Pelakon, Nasrizal Ngasri, 29, atau lebih dikenali dengan panggilan Bell yang disahkan bercerai dengan isterinya, Nur Farhana Mahamd Fauri, 26, di Mahkamah Rendah Syariah di sini, semalam, berhasrat untuk merujuk semula.
Bell yang ditemui di luar mahkamah, berkata kes perceraiannya satu pengalaman dan pengajaran berguna buatnya.
“Kesilapan saya tidak belajar mengenai ilmu kehidupan,” katanya yang mengakui masih sayangkan isterinya.
Dia berkata, masih ada jalan damai membabitkan kedua-dua pihak, bukan satu pihak saja.
“Insya-Allah kita tengok. Dia bukan daripada satu pihak saja, tetapi kedua-dua pihak. Saya tidak lupa juga kehidupan saya sendiri...kata orang jangan asyik dengan kerja saja.
“Ini salah faham. Saya ada banyak buat silap, jadi kalau ada sesiapa tersinggung dan rasa saya banyak buat silap, saya minta maaf banyak-banyak,” katanya.
Sementara itu, ketika prosiding perceraian itu, Bell ditegur Hakim Syarie Mohd Yunus Mohamad Zin apabila terlelap di tempat duduk galeri awam mahkamah.
Apabila melihat pelakon itu terlelap, Mohd Yunus menganggap Bell selaku defendan tidak serius ketika mengikuti prosiding berkenaan.
Isterinya melemparkan senyuman ke arah suaminya sebelum Bell yang terjaga disapa Mohd Yunus dengan berkata: ‘Sedar tak? Kamu tidur di belakang. Ini kes cerai dan kes serius’.
“Kamu pernah tipu isteri kamu...maksudnya sepatutnya kamu berada di Kuala Lumpur, tetapi kamu ada di tempat lain...pernah berlaku? Sebab ada orang nampak kamu di tempat lain...betul ke?,” tanya hakim.
Bell segera menafikannya selain sempat berjenaka dengan berkata: “Pelanduk dua serupa...banyak sangat kembar saya.”
Mohd Yunus membalas: “Biasalah kamu artis. Ke mana-mana kamu pergi orang kenal.”
Hakim mengesahkan perceraian talak satu yang dilafazkan pelakon itu terhadap isterinya menerusi SMS pada 22 Oktober lalu.
“Mahkamah dengan ini mensabitkan jatuh talak satu kali pertama berjumlah satu talak dengan lafaz suami melalui SMS. Defendan mengaku dia menghantar SMS menggunakan telefon bimbitnya. Saya puas hati sabit talak pada 22 Oktober 2008.
“Masih ada peluang untuk kamu rujuk dan kalau nak (mahu) rujuk pergi sama-sama ke jabatan agama...rujuk di depan pegawai agama,” katanya kepada pasangan terbabit.
Bell menerusi kandungan SMS yang dihantar kepada Nur Farhana mengakui ada melafazkan perkataan cerai berbunyi: ‘Aku ceraikan kau. Thank you...selamat berjaya’.
‘Ayat-ayat cerai’ itu diakui Bell ketika diminta Mohd Yunus untuk menatap kembali kandungan SMS yang dihantar kepada Nur Farhana sebelum ia disimpan isterinya.
Bell memberitahu hakim dia ada menghantar SMS cerai kepada isterinya yang berada di rumah ketika dalam penggambaran sebuah drama dilakonkannya pada 22 Oktober lalu.
Malah, Nur Farhana berkata, SMS itu dihantar selepas dia melahirkan anak pertama dan baru habis pantang.
“Ketika itu, saya tidak tahu defendan berada di mana. Saya tidak ada menghubunginya. Mungkin dia di Negeri Sembilan. Saya terima SMS yang dihantar defendan ketika di rumah dan kami bergaduh dalam SMS itu,” katanya.
Bell yang ditanya Mohd Yunus mengenai punca dia melafazkan cerai melalui SMS, menafikan berpunca daripada pihak ketiga, sebaliknya akibat salah faham antaranya dan isteri.
“Lafaz cerai itu berlaku akibat perselisihan faham. Ketika saya buat penggambaran, ada orang beritahu isteri bahawa saya berada di tempat lain. Dia (isteri) tidak mahu terima apa yang saya cakap.
“Saya belum merujuk dan saya tidak ada hantar SMS lain. Kandungan perkataan ‘aku’ merujuk kepada diri saya dan ‘kau’ pula merujuk kepada dia (isteri). Bagaimanapun, saya tidak melafazkan berapa kali talak,” katanya.
Pelakon yang juga anak kepada bekas penyampai radio dan juga pengacara RTM, Ngasri Sain dan Habibah Jaafar itu diijabkabulkan dengan Nur Farhana pada 30 Mac tahun lalu di Masjid Al Khairyah, Taman Sri Gombak.
Hasil perkahwinan itu, Bell yang kini menunggu tayangan filem terbaru lakonannya, ‘Antoo Fighter’ dikurniakan seorang cahaya mata lelaki Nasfazril Nasrizal, tujuh bulan.
Oleh Mohd Sabran Md Sani
Bell mahu rujuk
Entri Lain
- Johan menang tiga trofi Anugerah MeleTOP Era 2015 (AME 2015)
- Azmil Mentor Legend jadi juara
- Grammy Awards 2015:Eminem grabs record sixth Best Rap Album
- Kumpulan Zero Juara Maharaja Lawak Mega 2014 (MLM 2014)
- Zamani minta maaf memaki jurugambar ketika khayal
- Gambar bikini Taylor Swift hangat di Instagram
- Anggota polis sebar klip video Zamani ditukar tugas
- Pengurusan Zamani Slam ambil tindakan
- Dr Vida, Pengasas Qu Puteh Dapat Tohmahan Selepas Labur RM3 Juta Di AJL 29
- Video Zamani Slam: Orang Ramai Bantah Video Zamani Slam Dalam Lokap
Permalink: Bell mahu rujuk
Categories Hiburan
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 Komen:
Post a Comment