Pelakon Nasrizal Ngasri yang lebih popular dengan nama Bell, sempat terlena sebelum Mahkamah Rendah Syariah di sini hari ini mensabitkan jatuh talak satu berhubung lafaz cerai menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS) yang dihantar kepada isterinya, Nur Farhana Mahamd Fauri.
Hakim Syarie Mohd. Yunus Mohamad Zin memutuskan demikian selepas berpuas hati mendengar penjelasan dan pengakuan Nasrizal sebagai pengirim SMS tersebut.
Nur Farhana, 26, selaku plaintif telah mengemukakan permohonan bagi mendapatkan pengesahan lafaz cerai Nasrizal, 28, yang dibuat menerusi SMS pada pukul 3 petang, 22 Oktober lalu.
SMS tersebut berbunyi: ''Aku ceraikan kau. Thank you. Selamat berjaya.''
Terdahulunya, Nur Farhana yang duduk di galeri awam berjalan menuju ke arah hakim ketika kes mereka berdua disebut pada pukul 10 pagi. Dia bagaimanapun sambil tersenyum berpatah semula ke belakang untuk mengejutkan suaminya yang nampak keletihan hingga terlena.
Hakim: ''Kamu tidur di belakang? Ini kes cerai. Kes serius ni. Kamu sudah terjagakah?''
Nasrizal: ''Sudah.''
Ketika disoal hakim mengenai lafaz cerai tersebut, Nasrizal menjelaskan bahawa selepas menghantar SMS, dia telah menghubungi plaintif untuk bertanya sama ada isterinya sudah menerima SMS tersebut. Kandungan SMS tersebut dibacakan sekali lagi oleh Nasrizal seperti yang diarahkan mahkamah.
Hakim: ''Apa puncanya? Ada orang ketiga?''
Nasrizal: ''Tiada. Tetapi ada berlaku perselisihan faham. SMS. Saya buat penggambaran tetapi orang cakap saya ada di tempat lain. Isteri pulak tidak mahu menerima penjelasan saya.''
Nasrizal juga ketika disoal hakim mengesahkan bahawa perkataan 'aku' merujuk kepada dirinya manakala 'kau' pula membawa maksud isterinya.
Menyentuh soal penggambaran, Nasrizal memberitahu dia terlibat dalam penggambaran drama di lokasi pada hari SMS itu dihantar.
Nur Farhana pula ketika ditanya di mana suaminya berada pada hari penerimaan SMS itu, memberitahu yang dia tidak tahu tetapi mungkin Nasrizal berada di Negeri Sembilan.
Plaintif juga tidak ingat sama ada dia berada dalam keadaan suci ataupun tidak kerana baru habis tempoh berpantang selepas bersalin anak mereka yang pertama.
Nasrizal turut memberitahu tidak pernah membohongi isterinya, sebagai contoh memberitahu dia berada di tempat lain tetapi sebenarnya dia ketika itu berada di Kuala Lumpur.
Hakim juga bertanya: ''Ada orang nampak kamu di tempat lain. Betulkah?''
Dengan spontan Nasrizal menjawab: ''Pelanduk dua serupa. Banyak sangat kembar saya.''
Hakim: ''Biasalah awak artis. Ke mana pun orang kenal. Ada apa-apa yang awak nak cakap mengenai lafaz? Setuju? Betulkah lafaznya?''
Pada tahap ini, Nasrizal dilihat termenung seketika sebelum mengesahkannya.
Hakim berkata: ''Sabit jatuh talak satu kali pertama dengan jumlah satu talak dengan lafaz seperti yang terkandung dalam SMS. Ini kerana, defendan mengakui SMS datang daripadanya dan menggunakan telefon bimbitnya pada 22 Oktober lalu.''
Sejurus kemudian hakim menambah: "Masih ada peluang untuk rujuk semula. Jika hendak rujuk semula, sama-samalah ke pejabat agama. Rujuk di hadapan pegawai agama. Kes ini selesai.''
Sementara itu, ketika ditemui media di luar mahkamah, Nasrizal mengakui kesilapan dirinya.
''Saya tidak berapa pandai dalam benda-benda ini. Apa yang saya cakap semua itu pengalaman dan pengajaran buat saya kerana tidak belajar tentang ilmu kehidupan.
''Kami ada mencari penyelesaian dengan jalan damai yang baik. Saya pun banyak buat silap. Sesiapa yang merasa tersinggung ataupun yang rasa saya banyak melakukan kesalahan, saya minta maaf. Saya manusia biasa yang cetek ilmu kehidupan,'' kata Nasrizal dengan tenang.
Ditanya sama ada kemelut rumah tangganya disebabkan pihak ketiga, Nasrizal menegaskan: ''Tidak ada pihak ketiga. Kalau saya buat silap dan menyinggung perasaan orang lain, saya minta maaf banyak-banyak.''
Pasangan itu bernikah pada pukul 3.50 petang 30 Mac 2007 di Taman Bukit Permata, Taman Sri Gombak dengan mas kahwin RM80 dan wang hantaran RM8,888.88.
Pelakon yang muncul dalam filem Cinta pada November 2007 telah berlakon sejak kecil lagi. Dia turut membintangi filem genre komedi, Antoo Fighter yang akan ditayangkan hujung bulan ini.
Oleh NORAZLITA MOHD. SIES
Bell Ngasri sah bercerai talak satu
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 Komen:
Post a Comment