan anda berasa yakin dengan diri sendiri dan menyedari sudah terlalu banyak rahmat-Nya yang anda nikmati. Tabahkan hatimu dalam menjalani hidup ini dan doa tanpa henti dengan penuh ikhlas. Insya-Allah anda akan temui kehebatan Allah SWT.

0 Komen:

Post a Comment

 

ZONFINITI