Filem Kembar Siang Ada Tarikan

Wednesday, February 23, 2011

Filem baru, pelakon Intan Ladyana, Kembar Siang arahan Dr Hatta Azad Khan yang akan ditayangkan di pawagam mulai esok (24 Februari), punya tarikan tersendiri kerana bergandingan bersama kekasih hati, Kamal Adli sebagai pelakon utama.

Akui Intan, mereka sudah banyak kali berlakon bersama dalam pelbagai drama antaranya Seribu Kali Cinta dan Kekasihku Is Setan, tetapi untuk filem ini adalah pertama kali digandingkan. "Secara peribadi, saya tidak mempunyai masalah berlakon bersamanya. Sebaliknya, saya tidak tahu bagaimana persepsi penonton terhadap kami dalam filem kali ini. Berdasarkan lakonan lalu, saya terima respon positif.

"Setiap kali penggambaran, saya selalu bertanya kepada pengarah mengenai lakonan sendiri. Jika dulu saya tidak tahu apa itu konti, kini saya lebih faham kerja pelakon.

"Memang pengalaman banyak mengajar saya dan apabila berlakon seterusnya, saya cuba perbaiki lakonan agar lebih baik," katanya.

Sepanjang dua tahun berpacaran, Intan berkata, dia bersama Kamal masih sibuk memberi fokus pada kerjaya masing-masing dan belum merancang menamatkan zaman bujang.

Menerusi Kembar Siang terbitan Metrowealth MIG Production yang membawa genre komedi romantik, Intan dan Kamal membawa dua watak iaitu pasangan kembar seiras. Kamal melakonkan watak Awal dan Awi manakala Intan Ana dan Ani dan untuk membezakan kedua watak itu, Ana tampil bertudung.

Dalam kesibukan mempromosi Kembar Siang, Intan juga sibuk di lokasi penggambaran filem baru, Bini-Biniku Gangster arahan Ismail Bob Hasim. Filem genre aksi komedi ini sekali lagi menggandingkan Intan bersama Sam sebagai suami isteri dan turut dijayakan Norliana Samsudin (Yana). Kali ini Intan dan Yana bermadu apabila Intan memegang watak Riana iaitu isteri kedua dan Yana isteri pertama. Intan juga baru selesai proses memasukkan suara untuk filem seram, Flat 3A arahan Azhari Zain. Menariknya, Intan menghayati watak gadis kilang yang tergamak membuang anak dalam filem ini. Sementara itu, Hatta berkata, pemilihan Kamal dan Intan untuk filem ini bukan kerana kisah cinta mereka tetapi apa yang berlaku secara kebetulan. Katanya, dia puas hati dengan lakonan mereka berdua.

"Ini juga filem kedua saya bersama MIG selepas Senario Asam Garam yang ditayangkan hari raya tahun lalu dan masih selesa membawa genre komedi dalam karya saya.

"Dalam Kembar Siang, saya menyampaikan kisah kembar seiras antara Awal menjaga adiknya, Awi yang mengalami terencat akal tetapi mempunyai kelebihan pada pengetahuan seperti subjek sejarah dan matematik.

"Orang sekeliling keliru melihat fizikal mereka sama tetapi dari aspek perwatakan, baru mereka kenal. Cabaran membawa dua watak kembar ini bukan hanya pada saya tetapi pada Kamal sendiri.

"Dalam filem ini, saya dibantu 16 pelajar Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Industri Kreatif dari Universiti Teknologi Mara (UiTM). Ketika menyiapkan filem ini, saya berbincang bersama pelajar mengenai sesuatu adegan untuk mendapat pandangan penonton muda sama ada adegan itu menjadi atau tidak. Ada pandangan mereka saya ambil untuk menjadikan adegan itu lebih menarik," katanya.



Pengarah terkenal filem Mat Som dan Wayang ini berkata, dialog yang membawa dua maksud berbeza dan sindiran adalah perkara lazim digunakan dalam cerita komedi. Malah, dalam filem ini beliau turut menyampaikan mesej mengenai sikap peniaga dan pelanggan yang jujur serta kasih sayang abang terhadap adik hingga sanggup mencari jodoh. Bagi produser MIG, David Teo, melihat penerbitan filem kali ini tambah mencabar kerana bilangan filem baru yang diterbitkan termasuk menanti tayangan semakin banyak.

"Selepas kejayaan besar Ngangkung meraih kutipan RM8.45 juta, filem Kembar Siang menjadi pembuka tirai filem MIG tahun ini. Buat masa ini, saya tidak tahu berapa banyak filem sendiri yang akan ditayangkan. Masih ada tujuh filem baru lain berbaris menunggu tayangan. "Namun, apa yang penting saya mahu membangun modal insan pada karyawan dan penonton. Seperti filem baru kali ini, ia sesuai ditonton penonton muda," katanya.

Kembar Siang adalah filem keempat ditayangkan selepas Khurafat arahan Syamsul Yusof pada 13 Januari dan mencatat kutipan membanggakan lebih RM8 juta diikuti Haq (27 Januari) dan Sini Ada Hantu (10 Februari).

Mulai Mac ini, satu filem ditayangkan setiap seminggu bermula dengan Hikayat Merong Mahawangsa pada 10 Mac, Ratu The Movie (17 Mac), ...Dalam Botol (24 Mac) dan Cun (31 Mac).

0 Komen:

Post a Comment

 

ZONFINITI