Konsert jazz MPYO di KLCC

Thursday, June 03, 2010

Malaysian Philharmonic Youth Orchestra (MPYO) akan mengadakan persembahan dua malam yang mengasyikkan di Dewan Filharmonik PETRONAS (DFP) pada pada 15 Jun dan 16 Jun, jam 8.30 malam.

Di bawah pimpinan konduktor Kevin Field, ini adalah persembahan kesembilan MPYO di pentas DFP.

Untuk julung kalinya, MPYO berkongsi pentas bersama enam pemuzik jazz handalan, Fritz Renold (pemain saksofon dan pengasas Jazzaar), Randy Brecker (pemain trumpet jazz terulung) diiringi kumpulan The Bostonian Friends yang dianggotai Reggie Hamilton (bass), Danny Gottlieb (drums), Christian Jacob (piano) dan Steve Reid (trumpet), kesemuanya anggota kumpulan Jazzaar.

Sebagai permulaan, anggota MPYO bersama-sama dengan ahli Program Encounter Jazz di bawah pimpinan Marques Young akan terbabit dalam bengkel muzik selama 10 hari di bawah bimbingan pemuzik Jazzaar sebelum berlangsungnya konsert ini.

Konsep di sebalik konsert Jazzaar ini ialah gabungan pelajaran muzik dan pertukaran budaya yang mana pemuzik muda digalakkan berkerja sama dengan pemuzik profesional untuk sebuah produksi dan persembahan besar sebelum beraksi di khalayak ramai.

Langkah ini juga membantu menaikkan taraf seni muzik dan artistik di kalangan pemuzik muda ini dan memberi hubungan langsung antara bakat-bakat muda dengan industri muzik antarabangsa.

Konsert ini bakal menyaksikan MPYO mempersembahkan dua karya agung Duke Ellington bertajuk Harlem dan Night Creature, selain persembahan sulung lagu Suite Nusantara iaitu sebuah karya lima bahagian yang menggambarkan budaya Malaysia dulu dan sekarang.

Fritz berkata, dia berasa teruja untuk bekerjasama dengan MPYO dan Kevin Field kerana generasi baru adalah generasi masa depan.

“Mereka seharusnya diberikan legasi kreativiti untuk masa depan muzik. Tiada jalan yang lebih baik selain dari pemuzik profesional bekerjasama dengan anak-anak muda.

“Gabungan jazz dan muzik klasikal adalah masa depan muzik secara global kerana adanya gabungan struktur muzik dan pengubahsuaian. Ia juga akan memberi ruang baru untuk kesedaran muzik antara komposer dan pemain,” katanya.

Dalam musim konsert yang menyaksikan MPYO mempersembahkan muzik pelbagai genre, Kevin berkata, pemuzik moden digalakkan bermain dengan gaya muzik hari ini dan amat penting untuk setiap pemuzik muda ini didedahkan kepada pelbagai ruang muzik.

“Saya pernah berkerjasama dengan Fritz di Switzerland dan sangat teruja untuk membawa kumpulan Jazzaar kelolaannya ke Malaysia. Ini adalah acara besar dalam sejarah MPYO dan untuk ahli dan penonton, ini adalah sebuah pengalaman yang istimewa,” katanya.

Konsert MPYO


Tarikh Persembahan: 15 Jun dan 16 Jun
Masa: 8.30 malam
Tempat: Dewan Filharmonik PETRONAS, Menara Kembar PETRONAS
Harga Tiket: RM140, RM110, RM90, RM60 dan RM30 (pelajar)

Waktu Operasi Box Office


Isnin hingga Sabtu: 10 pagi – 6 petang, 9 malam pada malam persembahan
Ahad: 12 tengahari hingga waktu persembahan
Tempahan Telefon: 03- 2051 7007 Tempahan Faksimili: 03- 2051 7077
Tempahan Email: dfp_boxoffice@petronas.com.my
Laman web MPYO:www.mpyo.com

0 Komen:

Post a Comment

 

ZONFINITI