Kontrak jual beli

Monday, June 21, 2010

Semua manusia yang mempunyai kewarasan pastinya ingin memiliki harta. Ini kerana pemilikan harta benda adalah merupakan naluri semula jadi manusia yang diiktiraf oleh Islam.

Namun, proses untuk memiliki harta perlulah dilaksanakan melalui proses yang dibenarkan oleh Islam. Salah satu kaedah bagi memiliki harta adalah dengan menggunakan kontrak jual beli (al-Bai').

Keharusan kontrak jual beli secara umumnya dibuktikan dengan firman Allah SWT yang bermaksud: Dan Allah telah menghalalkan jual beli dan mengharamkan riba. (al-Baqarah: 275)

Jual beli daripada segi bahasa bermaksud menukar suatu barang dengan suatu barang.

Menurut istilah Mazhab Hanafi, jual beli adalah pertukaran suatu harta dengan suatu harta mengikut cara yang tertentu. Atau menukar sesuatu yang disukai dengan sesuatu yang lain yang juga disukai dengan cara tertentu yang berfaedah iaitu dengan tawaran.

Imam Nawawi dalam kitabnya al-Majmu' mendefinisikan jual beli sebagai: "Menukar harta dengan harta untuk memberi milik".

Ibn Qudamah dalam kitabnya al-Mughni mentakrifkan jual beli sebagai menukarkan harta dengan harta atas dasar memberi milik dan menerima milik (rujuk Fiqh Islam wa Adillatuhu, Dr. Wahbah Zuhaili, jil IV, ms 360).

Secara ringkasnya, kita boleh gambarkan bahawa kontrak jual beli melibatkan pemberian hak milik dengan pertukaran. Maksudnya, apabila kontrak jual beli dimeterai, mesti berlaku pertukaran hak milik di antara kedua-dua pihak yang berkontrak iaitu penjual dan pembeli.

Sebagai contoh, Ahmad mahu membeli buku berharga RM100 daripada Abdullah. Asalnya, Ahmad mempunyai wang dan Abdullah memiliki buku tersebut. Setelah berlakunya kontrak jual beli, maka kepunyaan Ahmad iaitu wang bernilai RM100 berpindah kepada Abdullah. Buku milik oleh Abdullah pula berpindah milik kepada Ahmad.



Inilah yang disebutkan konsep mu'awadhah (pertukaran hak milik) yang terdapat dalam kontrak jual beli.

Mengikut jumhur ulama, kontrak jual beli mengandungi empat rukun iaitu penjual, pembeli, barang dan sighah. Namun, ulama mazhab Hanafi menyatakan bahawa rukun kontrak jual beli hanya dua iaitu tawaran (ijab) dan penerimaan (qabul).

Adapun rukun-rukun yang lain pada pandangan mereka adalah sekadar syarat menyempurnakan rukun ijab dan qabul.

Sebagaimana kontrak-kontrak yang lain, kontrak jual beli dikira sah apabila melengkapi rukun-rukun dan syarat-syarat secara sempurna.

Sebarang kelompangan kepada rukun- rukun dan syarat-syarat tersebut, maka kontrak jual beli tidak dapat dilaksanakan dengan sempurna. Ini juga bermakna, kontrak yang tidak lengkap ini akan menyebabkan pemindahan hak milik tidak berlaku. Ia tidak melahirkan apa-apa kesan.

Jumhur ulama menyatakan kontrak jual beli yang sahih adalah yang melengkapi syarat dan rukunnya. Kontrak yang tidak sempurna rukun dan syaratnya dianggap sebagai fasid dan batal.

Jumhur ulama berpandangan bahawa fasid dan batal adalah sama iaitu kontrak tersebut tidak mempunyai apa-apa kesan dan juga mereka yang terlibat berdosa. Ini kerana tidak ada perbezaan antara menyanggahi rukun-rukun kontrak dan menyanggahi sifat-sifat kontrak itu sendiri.

Ini berdasarkan sabda Rasulullah SAW: Sesiapa yang melakukan suatu kerja yang bukan dari urusan agama kita, maka ia tertolak dan sesiapa yang membawa masuk ke dalam agama kita apa yang bukan daripada-Nya maka ia tertolak. (riwayat Bukhari dan Muslim)

Namun, ulama mazhab Hanafi berpandangan bahawa fasid dan batal adalah dua perkara yang berbeza. Pada pandangan mereka, larangan syarak terhadap sesuatu kontrak kadang-kadang bermakna berdosa sahaja tanpa membatalkan kontrak tersebut.

Maka, kontrak jual beli menjadi terbatal apabila berlaku kecacatan pada salah satu rukun atau syarat kontrak tersebut. Contohnya, kontrak jual beli yang dilakukan oleh orang gila atau kanak-kanak yang belum mumayyiz.

Kontrak yang fasid pula adalah kontrak yang berlaku ke atasnya sesuatu perkara yang bercanggah dengan sifat asal kontrak tersebut. Sebagai contoh, menjual sesuatu yang majhul (tidak diketahui spesifikasinya dari segi kualiti dan kuantiti).

Walaupun terdapat perbezaan pandangan dalam mentakrifkan fasid dan batal, namun unsur-unsur ini sepatutnya dielakkan untuk memastikan kesempurnaan kontrak jual beli yang berlangsung.

Oleh WAN JEMIZAN W. DERAMAN

0 Komen:

Post a Comment

 

ZONFINITI