Kerja Kahwin Moden Ringkas

Friday, July 17, 2009

Cuba anda buka kembali album-album perkahwinan ibu dan bapa anda. Apakah gambar yang dapat anda lihat dalam setiap helaian foto tersebut? Pelamin yang dihias ringkas dengan kain baldu berserta sejambak bunga sambil pengantin berpakaian songket sedondon.

Ayah anda mungkin kemas bertanjak di kepala manakala ibu anda dengan cucuk sanggul tinggi. Kemudian, cuba anda belek pula majalah-majalah pengantin yang kini sedang hangat di pasaran ataupun album perkahwinan kakak atau abang anda. Banyak bezanya bukan?

Hakikatnya, acara dan kerja kahwin dahulu dan sekarang telah mengalami transisi tersendiri seiring dengan peredaran zaman.

Menurut pemilik Galeri Hamidah, Hamidah Yusof, 48, budaya asal orang Melayu ini semakin berbeza terutama daripada aspek pakaian, pelamin, hantaran, dandanan serta solekan pengantin.

Hamidah berkata, pengantin zaman dahulu iaitu sekitar tahun 50-an atau 60-an kebiasaannya mengenakan potongan baju songket penuh dengan bunga tabur berpotongan ringkas. Aksesori tambahan di kepala dan di leher turut dikenakan bak sepasang raja dan permaisuri untuk menepati definisi ungkapan raja sehari.

Namun hari ini, katanya, rata-rata pelanggan lebih memilih konsep moden, kontemporari dan berjiwa Inggeris. Ini jelas terpamer pada konsep pelamin dan hiasan di dewan majlis. Namun, itu tidaklah bermakna mempelai sekarang membelakangkan budaya tradisional. Masih ada pengantin yang memilih busana tradisional untuk majlis mereka walaupun ia bukanlah persalinan utama di pelamin.

"Biasanya, pengantin sekarang mengenakan pakaian songket yang digabungkan dengan kain lace. Bahkan, pengantin lelaki kebiasaannya hanya menyarung baju Melayu fabrik satin dengan sampin songket.

"Gaun labuh dan kot biasanya menjadi persalinan utama pengantin zaman sekarang terutamanya sewaktu makan beradap, acara potong kek atau bertemu tetamu. Ini mungkin disebabkan faktor keselesaan terutamanya cuaca yang agak panas hari ini," katanya yang mempunyai 15 tahun pengalaman dalam kerja kahwin.

Hamidah tidak menafikan bahawa tiada istilah moden dan kontemporari untuk potongan baju pada zaman dahulu kerana kebanyakannya lebih kepada kerja sulaman.

KEPELBAGAIAN kek yang telah dimodenkan bentuk dan saiznya.

Tetapi kini, katanya, baju pengantin telah banyak diadaptasi dari negara Indonesia.

"Cara dan kerja kahwin masyarakat Melayu hari ini semakin berubah dengan penekanan kepada konsep moden dan ringkas. Perbezaan paling ketara adalah ia diadakan di hotel dengan dikendalikan oleh perunding perkahwinan, berbanding kerja kahwin gotong royong yang biasa diadakan pada zaman dahulu," ujarnya.

Menurut Hamidah, keluarga pengantin hari ini akan menyerahkan segala persiapan dan kelengkapan perkahwinan kepada perunding perkahwinan mahupun saudara yang berpengalaman dalam bidang tersebut.

"Bagi pengantin zaman sekarang, kos untuk kerja kahwin boleh mencecah puluhan ribu ringgit, tetapi ia bukan satu masalah dan merugikan mereka.

"Yang penting majlis yang dirancang berjalan lancar termasuk pengantin dapat menyarung pakaian yang diingini," katanya.

Beliau juga berkata, jika dahulu, pengantin lebih gemar menyewa pakaian, kini sebaliknya apabila semakin ramai yang lebih gemar membeli atau menempah sendiri baju pengantin.

Selain baju, pengubahsuaian pelamin turut mendapat tempat dalam perkahwinan Melayu hari ini. Dahulu, hiasan pelamin yang serba ringkas dan kurang bermain dengan warna menjadi pilihan bakal mempelai.

Kini, dengan penggunaan dua atau lebih warna kain berserta aksesori pelamin seperti bunga-bungaan, hiasan gantung dan lampu, ia dapat menterjemahkan konsep moden dan eksklusif pada majlis persandingan.

Dari segi dandanan pula katanya, walaupun pengantin sekarang memilih berpakaian moden, tetapi beliau masih menyelitkan ciri-ciri kemelayuan seperti pemakaian tanjak bagi lelaki dan deko atau rantai serta cucuk sanggul bagi wanita.

Sementara itu, pengusaha bunga telur dari syarikat Siraj Panji Butik House, Azuana Rashid, 27, pula memberitahu, perubahan masa mempengaruhi permintaan terhadap tempahan bunga telur.

Menurutnya, bunga telur yang memiliki reka bentuk yang lebih moden kini menjadi pilihan.

Berpengalaman selama dua tahun dalam bidang pembuatan dan pemasaran bunga telur, Azuana berkata, majoriti pelanggannya menempah bunga telur yang berkonsepkan moden tetapi masih mahukan ciri-ciri tradisional.

"Walaupun cara dan konsep pengubahannya telah dimodenkan dengan tambahan aksesori seperti manik, kain renda dan pewarna dip, namun kami masih menyelitkan bahan-bahan tradisional seperti songket.

"Kebanyakan bunga telur sekarang dihasilkan dengan rekaan indah dalam warna-warna terang," katanya yang mendapati orang ramai kini lebih menyukai bunga telur berkonsepkan moden dengan ciri-ciri tradisional masih dikekalkan.

Selain bunga telur, pengantin sekarang juga semakin ramai yang memilih raga kecil, beg kertas atau kotak berisi kuih atau gula-gula sebagai cenderamata menggantikan bunga telur.

Mengulas trend itu, Azuana, berkata, usaha untuk mengekalkan unsur-unsur tradisional dalam majlis perkahwinan masyarakat Melayu perlu dilakukan.

"Biar moden sekalipun, amalan dan tradisi Melayu dalam majlis perkahwinan perlu dikekalkan. Ini penting kerana itulah identiti majlis perkahwinan Melayu," katanya.

Pereka hantaran perkahwinan, Rohana Musa, 32, pula berkata, kebanyakan pelanggannya masih memilih konsep moden dan tradisional dalam menyediakan barang hantaran.

"Mereka tidak mahu sesebuah majlis perkahwinan itu nampak kuno. Misalnya dahulu, barang hantaran hanya diletakkan di atas pahar dengan pelapik baldu tanpa sebarang hiasan atau tema yang tertentu.

"Namun hari ini, mereka hendak memperlihatkan suasana moden bertema pada sesebuah majlis perkahwinan dengan gubahan hantaran yang mempunyai tema tersendiri. Misalnya, gubahan berstail Inggeris, Bali atau berbentuk sangkar burung," ujarnya.

0 Komen:

Post a Comment

 

ZONFINITI