Statistik Tribunal Pengguna Malaysia (TTPM) pernah menunjukkan setiap hari kira-kira empat orang, atau sebulan sejumlah 130 orang, menjadi mangsa penipuan sindiket Gores dan Menang.
Walaupun kerajaan sudah mengharamkan Gores dan Menang, peraduan berkenaan dilihat masih berleluasa di seluruh negara bagai ‘cendawan tumbuh selepas hujan’.
Buktinya, media massa terutama akhbar-akhbar tempatan sering memaparkan kes penipuan peraduan ini yang membabitkan jumlah wang mangsa sehingga ribuan ringgit.
Kalau difikir logik akal, dalam dunia hari ini siapa yang sanggup memberikan sesuatu barangan bernilai tanpa memerlukan seseorang penerima bersusah-payah berusaha.
Ironinya, mengapa dalam ‘kekecohan’ akhbar mengetengahkan isu penipuan berkenaan, masih ada individu dengan mudah terus dikelentong penganjur peraduan yang hanya bermodalkan air liur, pujukan dan kebijaksanaan untuk memperoleh keuntungan?
Pegawai Unit Tindakan Khas Gores dan Menang & Ah Long Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Saharudin Bakar berkata, sikap kurang peka masyarakat menjadi punca utama mengapa mereka dengan mudah menjadi mangsa skim itu.
“Secara purata, setiap bulan, PPIM menerima 15 hingga 20 kes aduan daripada mangsa yang ditipu sindiket Gores dan Menang.
“Daripada apa yang dibincangkan antara saya dan mangsa, PPIM mendapati kebanyakan mereka kurang peka dengan kes penipuan mengenai peraduan ini yang dipaparkan media.
“Sikap kebanyakan masyarakat yang lebih gemar membaca sesuatu ruangan contohnya politik dan hiburan, menyebabkan mereka seringkali tidak mempedulikan isu kepenggunaan seperti penipuan gores dan menang,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui Utusan Malaysia di pejabatnya di Keramat, Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Menurut Saharudin, masyarakat terutamanya perlu berhati-hati dan mengenali ciri-ciri skim Gores dan Menang bagi mengelakkan diri atau keluarga menjadi mangsa.
Bukan mahu mendiskriminasi, katanya, wanita dinasihatkan supaya lebih berhati-hati kerana aduan membabitkan penipuan peraduan itu semuanya diterima daripada mangsa wanita.
Namun, lelaki juga dinasihatkan supaya berwaspada dengan taktik licik yang digunakan agen peraduan itu bagi memanipulasi pemikiran mangsa.
“Jika anda dihampiri individu yang meminta anda membuat cabutan, menggores atau mengatakan anda memenangi sesuatu hadiah terutama produk atau pakej yang mahal, berhati-hatilah.
“Anda dinasihatkan terus menolak permintaan itu atau jangan membayar apa-apa nilai termasuk dalam bentuk wang tunai, menggunakan kredit kad serta barangan kemas yang dikehendaki kerana ia adalah perangkap untuk menjerat dan menipu.
“Kini, penganjur peraduan gores dan menang dilihat menggunakan taktik baru seperti mengupah golongan muda yang masih belum mendapat pekerjaan, kaum Melayu dan wanita cantik untuk ‘memancing’ mangsa,” ujarnya.
Saharudin berkata, agen peraduan itu seringkali mencari individu berkereta mewah, berketerampilan menarik atau wanita yang memakai barangan kemas dalam kuantiti banyak untuk dijadikan mangsa.
Bijak mengelakkan diri
Tambahnya, sikap tamak untuk menjadi cepat kaya, mahu mendapatkan barangan pada harga rendah dan teruja dengan hadiah bernilai ditawarkan turut menjadi punca mengapa seseorang itu sanggup menyerahkan wang simpanan.
Mangsa juga diminta segera membuat aduan kepada pihak berkuasa dan persatuan pengguna bagi memastikan nasib mereka terbela.
Justeru, selain menasihatkan orang ramai supaya bijak mengelakkan diri daripada skim berkenaan, Saharudin mengesa pihak berkuasa untuk bertindak cepat atas aduan yang diterima.
Usaha bagi membanteras peraduan gores dan menang ini akan lebih berkesan dengan kerjasama daripada semua pihak iaitu kerajaan, badan bukan kerajaan (NGO) pihak berkuasa, individu dan masyarakat.
“PPIM adalah badan bukan kerajaan yang bertindak sebagai orang tengah untuk membantu seseorang mangsa mendapatkan kembali wang yang dibayar.
“Jadi, dengan alamat penganjur peraduan yang disimpan mangsa, kami akan menemui orang atasannya untuk berbincang sehingga mampu mendapatkan kembali wang yang dibayar.
“Apa pun, dalam hal ini, pihak berkuasa perlu lebih tegas dan cepat dalam mengambil tindakan kepada penganjur yang berkenaan supaya masalah ini mampu ditangani,” katanya.
Oleh FAIZATUL FARHANA FARUSH KHAN
Penipuan Gores Dan Menang, Orang Ramai Tak Serik
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 Komen:
Post a Comment