Cara Berpakaian Biar Sesuai Status Pelajar

Tuesday, February 08, 2011

Dahulu, etika berpakaian di institusi pengajian tinggi (IPT) jarang diberi perhatian khusus kerana mahasiswa bergaya mengikut kesesuaian yang boleh diterima norma masyarakat.

Mereka meletakkan matlamat menjejakkan kaki di IPT untuk menuntut ilmu dan mengubah nasib keluarga dan tidak terlalu terdedah kepada aliran fesyen masa kini.

Pakaian sopan serta mudah disesuaikan dengan semua situasi menjadi pilihan sementara jika berpakaian kurang sesuai dan pelik dipandang serong serta dilabel dengan tanggapan negatif.

Bagaimanapun, kini etika berpakaian di kalangan mahasiswa mula menjadi bualan masyarakat dan sering diperkatakan pelbagai pihak kerana dikatakan sudah semakin melampau.

Bukan saja tidak mengikut tertib peraturan ditetapkan institusi, malah berani pula berpakaian seksi yang ternyata melanggar batas maruah individu dan menyakitkan mata masyarakat. Tidak kurang pula berpakaian pelik atas nama fesyen.

Ini sekali gus mencalar nama baik institusi, keluarga dan negara selain mengundang persepsi negatif umum tingkah laku mahasiswa di menara gading yang sepatutnya menjadi golongan contoh.

Persoalannya, adakah etika berpakaian ditetapkan selama ini sudah tidak bersesuaian dengan jiwa mahasiswa yang kebanyakannya terdiri daripada generasi muda yang moden dan fanatik terhadap fesyen?

Adakah kurangnya pemantauan masyarakat dan institusi pengajian menjadikan mereka semakin berani melanggar peraturan, sekali gus menggunakan alasan hak sebagai perisai daripada dikenakan tindakan?

Ketua program Jabatan Seni Reka Fesyen, Fakulti Seni Lukis dan Seni Reka Universiti Teknologi Mara ( UiTM), Anas Musavir berkata, mahasiswa perlu bijak dan akur terhadap peraturan ditetapkan serta jangan menggunakan alasan hak sebagai 'menghalalkan' segala perbuatan.

Menurutnya, setiap institusi mempunyai peraturan etika berpakaian wajib diikuti bagi membezakan mereka sebagai warga berpendidikan tinggi, selain mencerminkan budaya ilmu.

"Institusi tidak pernah menghalang, namun biarlah mengikut garis panduan ditetapkan, apatah lagi etika berpakaian itu mencerminkan kualiti diri dan institusi diwakili.

"Sebagai pusat pembudayaan ilmu, IPT mengharapkan warganya kelihatan profesional, terpelajar serta diiktiraf masyarakat.

"Bayangkan kalau mereka berpakaian selekeh, tidak senonoh atau sakit mata memandang, apakah tanggapan orang luar?

"Etika berpakaian bukan untuk menafikan hak individu tapi lebih kepada mendidik dan mendisiplinkan juga sebagai proses awal menyiapkan mereka mengikut peraturan selari keperluan industri pekerjaan. IPT bukan tempat untuk bergaya keterlaluan," katanya.

Setiap mahasiswa IPT tertakluk kepada peraturan berpakaian yang sudah ditetapkan iaitu kemas dan sopan.

Bagi lelaki, digalakkan memakai pakaian kasual dengan seluar panjang dan baju kemeja apabila ke kuliah atau berbaju kebangsaan.

Perempuan pula lebih manis berbaju kurung, berpakaian longgar dan bersesuaian untuk ke kuliah mahu pun ketika melaksanakan tugasan luar. Dilarang memakai selipar, berbaju jarang dan ketat, seluar pendek, seluar ketat, jeans lusuh, skirt pendek dan kemeja-T berkolar bulat.

Ditanya mengapa mahasiswa hari ini kian berani berpakaian tidak sepatutnya hingga 'menyakitkan' mata memandang, beliau berkata, faktor budaya dan mudahnya memperoleh pelbagai perkembangan terkini dunia fesyen melalui media menjadi penyumbang utama.

"Budaya masyarakat yang selalu bersikap terbuka dan ''tidak kisah' menyebabkan mereka semakin berani berpakaian sesuka hati. Mala,h ada juga IPT tidak mengambil tindakan terhadap pelajar yang melanggar peraturan dengan alasan tertentu, sekali gus menjadikan mereka besar kepala.

"Kesalahan tidak boleh diletakkan pada satu pihak semata - mata, yang cuai perlu ditegur dan diperbetulkan. Masalahnya, bukan semua mahu memikul tanggungjawab itu, justeru yang salah terus melakukan kesalahan.

"Apatah lagi dengan segala kemudahan mengikuti aliran fesyen terkini menyebabkan fesyen tidak bersesuaian turut dipakai. Ini impak yang kurang baik kerana bukan saja boleh merosakkan perjalanan ilmu, malah mampu memberi pengaruh negatif kepada orang lain," katanya mengakui mahasiswa wanita dan lelaki kini semakin taksub dengan gaya fesyen yang tidak mencerminkan diri mereka sebagai warga terpelajar.

Beliau berkata, meskipun ada mengatakan fesyen itu hak individu tapi tidak bermakna boleh melanggar peraturan sesuka hati.

Amat menyedihkan apabila mahasiswa yang diiktiraf golongan cerdik pandai menjadi hamba fesyen terutama yang tidak senonoh.

"Misalnya, ada mahasiswa lelaki kini 'bertukar' karakter seperti perempuan dengan memakai gincu atau berskaf, begitu juga sebaliknya. Inikah golongan yang boleh disandarkan harapan? Fenomena ini kian menakutkan," katanya.

Katanya, berfesyen tidak salah namun, perlu mengikut lunas tertentu supaya tidak mencalar maruah diri serta institusi yang selama ini berusaha memberi imej terbaik kepada masyarakat.

"Fesyen adalah subjektif dan fleksibel mengikut kehendak masing-masing, namun biarlah ada kesopanan serta tidak menjolok mata selain boleh mendatangkan masalah kemudian hari.

"Andaian peribadi tidak boleh diukur melalui cara berpakaian, namun interpretasi awal dibuat melaluinya. Dengan kata lain, pakaian melambangkan cermin diri seseorang. Mahasiswa perlu akur, institusi bukan tempat untuk melawa atau lawan bergaya tapi menuntut ilmu," katanya.

Bagaimanapun, beliau mengakui sebahagian besar mahasiswa tahu meletakkan kepentingan dan matlamat utama berada di IPT selain tidak terlalu taksub pada kehendak fesyen semasa.

"Menggayakan sebarang fesyen sama ada moden atau tradisional tidak salah, namun biarlah mengikut etika ditetapkan. Bukan melakukannya untuk institusi semata-mata, malah lebih penting demi menjaga peribadi dan maruah diri daripada pandangan serong masyarakat.

"Janganlah mencari glamor dengan berfesyen kerana ditakuti kalau tersilap langkah, buruk padahnya," katanya.

Mahasiswa Management and Science University (MSU), Muhammad Redzwan Ismail berkata, kebanyakan mahasiswa suka berfesyen kerana terikut gaya idola mereka meskipun sedar ia bertentangan dengan etika berpakaian ditetapkan IPT.

"Jiwa muda sentiasa ingin bersaing dan suka pada sesuatu yang cantik, malah ada menggunakan fesyen untuk meraih perhatian atau sokongan rakan lain. Mungkin juga ingin menutup kelemahan diri.

"Pendapat saya, tidak salah jika ingin bergaya, namun biarlah berpada-pada. Lebih penting, jaga nama baik institusi," katanya.

Info

> UNIVERSITI Teknologi Malaysia (UTM) mahu mahasiswanya berpakaian sopan dan kemas terutama pada Isnin yang dikhususkan sebagai 'Smart Day' dan mewajibkan pelajar perempuan berbaju kebangsaan sementara lelaki memakai kemeja, seluar slack dan bertali leher.

> Universiti Malaya menetapkan Peraturan Pakaian Pelajar UM sebagai kaedah tatatertib bagi menekankan kepada pelajar kepentingan ia dipatuhi, bukan sekadar garis panduan umum. Mereka yang melanggar peraturan akan diberi amaran, didenda dan digantung pengajian.

Oleh Ruhaiza Rusmin

0 Komen:

Post a Comment

 

ZONFINITI