Dira Abu Zahar bakal berkahwin dengan Mohd Helmi

Sunday, February 27, 2011

Dira Abu Zahar, pelakon dan juga pengacara,sudah bergelar tunangan kepada Mohd Helmi Mohd Yusof. Jejaka yang bertugas sebagai Pengarah Fotografi (DOP) itu akhirnya berjaya membuka hati ibu tunggal kepada Tengku Anggun Deandra itu.

Dira Abu Zahar

Mereka bertunang pada 15 Februari lalu di rumah keluarga Dira di Melaka, sekali gus menepis gosip yang pernah mengaitkan Dira dengan aktor seperti Zahiril Adzim dan Craig Fong. Mohd Helmi adalah bekas tunangan kepada aktres dan model, Nasha Aziz.

“Memang benar bagai dikata. Insya-Allah, kalau jadi seperti yang dirancang kedua-dua belah pihak, baik keluarga Dira mahupun Helmi, kami mahu mempercepatkan perkara baik ini. Kalau tiada aral melintang, kami merancang berkahwin tahun ini. Tarikhnya akan diberitahu kelak. Lagipun benda belum jadi. Bimbang pula. Dalam soal hati, saya tak pernah membataskan diri sekalipun perkahwinan pertama saya dulu gagal dipertahankan. Dulu saya kahwin pada usia muda. Jadi dalam soal jodoh ini, saya terima dengan hati yang terbuka,” katanya.

Dira mengenali Mohd Helmi sejak setahun lalu. Kali pertama mereka bekerjasama ketika Dira terbabit dalam telefilem SMS (Salah Mesej Suami) terbitan Vision Work. Hubungan mereka mula rapat ketika masing-masing terbabit dalam produksi filem Untuk Tiga Hari arahan Afdlin Shauki.

“Dia seorang lelaki yang baik dan paling penting kami sangat serasi. Kami juga berkongsi banyak perkara sama. Dia juga mempunyai hobi menunggang motosikal berkuasa tinggi. Apa yang lebih penting, keluarga merestui perhubungan kami,” katanya.

Dalam pada itu, Dira turut ditanya mengenai bekas suaminya, Tengku Shafiz Rullah Tengku Mohd Shahid atau Ash. Akui Dira, sekalipun tidak memaklumkan perkara pertunangan itu kepada Ash, dia yakin Ash sudah tahu mengenai perkhabaran gembira itu daripada mulut orang lain.

“Saya yakin dia tahu hal ini. Malah, dia juga ada menghantarkan SMS mengucapkan tahniah kepada saya,” kata Dira.





0 Komen:

Post a Comment

 

ZONFINITI