Saiful Apek tidak gentar

Tuesday, June 22, 2010

Taburlah apa saja kata nista atau penghinaan terhadapnya, semua itu tidak pernah sesekali menakutkan Artis Komedi Popular, Saiful Apek, 41, untuk bertentang mata dengan masyarakat.

Suara minoriti yang cuba melemahkan semangat perjuangannya itu tidak akan sesekali diendahkan. Saiful Apek sentiasa percaya, Allah Maha Kaya untuk menentukan jatuh bangun dan rezekinya.

"Saya lebih takut apabila diadili di mahkamah mutlak iaitu di Padang Mashyar kelak," katanya dalam nada lemah ketika dihubungi atas bantuan pengurusnya, Adam, petang Sabtu lalu.

Diserang selsema, batuk dan demam, artis komedi kelahiran Gombak, Selangor itu berterima kasih dan bersyukur kepada Tuhan kerana dipilih melalui pengalaman yang tidak dapat dinilai dengan wang ringgit atau harta benda.

Biar mungkin ada yang mencemuh, Saiful berkata, peristiwa penahanan selama lima hari kerana disyaki mengambil dadah membawanya melalui satu proses peralihan yang sukar untuk digambarkan dengan perkataan.

Sakit dan trauma berdepan situasi itu masih dirasai tetapi kata pelakon yang baru muncul dengan filem Kecoh Betul, peristiwa itu juga akhirnya menemukan dia dengan siapa dirinya yang sebenar.

"Saya lebih kenal siapa diri saya, juga tahu siapa yang menyayangi dan membenci saya. Saya lalui satu proses yang sukar tetapi masih ada yang menyayangi. "Saya berterima kasih kepada segelintir peminat yang bersusah payah mengumpul dana, bahkan ada yang memecah tabung wang simpanan semata-mata kerana mahu saya bebas," katanya dalam sebak yang tertahan.

Sepanjang lima hari direman, Saiful berterima kasih kepada polis kerana menjaganya dengan baik. Baginya, polis sudah menjalankan kerja mereka dengan adil dan bijaksana.

"Maaf saya tidak dibenarkan untuk mengulas kejadian malam itu. Saya juga tidak boleh memberi komen lain yang berkaitan kejadian. Apa yang dapat saya kongsi cuma pengalaman berharga yang tidak dapat dinilai dengan wang ringgit.

"Saya percaya kepada Allah. Saya sentiasa meyakinkan diri setiap apa juga musibah yang datang tidak akan menjejaskan diri dan nama baik saya. Untuk menjadi manusia terbaik, saya harus melalui perkara yang buruk dulu.

"Kepada mereka yang cuba menutup pintu rezeki saya, mereka harus ingat Allah Maha Kaya. Dia yang memberikan rezeki kepada setiap manusia dan saya percaya itu," katanya.

Diasak pertanyaan, apa mungkin penangkapannya itu berlaku disebabkan penganiayaan, Saiful Apek enggan mengulas sebaliknya menyerahkan kepada Allah untuk memberikan keadilan.

Pada 13 Jun lalu, Saiful ditahan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Subang Jaya bersama beberapa rakannya kerana disyaki mengambil dadah. Dia bersama-sama suspek yang lain ditahan selama lima hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39 A (1) Akta Dadah Berbahaya 1952. Bagaimanapun, pada Jumaat lalu (18 Jun), Saiful dibebaskan dengan jaminan polis.

Mahu berehat seketika

DALAM rendah diri, Saiful yang sudah 12 tahun menekuni industri hiburan mengumumkan hasratnya untuk berundur sementara kerana enggan peristiwa penahanan itu memberi impak kepada keluarga dan anaknya yang sedang membesar.
Katanya, keutuhan dirinya tidak tergugat dengan insiden yang berlaku sebaliknya ingin memanfaatkan kesempatan itu untuk berehat dan meluangkan lebih banyak masa bersama keluarga.

"Saya sudah terlalu penat bekerja dan banyak berhutang masa dengan keluarga. Mungkin ini fadilat yang saya peroleh daripada peristiwa penahanan itu.

"Biarpun saya berehat daripada industri seni tetapi keputusan itu tidak pernah menamatkan perjuangan saya untuk memberi sumbangan kepada masyarakat. Saya akan cuba bermati-matian menerusi kempen antialkohol, dadah dan penganiayaan.
Keinsafan itu timbul ketika saya ditahan, membuatkan saya sangat bersyukur kerana kembali mendapat nikmat kebebasan," katanya.

Tidak menetapkan tempoh tertentu untuk berehat, Artis Paling Popular, Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 2003 itu berkata, dia akan kembali ke dunia seni apabila sudah bersedia nanti.

Meniti hidup dalam bidang seni mengingatkan Saiful supaya sentiasa meletakkan dirinya sebagai seorang pelajar kerana proses menimba ilmu itu tidak akan pernah berakhir.

"Jadi tidak akan ada istilah bersara atau letak jawatan, sebaliknya saya cuma mahu berundur diri seketika. Saya tidak mahu nanti akan ada suara yang mempertikai apabila saya masih tidak berubah.

"Ikhlas saya katakan, saya tidak layak dijadikan ikon atau contoh kerana ikon sejati ialah Rasulullah SAW. Tiada siapa yang dapat menggantikan tempat baginda.
"Dalam tempoh berehat itu, saya akan cuba berusaha untuk melaksanakan impian yang saya peroleh ketika ditahan reman. Saya akan kembali jika masih ramai yang memerlukan saya dan berasakan saya layak untuk diberi sokongan," katanya.

Oleh Zul Husni Abdul Hamid

0 Komen:

Post a Comment

 

ZONFINITI