Sepasang adik beradik yang merupakan pelajar tahun kedua jurusan perubatan di Universiti Mansurah, Mesir, melahirkan rasa syukur kerana tidak terperangkap dalam kejadian demonstrasi di negara itu.
Wan Mohamad Saifullah Wan Ariffin, 19 dan kakaknya, Wan Nor Syazdiana, 23, merupakan kumpulan pertama pelajar Terengganu yang tiba dari Mesir semalam.
Wan Mohamad Saifullah berkata keadaan keselamatan di Mansurah agak terkawal dengan penduduknya mengadakan demontrasi mendesak Presiden Hosni Mubarak meletak jawatan secara aman di bangunan kerajaan di Ad Daqaliyah.
“Pada mulanya kami merasa risau juga dengan keselamatan apabila melihat ada penduduk yang membawa parang dan kayu, namun selepas itu kami merasa lega apabila dimaklumkan mereka adalah penduduk setempat yang melakukan rondaan untuk mengawal keadaan di situ.
“Ini kerana terdapat sebuah penjara kecil tidak jauh dari kawasan itu dilaporkan telah diceroboh dan ada banduan yang terlepas,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Seberang Marang, di sini, Jumaat.
Wan Mohamad Saifullah, yang merupakan pelajar tajaan Yayasan Terengganu, berkata keadaan itu menyebabkan beliau dan kakaknya tidak terlalu risau dengan keselamatan mereka, namun tetap berikhtiar untuk keluar dari Mesir untuk mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini.
Wan Nor Syazdiana pula berkata, mereka terpaksa meminta pertolongan daripada keluarga salah seorang rakan pelajar di Mesir untuk membeli tiket penerbangan setelah kekurangan wang serta kesukaran menghubungi keluarganya.
“Masing-masing sukar menghubungi keluarga kerana kehabisan kad isian semula, kebetulan ada seorang rakan kami dapat menghubungi keluarganya dan meminta bantuan untuk membeli tiket penerbangan pulang untuk kami seramai lapan orang termasuk saya dua beradik,” katanya.
Katanya, walaupun tempahan tiket penerbangan mereka dijadualkan hari ini, namun mereka semua bertolak awal dari Mansurah ke Kaherah pada Selasa lepas dan mereka bernasib baik apabila berjaya mendapat tempat duduk penerbangan Gulf Air pada hari tersebut.
Ibu pasangan beradik tersebut Wook Awang, 51 turut bersyukur kerana kedua-dua anaknya selamat pulang ke tanah air dan berharap kejadian rusuhan di Mesir akan berakhir secepat mungkin bagi membolehkan anaknya itu kembali meneruskan pengajian.-BERNAMA
Tag: pelajar di Mesir, pelajar malaysia di mesir, rusuhan di Mesir
1 Komen:
Ar Rayah News - Mesir, Seruan Khilafah Menuju Perubahan Hakiki
http://ibnuyassir.blogspot.com/
Post a Comment