Privasi hidupnya sejak lima tahun yang lalu terganggu gara-gara popularitinya sebagai pelawak nombor satu negara. Nama Saiful Apek bukan setakat dikenali di kalangan orang dewasa, malah kanak-kanak turut mengagumi dirinya.
Dek popularitinya itu jugalah dia pernah dinobatkan sebagai Bintang Paling Popular Anugerah Bintang Popular Berita Harian pada tahun 2006.
Dia tidak rimas atau menyalahkan mereka akibat hilang privasi hidup kerana kejayaan serta kesenangan yang dimiliki sekarang datang dari mereka juga. Ujar Apek berkali-kali ketika ditemui di Bali mengikuti percutian eksklusif tajaan Poto Travel & Tours Sdn Bhd, ada harga yang perlu dibayar apabila bergelar selebriti.
Percutian yang ditaja Poto Travel ke Bali berikutan kejayaan meraih anugerah Artis Komedi Lelaki Popular, Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 2007 pada Mac lalu memberinya sedikit ruang untuk menjadi diri sendiri.
Biar cuma empat hari tiga malam berada di pulau terkenal di dunia itu, dia tetap berpuas hati kerana dapat meluangkan masa bersama isteri tercinta Roslina Abu Hassan, 39, di samping dua putera Mohd Riyadh Aslam, 13, dan Mohd Radzin Aiman, 10.
Kehadiran Apek bersama isterinya menjawab segala spekulasi mengenai rumah tangganya yang pernah timbul sebelum ini. Rumah tangganya yang dikatakan berantakan ternyata tidak benar sama sekali kerana sepanjang empat hari menyertai percutian ini, penulis melihat Apek bukan saja seorang suami yang romantis tetapi juga bapa yang sangat penyayang.
Dia mengakui pernah melenting dengan tuduhan tidak berasas mengenai kisah rumah tangganya. Namun, sampai satu tahap Apek lebih senang berdiam diri kerana yakin perkara itu akan senyap dengan sendirinya. Dia menyedari perkara itu timbul tatkala dia sibuk dengan kerjaya lakonannya.
Mengakui kesibukan ada kalanya menyebabkan dia tidak pulang ke rumah sebaliknya hanya tidur di pejabat, bagi Apek sendiri dia lebih senang begitu daripada menjadikan rumah sebagai hotel semata-mata. Dia hanya akan bersama keluarga andai ada waktu yang benar-benar terluang.
Mujur isteri yang sudah dikahwini sejak 15 tahun lalu dan dua buah hatinya memahami kerja ‘papa’ mereka yang sentiasa sibuk. Dalam setahun, sekitar dua hingga tiga minggu saja Apek dapat benar-benar meluangkan masa bersama mereka. Namun, dia tidak menolak ada kala dua anaknya pernah menyuarakan rasa tidak puas hati mereka di atas kesibukannya.
"MEREKA membesar dengan kerjaya saya dan memahami tugas saya yang sentiasa sibuk. Tetapi sesekali mereka ada juga membandingkan kehidupan kami dengan keluarga lain. Sudah hampir lima tahun saya tidak membawa mereka bercuti seperti ini kerana saya sukar nak bergerak apabila berada di luar.
“Masih saya ingat lagi, ketika cuti sekolah saya pernah membawa mereka ke Port Dickson kononnya untuk bercuti tetapi akhirnya saya dikerumuni peminat sehingga anak-anak memberitahu mereka malas hendak keluar dengan saya lagi. Apabila diberitahu saya bakal dibawa ke Bali, saya fikir inilah masa yang sesuai untuk saya bawa isteri dan anak bersama-sama kerana sudah lama kami tidak bercuti bersama-sama seperti ini.
“Saya juga bebas menjadi diri sendiri dan bebas berjalan ke mana saja tanpa ada yang mengerumuni. Tapi itulah harga yang perlu saya bayar apabila bergelar artis,” katanya yang pernah menyamar sebagai perempuan di Batu Feringgi semata-mata supaya tidak ada yang mengenalinya tetapi malangnya kehadirannya berjaya di kesan salah seorang peniaga di situ.
Gara-gara sering kali menjadi buruan, Apek juga jarang dapat melepak di tempat terbuka. Malah, jika ada barang yang ingin dibeli, dia lebih senang mengirimkan kepada rakan ataupun pembantu peribadinya saja. Seperti mana Rosyam Nor, Apek juga tidak mahu mendedahkan keluarganya atas permintaan isterinya yang lebih senang bersikap ‘low profile’.
Isterinya yang hanya menjadi suri rumah tangga kata Apek adalah orang yang paling bermakna dalam hidupnya. Isterinya itu seorang yang cukup memahami kerjayanya dan tidak pernah bersikap cemburu melulu walaupun dia pernah dikaitkan dengan beberapa artis sebelum ini.
“Saya sangat menghargai isteri saya. Walaupun kadang kala dia cemburu dan marah, tetapi tidak lama. Dia tahu bagaimana untuk mengatasi perasaan itu dan saya tahu tidak semua orang boleh jadi seperti dirinya. Saya tidak mahu mengambil kesempatan di atas kebaikan isteri,” katanya yang sering meluangkan masa bermain permainan video bersama keluarga jika ada waktu terluang.
Selain itu, kata Apek dia juga tidak malu menunjukkan kasih sayang dan sikap romantis terhadap isteri di depan anak-anaknya sehingga mereka memberi gelaran khas padanya gara-gara dia dan isteri tidak boleh berenggang apabila berada di rumah. Walau macam mana rapat antara dia dan isteri, namun Apek tetap menjaga batas hubungan apabila berada di depan anak.
Keluarga Bahagia Saiful Apek
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 Komen:
Post a Comment