Penyanyi dangdut dan pelakon popular, Ifa Raziah mengakui membuat laporan polis terhadap adik lelakinya selepas berlaku perselisihan faham keluarga itu, Khamis lalu.
“Punca perselisihan bermula apabila saya meminta dia melunaskan segala hutangnya kepada arwah ibu, Maimunah Ahmad yang meninggal dunia, Selasa lalu.
“Dia yang tidak berpuas hati meluru ke bilik dan mengambil topi keledar dan memukul kepala saya dua kali sehingga saya jatuh. Dalam keadaan berpinar, saya gagahkan diri mengemas barang untuk pulang ke hotel penginapan tetapi dia kembali bertindak ganas apabila menumbuk muka saya bertubi-tubi.
“Dia juga mengugut untuk menyimbah asid jika membuat laporan polis. Bimbang dengan ugutannya, saya merujuk ke Balai Polis Guar Napai sebelum membuat laporan di Balai Polis Kubang Pasu,” katanya sebak.
Ifa berkata, dia turut membuat pemeriksaan di Hospital Jitra kerana bimbang mengalami kecederaan kesan hentakan di kepalanya itu.
Katanya lagi, biarpun laporan dibuat itu akan memalukan diri dan menjatuhkan nama baik keluarganya, dia tidak berhasrat untuk menarik balik aduan.
“Saya mahu dia berubah dan menjadi manusia bertanggungjawab. Memang peristiwa ini pahit dan pedih untuk ditelan, apatah lagi membabitkan maruah keluarga.
“Tetapi kekerasan yang dilakukannya tidak dapat saya terima. Saya bukan mata duitan, malah tidak mahu sesen pun duit yang ditinggalkan arwah ibu. Saya cuma mahu memberi peringatan supaya adik menghormati saya sebagai darah dagingnya,” katanya.
0 Komen:
Post a Comment