BELASUNGKAWA MARIAM BAHAROM (1935-2010)

Wednesday, August 11, 2010

Nama seniwati Mariam Baharom mungkin tidak sepopular adiknya, primadona Saadiah. Namun, di kalangan orang filem khususnya pada era kegemilangan Shaw Brothers dan Cathay Keris, beliau sangat terkenal dengan gelaran Mariam tahi lalat.

Gelaran itu cukup sinonim dengannya kerana Mariam memiliki tahi lalat hidup di sudut pipi kirinya selain sekuntum senyuman yang sangat menawan. Kecantikan dan bakat dimiliki Mariam, sudah cukup untuk mengetengahkan namanya sebagai bintang terkenal. Antara filem yang pernah dibintangi Mariam ialah Anjuran Nasib bersama seniman agung Allahyarham Tan Sri P Ramlee arahan BS Rajhans pada 1952 dan Abu Hassan Penchuri pada 1955.

Bakat seni yang mengalir dalam tubuh Mariam, turut diwarisi dua daripada tujuh anaknya iaitu Allahyarham Bat Latiff (Mohd Ali Abdul Latif) dan penyanyi terkenal, Rahimah Rahim.

Bat dan Rahimah adik-beradik berlainan bapa. Bat adalah anak sulung daripada tiga beradik hasil perkahwinan Mariam dengan suami pertama, Abdul Latiff manakala Rahimah adalah anak sulung daripada empat hasil perkahwinan Mariam dengan penyanyi digelar Nat King Cole Sinagpura, Rahim Hamid. Seorang lagi saudara kandung Bat Latiff ialah Mohamad Rafi Latif, 42 dan adik Rahimah yang lain, Rahman, Hamidah dan Rozie.


Pada tanggal 9 Ogos, Mariam Baharom yang baru menyambut ulang tahun yang ke-75 pada 2 Ogos lalu, menghembuskan nafas terakhir di rumahnya pada jam 5 pagi selepas diserang asma. Selain menderita asma yang diwarisi daripada keturunan, Allahyarham juga menghidap kencing manis.


Rahimah ketika dihubungi berkata, dia reda dengan pemergian ibunya kerana Allahyarham sudah lama uzur. Malah ketika sambutan ulang tahunnya baru-baru ini, arwah sudah membayangkan akan pergi.


“Sebagai anak, saya memang tak boleh lupakan kenangan sepanjang bersama arwah. Semasa sambutan ulang tahunnya, arwah berkali-kali kata akan pergi. Dia seolah-olah sudah tahu masanya akan sampai. “Saya sudah berasa akan kehilangannya. Dua hari lepas keadaannya semakin tenat dan akhirnya sekitar jam 5 pagi tadi (semalam) dia meninggalkan kami buat selama-lamanya.


“Semasa sambutan ulang tahunnya pun kami tak buat majlis besar-besaran. Sekadar beli kek dan kawan-kawan rapatnya yang menghadiahkan bunga. Sebelum ini kawan-kawan lama arwah antaranya Datuk Mustapha Maarof dan Datuk Aziz Sattar ada datang melawatnya dan memberi kata-kata semangat,” katanya.


Jenazah arwah dikebumikan di Pusara Abadi, daerah Jurung dengan dihadiri kenalan lamanya seperti Nona Asiah dan Hashimah Yon. Keluarga Allahyarhaman tidak dapat menunggu kedatangan kawan-kawan dari Kuala Lumpur kerana mahu sempurnakan jenazah sebelum Zuhur.


Kata Rahimah, dia terkilan kerana adiknya, Rahman tak dapat berjumpa arwah kerana bercuti di Kuala Lumpur sempena hari kebangsaan Singapura,” katanya.


Mohamad Rafi, 42, anak ketiga hasil perkahwinan pertama Mariam dengan Latif, berkata, ibunya menderita sakit tua sejak 10 tahun lalu.

“Saya dimaklumkan oleh Ogy (Fauziah Ahmad Daud) mengenai kematian emak pagi tadi (semalam) dan saya berada di Kuala Lumpur ketika itu. Sebelum menerima perkhabaran daripada beliau, kebelakangan ini saya memang selalu rasa tak sedap hati. Kebetulan semalaman tidak tidur kerana sibuk menyiapkan kertas kerja. Sepatutnya pagi ini saya harus berangkat ke Jakarta untuk satu perbincangan.


“Perkhabaran ini memang mengejutkan kerana baru saja saya berbual dengan emak Sabtu lalu. Sekitar jam 3 petang, saya menghubunginya tetapi talian bimbitnya tidak berjawab. Saya cuba menghubunginya sekali lagi sekitar jam 5.30 petang akhirnya emak menjawab panggilan.


“Saya sempat bertanya keadaan emak dan dia bilang dia 'ok' selain memaklumkan kepada saya panggilan pertama tidak dijawab kerana sedang tidur.


“Saya sempat memberitahu emak yang saya akan berangkat ke Jakarta kemudian balik semula ke Thailand dan tidak dapat menyambut Ramadan bersamanya kerana sibuk dengan kerja dan berjanji akan pulang ke Singapura jika ada kelapangan.

“Nampaknya, hajat saya untuk bertemu emak tidak kesampaian kerana Allah SWT lebih menyayanginya,” katanya yang bertugas sebagai pengedar filem bebas dan bermastautin di Bangkok.


Tambah membuatkan Rafi sebak, arwah yang kesunyian selepas kehilangan adiknya, Allahyarhamah Saadiah dan anak sulungnya, Bat Latif, selalu berpesan supaya pulang menjenguknya.


“Arwah selalu bilang, bilakah gilirannya pula menemui ajal kerana terlalu bersedih dengan pemergian abang saya dan makcik Saadiah,” katanya. Anak saudara yang paling rapat dengan Allahyarham, Fauziah Ahmad Daud yang turut berada di Singapura ketika dihubungi berkata, Mariam ibarat ibunya sendiri dan dia sedih dengan pemergian ibu saudaranya itu.


“Saya sedih kerana tak dapat menemukan anak saya, Nur Aishah Aminah dengan arwah. Saya janji nak bawa Nur Aishah Aminah bertemu arwah semasa menyambut Aidilfitri nanti. Nampaknya impian itu tak kesampaian. “Sebenarnya, esok (hari ini) ialah hari ulang tahun kelahiran arwah ibu saya dan hari ini saya dapat berita kematian emak saudara. Ia satu perkara yang sangat menyedihkan,” katanya. Sementara itu, rakan seperjuangan Allahyarhamah iaitu Seniwati Mariani, berkata, kebaikan Mariam Baharom tidak mungkin dapat dilupakan kerana dia adalah individu yang bertanggungjawab membawanya ke pentas lakonan.


“Selepas menang pertandingan ratu cantik di Singapura pada 1951, Mariam mungkin melihat ada potensi dalam diri saya lalu memujuk saya menyertai dunia lakonan.


“Bermula dari ajakan itu, timbul minat untuk mencuba dan filem Chemburu (1952) menjadi pertaruhan pertama saya. Walaupun, Allahyarham Tan Sri P Ramlee banyak membuka peluang kepada saya, namun Mariam Baharom adalah individu yang memperkenalkan saya pada bidang ini dan amat terhutang budi kepada Allahyarhamah.

“Mujurlah sewaktu mendengar berita beliau kurang sihat, saya sempat menziarahinya dua tahun lalu. Ketika itu keadaannya kritikal juga kerana bergantung pada alat bantuan pernafasan manakala matanya kabur kesan daripada derita kencing manis.

“Tambah mengharukan saya, walaupun tidak dapat melihat tetapi dia masih dapat mengecam suara saya. Masih saya ingat kata-kata arwah ketika saya sampai 'Mariani ke tu, aku kenal suara kau walaupun mataku tak nampak' dan dia menangis kerana terharu dengan kedatangan saya,” katanya.


Oleh Norhadiani Baharom dan Ridzuan Abdul Rahman



Rahsia Doa Pengasih. Klik sini.

Layari : Zonfiniti

0 Komen:

Post a Comment

 

ZONFINITI