Kudup bunga gugur di halaman,
Lebah kelulut di pucuk jarang,
Di barat merbau senduduk condong,
Hidup di dunia atur pedoman,
Usah mengikut telunjuk orang,
Ibarat kerbau dicucuk hidung.
Ribut mendesah dari seberang,
Basah halaman ditimpa hujan,
Kilat tertampan di lereng bukit,
Sewaktu susah ditolong orang,
Setelah senang tegar melawan,
Ibarat melepaskan anjing tersepit.
Pegaga dijeruk dibuat kenduri,
Ulam raja beralas pinggan,
Nasi dimasak di bawah pohon,
Hanya terperuk di tempat sendiri,
Macam mana nak luas pengalaman,
Seperti katak di bawah tempurung.
Salai pisang dibelah jua,
Arang seludang ditimpa belebas,
Di bawah pangkin api menyala,
Bagai pinang dibelah dua,
Orang memandang mata tak lepas,
Benarkah pengantin sehati sehala?
Hidup di paya betuk bersengat,
Ikan betutu tersekat di rakit,
Seluang jauh belida pun jauh,
Hidup di dunia biar beringat,
Belum tentu menongkat langit,
Mumbang jatuh, kelapa pun jatuh.
Pantun Enam Kerat ini hasil nukilan MOHD. KASIM MAHMUD dan Blog beliau boleh dilayari menerusi laman http://mohdkasim.blogspot.com/
Pantun Enam Kerat : Ceritera Peribahasa
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 Komen:
Post a Comment