Rozita tepis gossip

Monday, November 24, 2008

Sekali dia bersuara, mampu membuatkan insan yang mendengar jatuh hati. Ditambah pula dengan kecantikan semula jadi yang dimiliki pasti bisa meluluhkan hati sesiapa yang memandang.

Dek kerana itu terlalu kerap tanggapan skeptikal dihujani wanita jelita ini.

Penggoda, perangkap VIP antara kata-kata yang acap kali dilemparkan kepada dirinya. Jika tuan empunya diri tidak rapuh pastinya semua itu bisa melemahkan bekas pramugari ini.

Namun bukan itu niat yang tersimpan jauh di sudut hati aktres jelita, Rozita Che Wan ini.

Tidak terlintas bahkan bukan mahu mengambil kesempatan atas kelemahan insan-insan yang sering kali cair apabila memandang dirinya.

Kerana bagi ibu tunggal kepada dua putera ini matlamat pembabitannya sebagai anak wayang adalah untuk mencari rezeki yang halal bagi diri dan anak-anaknya.

“Saya tak tahu mengapa sering kali saya dijadikan sasaran oleh individu-individu yang tak bertanggungjawab yang selalu menabur cerita kurang elok ke atas diri saya.

“Apa salah dan silap, saya sendiri tak mengerti. Saya juga tak faham mengapa saya kerap kali dikaitkan dengan VIP,” jujur luahan aktres tinggi lampai ini mengenai senario yang sering melanda dirinya.

Kalau sekali dua, tidak mengapa namun sekiranya cerita kurang enak itu terus-terusan dijaja hati mana yang mampu bertahan, malah kemarahan mana yang mampu dibendung.

Terang Rozita, sememangnya dia mengaku satu ketika dahulu hatinya pernah dicuri oleh seorang kenamaan, tetapi cerita sudah lama berlalu.

Enggan menyingkap kisah cinta itu, jauh sekali untuk mengungkit luka lama agar berulang kembali, dia kini lebih selesa untuk hidup bersendirian tanpa cinta.

“Kini saya sendiri dan selesa dengan keadaan ini. Lebih memudahkan saya dan tak banyak benda saya nak fikirkan,” katanya dalam satu pertemuan baru-baru ini.

Tetapi siapalah dia untuk menutup mulut-mulut di luar sana yang terus menerus mengaitkan dirinya bersama orang-orang kenamaan yang lain.

Akui Rozita, pedih dan sakit hatinya bertambah lagi apabila baru-baru ini kisah dongeng mengatakan dia dikatakan ditaja oleh suami penyanyi popular tanah air semakin menular.

“Saya tak tahu kenapa tiba-tiba saya dikaitkan dengan suami penyanyi tersebut. Ramai yang menghantar khidmat pesanan ringkas (SMS) kepada saya bertanya betul ke si polan memberi kereta kepada saya dan bermacam-macam benda lagi.

“Tak mungkin saya tergamak menerimanya memandangkan dia sendiri suami orang,” luahnya penuh kesal mengenai gosip tersebut.

Mampu bayar pemandu

Menyelak realiti kehidupan ibu kepada Ammar Effendy, 12 dan Aniq Ezzra, 10 ini mengakui mungkin kerana ramai yang sering kali melihat dirinya sentiasa dijemput, diambil oleh pemandu dan memiliki kereta BMW membuatkan ramai terfikir dirinya ditaja.

Tetapi realitinya terang Rozita, dia masih mampu membayar gaji pemandu selain ansuran kereta kegunaannya itu.

Dengan memegang status sebagai duta baru produk Garnier dan Rorine, ia sudah cukup menampung kehidupannya.

Itu belum lagi dicampur dengan hasil pendapatannya sebagai anak seni.

“Setiap bulan saya akan terlibat dalam rangka promosi produk-produk tersebut jadi dari situ saya mempunyai pendapatan.

“Alhamdulillah, tawaran lakonan juga membuatkan saya tak menang tangan. Bukan mahu menunjuk-nunjuk tapi kerja saya pulang tak menentu jadi apabila ada pemandu sekurang-kurang dapat meringankan tugas saya,” jelasnya lagi.

Tidak sakit

Umum sudah mengetahui si jelita ini juga dikaitkan sedang bertempur dengan penyakit yang agak berbahaya iaitu barah.

Malah dek kerana itu khabar-khabar angin bertiup mengatakan anak Alor Setar, Kedah ini semakin kurus.

Tidak mahu menyentuh lebih lanjut mengenai khabar angin itu jelas Rozita: “Saya kurus sebab terlalu banyak kerja. Agak stress dengan kerja tapi saya sihat sahaja.

“Saya juga hanya makan dua kali sehari iaitu tengah hari dan malam. Jika isu sakit itu saya tak mahu mengulas panjang cuma ingin saya tekankan di sini ialah sehingga ke hari ini Alhamdulillah saya masih sihat.”

Anak dapat 5A

Dalam perbualan malam itu, Rozita sempat juga berkongsi kegembiraan mengenai kejayaan anak sulungnya, Ammar Effendy memperoleh keputusan 5A dalam peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) yang diumumkan baru-baru ini.

Nyata usaha yang diambil oleh Rozita tidak sia-sia malah demi memastikan anaknya itu dalam perhatiannya, dia sanggup mengambil cuti selama 10 hari semata-mata mahu menemani buah hatinya itu dalam mengulangkaji pelajaran.

“Selalunya saya sibuk dengan penggambaran. Jadi apabila tiba masa peperiksaan UPSR, saya ambil cuti dan luangkan masa dengan Ammar.

“Apa pun kejayaan ini merupakan hasil usaha dia sendiri yang berdikari kerana saya sering sibuk, jadi dia sendiri ada kesedaran dan mahu berjaya,” katanya yang bangga dan mengharapkan kejayaan anaknya itu membuka mata masyarakat luar bahawa ibu tunggal juga mampu mengasuh anak-anak dengan baik.

Oleh NOR FADZILAH BAHARUDIN ~ Utusan

0 Komen:

Post a Comment

 

ZONFINITI