Lantai tari program Sehati Berdansa bergetar lagi. Bukan saja dengan kehebatan peserta kali ini yang cukup hebat dan dipuji. Hos dan jurinya juga menerima tempias yang amat sangat hingga mengundang populariti singkat.
Menyangkakan Fahrin dan Linda mampu memikul tugas sebagai hos dengan baik dan profesional, minggu kelima ia menjadi kecoh rentetan tersebarnya emel yang diterima wartawan hiburan mengenai ‘drama sebabak’ hingga setiap butir bicara dan pertengkaran mereka ditulis dengan begitu lengkap.
Namun, cerita yang disebarkan menerusi e-mel yang diterima ini jelas menunjukkan pasangan ini boleh diumpamakan masih lagi berdendam dan gagal untuk menyembunyikan amarah yang pernah terpalit dek berakhirnya hubungan teman tapi mesra mereka sebelum ini. Masing-masing membalas kenyataan di surat khabar demi menegakkan pendirian.
Sebagaimana bengang Mazin dan Anisa yang menjadi pasangan terbaru tersingkir kali ini, minggu kelima program ini turut menyaksikan drama muka ‘ketat’ hos Sehati Berdansa, Fahrin yang tidak mampu disembunyikan lagi gara-gara perang dinginnya dengan Linda Onn. Ternyata kenyataan mereka yang ditulis di dada akhbar membuatkan masing-masing panas hati antara satu sama lain. Mahu atau tidak mereka harus menggalas tugas ini hingga ke peringkat akhir.
Begitu juga dengan adegan belai rambut antara pelakon Que Haidar dan si jelita, Linda Jasmine ketika berada di belakang pentas program Sehati Berdansa, baru-baru ini yang berjaya dirakamkan wartawan portal bahasa Melayu popular, www.murai.com.my. Semua kisah di atas terus menjadi sensasi dan sedar atau tidak, ia umpama memberi satu publisiti buat program realiti tarian ini.
KEKECEWAAN Mazin dan Anisa tidak dapat disembunyikan pada malam penyingkiran.
Tinggal separuh jalan lagi untuk ke peringkat akhir, namun pelakon dan model, Mazin dan isterinya, Anisa harus akur apabila berakhirnya perjuangan mereka pada minggu kelima bertemakan Rock & Roll. Ini sekali gus menamatkan misi amal mereka untuk membantu Persekutuan Orang Pekak Malaysia. Mazin yang ditemui ternyata tidak dapat menyembunyikan kekecewaan apabila keadaan isterinya yang kini hamil dua bulan setengah dijadikan isu.
Di sebalik rasa kekecewaan penuh emosi itu, mereka juga mengakui sangat sedih terpaksa meninggalkan ‘ahli keluarga besar’ di kalangan peserta yang masih kekal. Biarpun persembahan minggu kelima dilihat paling menyeronokkan, keputusan muktamad harus dipatuhi. Mereka keluar secara bermaruah kerana enggan menarik diri daripada terus menyertai pertandingan ini, biarpun pada minggu ketiga Anisa sudah disahkan hamil.
“Saya tidak faham kenapa orang di luar sana harus menyempitkan fikiran, apabila mengandung saja tidak boleh buat itu dan ini. Isteri juru tari kami, Norashid Abdul Latip pun hamil empat bulan tetapi masih menari. Jelas di sini, dia (Norashid) tahu batas-batas untuk mengajar wanita mengandung. Ya atau tidak, memang isu hamil ini sedikit sebanyak mempengaruhi undian SMS.
“Andai kami tersingkir minggu kesembilan, silap hari bulan mungkin saya sudah pengsan kerana tidak dapat menahan perasaan kerana harus meninggalkan peserta lain yang sudah seperti keluarga kami,” kata Mazin.
LISDAWATI dan Fauzi Nawawi sering mendapat pujian juri profesional.
Selain isu hamil, Anisa juga melahirkan rasa tidak puas hatinya kepada juri jemputan, Pengarah Tari Istana Budaya, Mahmood Ibrahim.
“Kami memang tidak berpuas hati daripada segi pemarkahan yang diberi olehnya (Mahmood Ibrahim) kerana ia ternyata jauh dan berbeza sangat dengan peserta lain. Buruk sangat ke persembahan kami kerana hanya mendapat 75 markah berbanding peserta lain yang mendapat markah 80 ke atas.
“Kami rasa bagaikan serba tidak kena, buat itu salah, buat ini salah. Terlebih aksi lakonan salah dan begitulah sebaliknya. Apa-apapun kami reda dengan keputusan ini,” kata Anisa dalam nada sedih.
Linda Jasmine enggan ulas
Berkesempatan menemubual pereka tari jelita, Linda Jasmine yang sudah dua musim bertindak sebagai juri profesional Sehati Berdansa, dia ternyata kagum dengan semangat dan prestasi peserta musim kedua. Setiap daripada pasangan selebriti ini akuinya sangat positif untuk bersaing sesama sendiri.
Ditanya mengenai laporan portal Murai.com mengenai adegan membelai rambut antaranya dan Que, Linda enggan mengulas lanjut dan berkata, orang hanya nampak pada dasar, tapi tidak tahu keadaan sebenar. Jelasnya lagi, bukan tidak mahu mengiyakan atau menidakkan hubungan baiknya dengan Que, cuma dia lebih selesa untuk tidak berkongsi soal peribadi dan lebih suka berbicara mengenai kerjaya.
Begitu juga dengan halnya apabila Hip meminta komen Linda mengenai ‘perang dingin’ antara Fahrin dan Linda yang kembali meledak.
“Ia bukan masalah saya. Saya ke sini untuk melunaskan tanggungjawab sebagai juri profesional. Memang saya ada mengetahui masalah mereka, tapi saya tidak mengambil peduli. Tak semestinya apa yang kita baca di surat khabar atau internet itu betul atau sebaliknya.
“Sebagai juri tetap, saya selalu berpesan kepada diri saya untuk menilai mereka (peserta Sehati Berdansa) sebagai bukan penari profesional. Tugas saya adalah untuk menghakimi mereka di lantai tari tanpa membabitkan sejarah atau apa yang berlaku di sekitar mereka,” kata Linda Jasmine.
Permasalahan mendapatkan kostum yang terbaik juga menjadi isu dan ada beberapa kostum yang digayakan peserta mendapat kritikan hingga diperdebatkan contohnya seperti pakaian badut yang dipakai Rosma dan Khai sewaktu tugasan minggu kelima diiringi lagu Paling Comel dendangan Achik dan Nana.
Menjawab kepada persoalan itu, Norazian Zahir selaku penerbit program ini mengakui pihaknya masih memantau dan membimbing setiap peserta dan juru tari supaya tidak mengenakan kostum yang tidak menjolok mata dan biar ceria sesuai dengan tema serta nampak cantik di kaca TV.
“Setiap peserta dan juru tari diberi RM500 setiap minggu untuk mencari kostum yang sesuai dengan konsep yang diketengahkan. Mereka berhak memilih kostum yang dirasakan sesuai serta kreatif dan pihak kami akan sentiasa melakukan pemeriksaan setiap hari Rabu supaya pilihan kostum itu tidak bercanggah dengan syarat yang ditetapkan sebelum muncul di TV.
“Kita hanya menyediakan duit dan pada masa yang sama memantau aspek pemilihan kostum ini. Berbalik kepada pakaian badut yang dikenakan Khai dan Rosma, kita memang tiada bantahan kerana ia sesuai dengan jalan cerita yang ingin ditonjolkan dalam persembahan mereka.
“Memang ada peserta sebelum ini yang diminta menukar kostum kerana dilihat tidak sesuai untuk keluar TV. Selalunya setiap peserta dan juru tari akan ada plan sandaran lain. Jika plan A tidak ok, maka plan B sebagai galang ganti,” katanya sambil memberitahu konsep persembahan pada minggu keenam ialah tribute kepada Allahyarham Tan Sri P Ramlee.
Oleh Zaidi Mohamad
Drama Sehati Berdansa
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 Komen:
Post a Comment