Drama sketsa Gila Gila,setiap Isnin, jam 9.30 malam,Astro Prima

Tuesday, February 08, 2011

Drama sketsa Gila Gila, adaptasi daripada komik popular, Gila Gila bersiaran sebanyak 13 episod. Gila Gila disiarkan setiap Isnin, jam 9.30 malam di Astro Prima. Ia menampilkan barisan pelakon komedi seperti Didie Alias, Sharifah Shahora, Enot, Along Raja Lawak, Soya dan Bob Fahrin.

Gila Gila arahan Amore Rizan dan Michael Ang dan diterbitkan Box Lite Films Sdn Bhd. Ia menampilkan segmen From Taiping With Love, Adegan Yang Kita Tidak Ingin Lihat, Atuk Aku, Tan Tin Tun, Aku Budak Minang, 3 Dara Pingitan, Adegan Yang Tak Patut Dilihat dan Old Malay Movie Spoof.

Didie berkata, walaupun membesar dengan komik Gila Gila, tetapi bukan mudah mahu menggambarkan ke layar TV.

“Saya sendiri terpaksa melakukan kajian dan perlu memahami karakter kartun dalam majalah yang berusia lebih tiga dekad itu.

“Bukan kerja mudah dari komik nak visualkan ke dalam bentuk komedi TV. Saya bersama enam barisan pelakon utama terpaksa mendalami karakter kartun dalam majalah Gila Gila. Bukan sedikit, mereka punya pelbagai karakter.

Saya banyak bertanya pada penggemar majalah humor itu kerana ada sebahagiannya saya sudah terlupa kerana terlalu lama.

“Bagaimanapun, saya cukup tertarik dengan segmen yang menampilkan 3 Dara Pingitan. Kalau sebut Gila Gila, pasti kita teringat Ujang dan 3 Dara Pingitan seperti Esah, Anoi dan Awa. “Saya membawa watak Esah, kakak yang paling tua. Mendalami watak Esah, saya tidak boleh keterlaluan kerana Esah, seorang yang keterlaluan. Pengarah terpaksa mengawal lakonan kami supaya tidak lari daripada skrip Gila-Gila. Memang rasa tak bebas dan lepas, tetapi karakter perlulah mengikut skrip,” kata Didie yang turut tersenarai dalam Top 5 kategori Artis Komedi Wanita Popular, Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 2010.

Along berkata, dia teruja selepas ditawarkan bersama pelakon lain dalam sketsa Gila Gila. Mungkin dirinya tidak berdepan masalah kerana komik Gila Gila adalah majalah kesukaannya sejak di bangku sekolah. Dulu, dirinya sanggup mengikat perut untuk membeli komik kesukaan ramai itu.

“Saya pernah membintangi drama Aku Budak Minang pada musim pertama. Mungkin jalan cerita yang diketengahkan sketsa Gila Gila tidak sama, tetapi visualnya tidak jauh berbeza.

“Cuma, dalam sketsa Gila Gila, banyak karakter kartun yang perlu didalami dan difahami. Semua pelakon terbabit dalam banyak segmen dan menjadi tugas kami, memahami karakter kartun yang dikehendaki. Bagaimanapun, itu bukan masalah besar kerana seorang kartunis, Soya turut membintangi sketsa ini. Dia banyak memberi maklumat dalam menggambarkan komik ini dalam bentuk komedi,” katanya yang pertama kali disenaraikan dalam Top 5 kategori Artis Komedi Lelaki Popular ABPBH 2010.

“Alhamdullilah, hasil kerja keras saya membuahkan hasil. Saya percaya penangan filem Adnan Sempit meletakkan nama saya sebaris dengan pelakon komedi lain. Bagaimanapun, saya tidak pernah berasakan sudah berada di tahap selesa, banyak lagi impian yang belum dikecapi,” katanya.

Shahora pula berkata, dia seronok bersama team sketsa Gila Gila kerana dikelilingi teman baiknya seperti Enot dan Didie. Malah pelakon lain, Along, Soya dan Bob Fahrin memberi kerjasama yang baik dalam menjayakan segmen demi segmen.

“Saya memang menyimpan koleksi majalah Gila Gila. Apabila ditawarkan berlakon dalam sketsa ini, saya terus mencari komik-komik lama yang masih disimpan dengan baik. Saya percaya setiap isi rumah pastinya memiliki komik ini dan saya pula adalah pengikutnya sejak dulu lagi.

“Apabila ramai pelawak berada di lokasi penggambaran keadaannya memang gamat. Kadang kala pengarah terpaksa mengawal lakonan kami kerana selalu saja mencetuskan gelak ketawa. Bagaimanapun, kami tetap mengikut garis panduan watak yang dikehendaki, tidak sesekali berlakon sesuka hati,” katanya.



Tag: Drama sketsa Gila Gila, Gila Gila Stro Prima, majalah Gila Gila

0 Komen:

Post a Comment

 

ZONFINITI