Mawi Dan Ekin berjanji sehidup semati

Thursday, November 27, 2008


Maklumlah, kira-kita tiga minggu saja lagi mereka akan melakar detik paling bersejarah dalam hidup sebagai pasangan suami isteri apabila dinikahkan pada tanggal 20 Disember nanti.

Dalam pada itu, ada di kalangan penggiat seni kita berhadapan masalah rumah tangga. Sejak sebulan dua ini, satu demi satu rumah tangga selebriti dan artis terkenal menghadapi masalah. Pastinya situasi berlaku sedikit sebanyak menggusarkan bakal pengantin baru baru ini.

Sekalipun sedikit tertekan menghitung hari bahagia yang bakal menjelang, Mawi dan Ekin mengaku berjanji untuk sehidup dan semati hingga ke akhir hayat.

Kata Mawi, apa yang diharapkannya ketika ini hanyalah doa daripada semua orang terutama peminat setia yang menyokong kerjaya seninya, sejak dulu.

"Saya harapkan semuanya (majlis pernikahan, persandingan dan resepsi) berjalan lancar dan selamat seperti direncanakan.

"Saya juga akui ramai pasangan artis yang bercerai ketika ini tapi hakikatnya, bukan artis saja yang kahwin dan bercerai. Sebaliknya, orang biasa pun bercerai juga tapi tidak mendapat liputan meluas daripada media. Bagi saya, perceraian itu sudah ketentuan Tuhan dalam hidup mereka.

"Apa yang penting, saya ingin berkahwin sekali saja seumur hidup dan doa saya, semoga perkahwinan kami kekal bukan saja ke anak cucu sebaliknya hingga ke akhir hayat," katanya.

Mawi dan Ekin ditemui ketika menyerahkan kad undangan majlis perkahwinan mereka di Balai Berita, kelmarin. Mereka turut ditemani Ketua Pegawai Operasi, Maestro Talent & Management (Maestro), Freddie Fernandez dan Ketua Pengurusan Artis dan Bakat Maestro Talent, Liza Ilias. Apapun, kata Mawi, dia lega kerana banyak urusan mengenai majlis perkahwinannya berjaya diselesaikan.

"Selain sudah menerima sijil kursus kahwin, kad undangan untuk media juga sudah siap dicetak sejak Oktober lalu. Semuanya secara berperingkat.



"Buat permulaan, kami edarkan kad kahwin kepada pihak media dulu. Selepas ini, barulah kami edarkan kepada sanak- saudara, sahabat handai dan kawan rapat pula.

"Manakala kad undangan untuk resepsi kami di Hotel Palace Of Golden Horses pada 11 Januari depan belum siap dan akan menyusul selepas ini," katanya.

Agenda seninya yang padat tidak menghalang Mawi untuk membuat persiapan majlis perkahwinannya itu. Apapun kata Mawi, setakat ini, persiapan di sebelah keluarganya berjalan lancar apabila sudah siap 50 peratus.

"Majlis di pihak saya diuruskan kakak dan adik yang bertungkus-lumus sejak awal lagi. Kami juga sudah mendapat kepastian untuk melangsungkan acara akad nikah di Masjid Abu Bakar, Johor Bahru.

"Persiapan majlis lain seperti baju, bunga telur dan pelamin semuanya masih dalam proses. Apa yang saya risaukan, majlis kami itu bertimpa-timpa dari majlis akad nikah hinggalah resepsi," katanya.

Ditanya sama ada kad undangan untuk golongan kenamaan sudah diedarkan, Mawi berkata, ia masih dalam perbincangan dengan Astro.

"Saya sudah senaraikan golongan kenamaan yang ingin diundang untuk menyemarakkan majlis resepsi di Hotel Palace Of Golden Horses tapi ia akan diputuskan Astro.

"Maklumlah, kami perlu mematuhi protokol untuk menjemput golongan berkenaan. Pihak kami juga perlu mendapat nasihat bila waktu sesuai untuk menghantar kad undangan kepada mereka," katanya.

Ekin pula berkata, persiapan di sebelah pihaknya pula sudah meningkat 75 peratus.

"Sebenarnya, Mawi yang sangat teruja menjelang hari pernikahan kami nanti. Dia yang sangat mengambil berat daripada hal sekecil potong bawang hinggalah pengangkutan helikopter dari rumah saya ke rumahnya untuk majlis yang berlangsung pada 28 Disember nanti.

"Persiapan lain seperti baju untuk akad nikah sudah siap dan baju resepsi pula masih dalam proses. Begitu juga cenderahati untuk golongan kenamaan.

"Kad undangan di pihak saya juga belum selesai diedarkan semuanya. Terus terang, kami memang pening kerana benda remeh-temeh ini apabila bimbang ada yang tercicir pula nanti," katanya.

Selepas singgah menghantar kad undangan perkahwinannya itu, mereka bergegas pula ke Bangsar Shopping Centre di Jalan Maarof, Kuala Lumpur untuk mencuba dua baju untuk Mawi tajaan Lord's Tailor Sdn Bhd (Lord's Tailor).

Lord's Tailor menaja dua baju Mawi untuk gambar muka depan buku perkahwinannya dan acara potong kek di rumah Ekin di Johor Bahru. Hadir sama, Pengarah Urusan Lord's Tailor, Robert Loh.

Mawi juga bakal menggayakan sut berwarna krim dengan 'vest' berwarna keemasan di dalamnya pada majlis persandingan di rumah Ekin nanti.

Sementara itu, Pengarah Pemasaran dan Jualan Lord's Tailor, Loh Lee Lee berkata, pihaknya memang menjalinkan kerjasama erat dengan golongan selebriti untuk memastikan mereka tampil bergaya dalam acara dihadiri termasuk majlis perkahwinan.

"Pemilihan sut untuk Mawi juga berbeza berbanding yang pernah digayakan pada majlis perkahwinan biasa. Mawi juga bakal menggayakan sut itu dengan sepasang kasut berwarna keemasan," katanya.

Dalam pada itu, majlis pernikahan Mawi dan Ekin yang akan berlangsung jam 11 pagi akan disiarkan secara langsung menerusi saluran Astro Oasis pada hari sama. Manakala, acara persandingan sebelah malamnya di rumah Ekin disiarkan menerusi saluran Astro Prima pada 27 Disember.


Oleh Ramlah Zainal

0 Komen:

Post a Comment

 

ZONFINITI