Konsert Mohsen Namjoo batal

Tuesday, February 15, 2011

Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan tidak membenarkan konsert penyanyi kontroversi dari Iran, Mohsen Namjoo yang dijadual berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), Jumaat ini.

Menterinya, Datuk Seri Dr. Rais Yatim berkata, ini berikutan permohonan penganjur konsert tersebut ditolak oleh Agensi Pusat Permohonan Penggambaran Filem dan Persembahan Artis Luar Negara (Puspal) yang bermesyuarat hari ini.

Beliau berkata, penolakan itu dibuat kerana konsert tersebut tidak sesuai diadakan dari segi agama dan budaya masyarakat pelbagai kaum di negara ini.

”Permohonan konsert itu yang dibuat Jumaat lalu ditolak berikutan ia tidak sesuai dengan khalayak di Malaysia kerana terdapat pertembungan nilai dan persepsi yang dibawa penyanyi itu.

“Malah, rekod peribadi penyanyi antarabangsa itu juga jelas menunjukkan dia merendahkan martabat Islam dan ayat suci al-Quran mengukuhkan lagi untuk tidak membenarkan konsert itu diteruskan,” katanya kepada Utusan Malaysia menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS) di sini, hari ini.

Semalam, Ahli Parlimen Kulim-Bandar Baharu, Zulkifli Noordin membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi bagi meminta siasatan dilakukan terhadap pengeluaran permit konsert Mohsen Namjoo.

Menurut Zulkifli, beliau menerima banyak bantahan daripada orang ramai berhubung penganjuran konsert artis yang digelar Bob Dylan Iran itu kerana kebanyakan lirik dalam lagunya didapati menghina Islam.

Dalam perkembangan sama, pihak penganjur konsert Mohsen Namjoo baru sahaja mengemukakan permohonan permit mereka kepada Puspal pada Jumaat lalu.

Sementara itu, jurucakap penganjur yang enggan dikenali ketika dihubungi Utusan Malaysia berkata, pihaknya mendapat panggilan telefon daripada Puspal yang menyatakan permohonan permit konsert tersebut telah ditolak.

“Konsert Namjoo in ‘A Minor’ Live in Malaysia: Live in Kuala Lampur akan tetap diteruskan Jumaat ini di sebuah lokasi yang dirahsiakan di ibu negara.

“Konsert tersebut bagaimanapun dihadkan kepada komuniti Iran yang berada di Malaysia untuk bertemu dengan penyanyi itu,” katanya.





0 Komen:

Post a Comment

 

ZONFINITI