Sheeda mendakwa ditipu penganjur Konsert Dangdut Khas Dana Untuk Penulis Lirik Seri Bayu

Thursday, June 03, 2010

PENYANYI dangdut Sheeda mendakwa ditipu penganjur Konsert Dangdut Khas Dana Untuk Penulis Lirik Seri Bayu menyebabkan dia terpaksa mengambil keputusan membatalkan konsert yang sepatutnya berlangsung Ahad lalu di Dataran Astaka Tanjung Karang pada saat akhir.

Sheeda ketika dihubungi berkata, penganjur berjanji memberi sebanyak RM25,000 kepada Seri Bayu yang kononnya diperoleh hasil kutipan tiket sebanyak 500 keping yang dijual kepada sebuah syarikat korporat. Bagaimanapun, dua hari sebelum konsert itu berlangsung, dia masih belum menerima wang berkenaan. Oleh kerana berasa tertipu dan tidak mahu menghampakan Seri Bayu, konsert itu terpaksa dibatalkan serta-merta, walaupun penganjur berkenaan adalah salah seorang sahabatnya.
“Saya berani meuwar-uwarkan mengenai konsert itu kerana penganjur kata tiket sebanyak 500 keping yang dikeluarkan sudah dibeli oleh sebuah syarikat korporat. Pada mulanya saya berhasrat ingin mengadakan majlis makan malam saja dengan menjual tiket pada harga RM 80. Peminat yang beli tiket bukan saja boleh menyaksikan persembahan artis tetapi dapat menikmati makan malam yang disediakan.

“Bagaimanapun penganjur tak bersetuju, mereka kata lebih baik buat sebuah konsert terbuka. Saya pun bersetuju, malah rela menurunkan harga tiket daripada RM 80 kepada RM 50. Penganjur kata kononnya syarikat itu bersetuju membeli ke semua tiket dan cadangkan supaya diadakan konsert terbuka secara percuma.

“Oleh kerana sudah mengenali penganjur, saya pun tiada sebarang keraguan apatah lagi sebelum ini saya pernah buat persembahan di bawah penganjur itu. Tetapi pada 23 hari bulan iaitu tujuh hari sebelum konsert, saya menelefon pihak penganjur untuk bertanyakan mengenai wang sebanyak RM 25,000 itu tetapi berkali-kali saya telefon tak berangkat. Saya mula berasa tak sedap hati, sehingga dua hari sebelum konsert, duit berkenaan masih lagi tidak dapat, jadi saya terpaksa mengambil keputusan berat membatalkan saja konsert itu.

“Lagipun saya tak mahu hampakan rakan-rakan yang bersungguh-sungguh menyanyi secara percuma untuk Bayu. Saya tak mahu mereka kecoh pada hari konsert sekiranya mengetahui Bayu masih lagi tak mendapat wang berkenaan, daripada kecoh lebih baik konsert itu dibatalkan saja. Saya juga tak mahu sekiranya penganjur nak bayar RM 5,000 saja kerana jumlah itu tidak menepati sasaran yang saya mahukan,” kata Sheeda.
Tindakan Sheeda membatalkan konsert di saat akhir juga menimbulkan spekulasi kononnya dia cuba menyeleweng wang berkenaan. Bagaimanapun Sheeda menjelaskan, walaupun konsert itu adalah cetusan ideanya tetapi dia tidak mendapat bayaran walau satu sen pun. Satu-satunya wang yang dipegang adalah sumbangan seorang pengusaha produk kecantikan iaitu Sosilawati yang bermurah hati menaja sejumlah wang untuk kos pengangkutan serta beberapa urusan lain tetapi wang itu akan dikembalikan kepada Sosilawati.

Kata Sheeda walaupun berat hati untuk memberitahu komposer itu berikutan keadaan kesihatannya yang tidak mengizinkan, dia terpaksa juga berbuat demikian kerana tidak mahu Bayu menaruh harapan. Katanya lagi, dia dapat melihat wajah Seri Bayu yang sedih dengan keadaan yang berlaku hingga menitiskan air mata.

“Saya berada di pihak yang benar, tidak ada istilah tipu menipu. Kalau saya dah dapat sebahagian duit itu bolehlah orang tuduh saya menyeleweng tetapi ini satu sen pun saya tak dapat. Kalau betul saya menyeleweng duit, saya takkan pergi ‘show’ sana sini. Lebih baik saya duduk di rumah saja.

“Saya memang sedih sangat dengan apa yang berlaku. Saya sedih susah payah saya mencari rakan untuk menjayakan konsert ini. Mereka juga tak minta satu sen bayaran sebaliknya bersedia membuat persembahan secara percuma tetapi akhirnya niat saya tak kesampaian. Kalau benda ini berlaku kepada saya tak mengapa tetapi penganjur itu menganiaya orang yang tak berdaya seperti Seri Bayu, itu yang buat saya berasa sangat sedih.

“Walaupun hasrat ini terbantut, saya tidak akan serik. Apa yang berlaku mungkin ada hikmah, saya berjanji pada Bayu, saya akan tetap membantunya mendapatkan sejumlah wang supaya dia dapat menjalani terapi untuk mengubati penyakit sarafnya. Insya Allah saya akan adakan juga majlis bagi mengutip dana untuk Bayu, tetapi kali ini saya akan mengadakan juga majlis makan malam.

Bagaimanapun rancangan itu mungkin akan memakan sikit masa untuk direalisasikan kerana saya perlu memulakan semula rancangan dari bawah semula,” katanya.

Antara rakan artis yang bersetuju untuk menjayakan konsert itu ialah Ewan, Zaleha Hamid, Herman Tino, Salwa Abd Rahman, Tushee, Sara, Siti Fairuz, Hashima, Bella, Bienda, Halil Chik, Aris Abdul, Dior, Amir (Raja Lawak), Oney, Jojo dan ramai lagi.

Kata Sheeda lagi, satu sidang media bagi menjelaskan mengenai pembatalan konsert itu akan diadakan bersama dengan Presiden Persatuan Karyawan, Datuk Freddie Fernandez yang banyak membantu usahanya untuk menjayakan konsert berkenaan. Bagaimanapun ia tidak dapat diadakan dalam masa terdekat berikutan kesibukan Freddie.

0 Komen:

Post a Comment

 

ZONFINITI