Bruce Willis saman syarikat Malaysia

Saturday, November 22, 2008


Aktor terkenal Hollywood, Bruce Willis menyaman syarikat Malaysia, Kumpulan Petra dan Pengerusinya, Tunku Imran Tuanku Ja'afar kerana tidak menerima bayaran AS$900,000 (RM3.2 juta) terhadap pelaburannya sebanyak AS$2 juta (RM7.2 juta) untuk menghasilkan produk getah yang mesra alam.

Pelakon popular menerusi filem Die Hard itu memfailkan samannya di sebuah mahkamah di Los Angeles, California, lapor agensi Bloomberg News, semalam.

Menerusi dokumen saman antara Willis dengan Elastomer Technologies � syarikat perkongsian itu, Willis mendakwa Ketua Pegawai Eksekutif Petra, Datuk Vinod B Sekhar dan Tunku Imran mempelawa aktor berkenaan melabur dalam syarikat yang mengusahakan tayar tidak bertoksik dan boleh dikitar semula.

Beliau menuntut wangnya sebanyak AS$900,000 (RM3.2 juta) dikembalikan kepadanya.

Willis mendakwa, syarikat Petra dan pegawai kanannya melanggar perjanjian kontrak dan bertindak tidak adil terhadapnya.

Aktor itu juga mendakwa, beliau dimaklumkan bekas Naib Presiden Amerika Syarikat, Al Gore dan aktor Mel Gibson sudah melabur dalam syarikat perkongsian Elastomer Technologies Ltd.

Willis mengemukakan pilihan yang mana bagi tempoh masa tertentu, beliau akan mendapat pulangan penuh wang pelaburannya dan menguatkuasakan pilihan itu pada 17 Mac lalu.

"Biarpun defendan berjanji untuk segera mengembalikan wang pelaburan Willis, namun pada April tahun ini, defendan terus berdolak dalik untuk 'menyimpan' wang berkenaan," kata Willis dalam dokumen mahkamah itu.

Sementara itu, jurucakap Petra, Andrew Murray-Watson berkata, Willis akan menerima baki AS$900,000 berkenaan dalam masa beberapa minggu lagi.

"Kami sendiri terkejut dengan tindakan Willis ini," kata Murray-Watson ketika dihubungi Bloomberg. Peguam Willis, Martin Singer pula gagal dihubungi bagi mendapatkan ulasan.

Laporan awal Bloomberg menyatakan, Green Rubber Global Plc, syarikat kitar semula tayar yang dimiliki bersama Gibson dan Willis, akan menjual sahamnya di London pada akhir tahun ini jika keadaan pasaran pulih. � Agensi

0 Komen:

Post a Comment

 

ZONFINITI