Manohara, ibu disaman RM105j

Tuesday, July 21, 2009

Tengku Temenggong Kelantan, Tengku Muhammad Fakhry Ismail Petra hari ini memfailkan saman menuntut ganti rugi RM105 juta daripada isterinya yang juga bekas model, Manohara Odelia Pinot dan ibu mertua atas dakwaan memfitnah beliau.

Writ saman itu difailkan melalui firma guaman, Tetuan J.S. Pillay & Mohd. Haaziq pada pukul 9.20 pagi ini di Pejabat Pendaftaran Mahkamah Tinggi Sivil di sini.

Tengku Muhammad Fakhry, 31, selaku plaintif menamakan ibu mertuanya, Daisy Fajarina defendan pertama dan Manohara, 17, defendan kedua.

Dalam permohonan mendapatkan kebenaran bagi memulakan prosiding saman fitnah itu, plaintif menyatakan, mereka mendirikan rumahtangga pada 26 Ogos tahun lalu sebelum Manohara kembali ke Indonesia sembilan bulan kemudian.

Plaintif menyatakan, Manohara yang memakai gelaran Cik Puan Temenggong pulang secara mendadak tanpa sebarang kebenaran dan di luar pengetahuannya.

Ketika Manohara berada di Indonesia, plaintif mendakwa, pihak defendan membuat beberapa siri sidang akhbar yang didakwa telah memfitnah dan memburukkan nama baik serta reputasi beliau.

Plaintif menyatakan, pihak defendan mendakwa kononnya beliau telah berlaku ganas dan menderanya ketika berada di Malaysia.

Ekoran itu, plaintif membuat satu laporan polis mengenai perkara tersebut pada 11 Jun lalu.

Menurut pernyataan tuntutannya, plaintif mendakwa antara April hingga Jun lalu, defendan pertama telah secara palsu dan niat jahat melafazkan perkataan-perkataan yang bersifat umpatan (fitnah lisan), sindiran yang tidak benar dan tidak berasas.

Perkataan-perkataan fitnah tersebut, dakwa plaintif, telah dirakam ketika sidang akhbar berlangsung di hadapan pemberita daripada pelbagai akhbar.

Seterusnya dakwa plaintif, perkataan-perkataan itu telah diterbitkan semula sepenuhnya atau sebahagian daripadanya yang relevan dalam media elektronik antaranya The Jakarta Globe, Banjarmasin Post, Detiknews, Kompas.com, Global TV, Malaysiakini dan akbar dalam talian.

Tindakan defendan itu, dakwa plaintif, telah menjejaskan reputasi beliau di mata rakyat jelata di peringkat kebangsaan mahupun antarabangsa.

Pihak defendan juga, dakwa plaintif, tidak memberikan sebarang peluang untuk beliau membuat komen atau menjawab tuduhan terlebih dahulu sebelum mereka menyebut perkataan fitnah tersebut.

Plaintif turut mendakwa keseriusan perkataan-perkataan fitnah itu telah menyebabkan perasaan sedih dan menimbulkan aib yang keterlaluan, merendahkan martabat beliau dan keluarga serta mencemarkan nama baik terutamanya di kalangan kerabat diraja dan masyarakat.

Plaintif sehubungan itu menuntut ganti rugi keterlaluan, teladan dan pampasan yang setiap satunya sebanyak RM35 juta.

Turut dipohon ialah perintah injunksi bagi menghalang defendan sama ada secara sendiri atau melalui pekerja-pekerja atau ejen mereka daripada terus menyebut perkataan-perkataan yang serupa yang memfitnah beliau.

Plaintif turut menuntut faedah pada kadar lapan peratus setahun atas jumlah ganti rugi dari tarikh penghakiman sehingga tarikh penyelesaian penuh, kos dan relif lain yang difikirkan wajar oleh mahkamah.

Terdahulu, peguam Mohd. Haaziq Pillay yang mewakili plaintif mengemukakan permohonan untuk mendapatkan kebenaran bagi Tengku Muhammad Fakhry memulakan prosiding saman fitnah terhadap isteri dan ibu mertuanya itu.

Kebenaran perlu dimohon terlebih dahulu oleh plaintif kepada mahkamah sebelum writ saman difailkan terhadap kedua-dua defendan memandangkan mereka kini berada di Indonesia.

Mohd. Haaziq memperoleh kebenaran daripada Penolong Kanan Pendaftar Mahkamah Tinggi Sivil, Safarudin Tambi untuk memfailkan tindakan saman tersebut.

Bercakap kepada media, Mohd. Haaziq menyatakan, inilah masa dan peluang terbaik untuk kedua-dua defendan membuktikan kes mereka dan bukannya hanya 'menyalak' serta menggunakan media semata-mata.

Ketika ditanya apakah yang perlu dibuat oleh pihak defendan sejurus menerima writ saman tersebut. Mohd. Haaziq berkata: ''Defendan perlu memfailkan pembelaan masing-masing.''

Pada 5 Julai lalu, Tengku Muhammad Fakhry memfailkan dua saman di Mahkamah Tinggi Syariah Kota Bharu, Kelantan menuntut supaya isterinya itu kembali taat dan mengembalikan semula hutang sebelum dan selepas perkahwinan sebanyak RM972,750.

Oleh NORAZLITA MOHD. SIES

0 Komen:

Post a Comment

 

ZONFINITI