Filem Enemy of the State terbitan 1998 lakonan Will Smith dan Gene Hackman memaparkan teknologi canggih yang kononnya digunakan oleh agensi perisikan Amerika Syarikat (AS) menggunakan imbasan satelit untuk mengesan kedua-dua pelarian tersebut.
Satelit tersebut disambungkan kepada kamera-kamera di jalan raya, CCTV di kedai-kedai dan sebagainya. Bila lokasi Smith dikenal pasti, satu pasukan pemburu dikejarkan ke situ. Ia satu cara berkesan untuk mengesan orang yang dikehendaki dan menahannya, menurut filem itu.
Ada yang percaya AS memang memiliki keupayaan teknologi sedemikian. Ramai juga yang sinikal filem itu tidak lebih sekadar propaganda kerana sehingga sekarang, AS masih gagal mengesan Osama bin Laden, meskipun menggunakan teknologi satelit untuk memburunya di seluruh Afghanistan.
Mungkin teknologi pengimejan satelit tersebut masih di tahap awal ketika filem itu diterbitkan pada 1998 dan mungkin sudah sempurna hari ini. Tidak dapat dipastikan kerana Pentagon tidak pernah mengisytiharkannya secara rasmi dan terbuka. Namun, imej satelit kini tidak lagi eksklusif kepada sektor pertahanan semata-mata. Sebaliknya, ia menjadi milik semua, seiring dengan evolusi ledakan Internet. Hari ini, anda boleh mengaplikasikan kaedah filem Enemy of the State tersebut dari komputer riba atau iPad anda, dengan sekadar melayari laman carian Google Maps dan Google Earth iaitu Google Street View.
Secara asasnya, Google Street View ini boleh dirumuskan sebagai satu peta yang maju kerana ia bukan sekadar membantu menunjuk arah lokasi yang dicari tetapi juga memaparkan gambar, malah ada sesetengah kawasan, gambar masa sebenar!
Ia adalah teknologi yang memberikan pandangan panorama daripada pelbagai sudut jalan-jalan di dunia. Ia dilancarkan pada 25 Mei 2007, bermula di beberapa kota di AS dan secara perlahan-lahan diperluaskan ke negara luar.
Imejnya diambil daripada beberapa kereta yang direka khas dengan kamera. Pada 2008, kereta seumpamanya dilihat di Singapura dan seterusnya perkhidmatan tersebut diperolehi di republik itu setahun kemudiannya. Di Malaysia, belum lagi dilaporkan kewujudan kereta seumpamanya tetapi sementara menunggu ia berlaku, eloklah kerajaan dan pihak berkaitan berbincang mengenai fungsi, manfaat dan keburukan daripada Google Street View ini.
Daripada aspek pelancongan, ia sangat berguna kepada penduduk tempatan untuk meninjau sama ada bangunan yang dituju itu benar-benar wujud atau pelawat luar yang mahu menuju ke destinasi tertentu. Ia membolehkan pengguna ‘melawat’ lokasi tertentu secara maya dalam peta maya dan bila berada di lokasi sebenar, amat membantu kerana ia menunjukkan bangunan, lorong dan arah tuju sebenar yang dilihat sebelum itu. Malah, ia juga sangat berguna kepada penggemar acara memburu harta karun. Ini aspek positif.
Pihak berkuasa Malaysia perlu mengikuti dengan teliti perbahasan dan tindakan perundangan yang diambil oleh sebilangan daripada 27 negara khususnya AS, Jerman dan Austria terhadap perkhidmatan Google ini yang didakwa melanggar kebebasan peribadi individu.
Seorang ahli Kongres AS dari Savannah, Mike Rogers menggesa Suruhanjaya Komunikasi Persekutuan AS supaya menyiasat Google yang mengaku telah ‘mencuri masuk’ ke transmisi Wi-Fi pengguna awam semasa mengumpul data program pemetaan Street View.
”Selepas hampir sembilan bulan sejak Google mengaku mengumpul data ini, kita masih tidak menerima jawapan kenapa ia dibenarkan berlaku dan berapa ramai orang terjejas, apalagi jaminan sahih bahawa ia tidak akan berlaku lagi,” kata Rogers dalam surat rasminya.
Kereta Street View dipandu mengelilingi kota dan mengambil gambar yang kemudiannya disiarkan dalam talian dan disepadukan dengan Google Maps. Google mengaku kenderaannya itu juga mengumpul data dari rangkaian Wi-Fi yang terbuka, tetapi mengatakan ia tidak lagi berbuat demikian.
Antara maklumat yang diperoleh dari Wi-Fi terbuka ialah alamat e-mel, pesanan ringkas, URL, nama pengguna dan kata laluan, nama, telefon rumah dan alamat rumah dan paling membimbangkan, nama orang yang menderita penyakit tertentu, lengkap dengan nama dan alamat mereka.
(Dalam konteks ini, anda yang gemar ‘menumpang’ menggunakan Wi-Fi percuma di bistro atau restoran, kenalah berhati-hati kerana Wi-Fi seumpamanya langsung tidak selamat dari segi mengawal selia data peribadi yang keluar dari telefon pintar atau komputer riba anda).
Pengetahuan
Google adalah sebuah organisasi enjin carian Internet yang memainkan peranan penting dan hebat dalam memajukan lagi Internet tetapi pengguna harus mengetahui apa yang tersirat, tersurat dalam pengalaman mereka membangunkan Internet, terutama yang membabitkan soal keselamatan data pengguna.
Dari konteks keselamatan negara, Google Street View juga menimbulkan keresahan. Singapura dilaporkan mengenakan syarat khas kepada Google supaya tidak memaparkan kawasan-kawasan ketenteraan. Tindakan yang sama diambil oleh rejim Zionis Israel, yang masih gementar jika lokasi ketenteraannya dijadikan sasaran oleh pejuang Palestin.
Uniknya dalam kes Israel ini ialah ia telah rejim Yahudi ini telah berjaya meletakkan Tel Aviv sebagai kota pembangunan teknologi canggih (banyak perisian Internet yang kita guna hari ini, di inovasi dari Israel yang memindahkan operasinya ke Amerika, dan dianggap sebagai produk Amerika bukan Israel). Tetapi pada masa yang sama, pihak tenteranya amat risau Google Street View akan diguna oleh pejuang Palestin untuk mengenal pasti lokasi strategik sebagai sasaran serangan.
Isnin lalu, satu pasukan petugas Kabinet Israel diketuai Menteri Perisikan, Dan Meridor mengarahkan pakar-pakar untuk bekerjasama dengan Google Inc. bagi mencari cara untuk melaksanakan program Street View ‘seberapa segera yang boleh’. Pasukan tersebut mempertimbangkan manfaatnya seperti meningkatkan tarikan pusat pelancongan tetapi dengan keselamatan awam dan peribadi terjamin.
Kritikan yang melekat pada Street View ini ialah ia boleh mendedahkan orang di lokasi- lokasi yang mereka tidak mahu dilihat atau melakukan sesuatu yang memalukan. Misalnya, dilihat keluar dari pusat hiburan malam atau berdua-duaan dengan kekasih gelap.
Alat Internet ini juga menjadi masalah kepada industri hiburan. Ia terkena pada program popular seperti The Amazing Race. Blogger yang suka ‘merosakkan program’ menggunakan Google Street View untuk mengenal pasti destinasi seterusnya peserta, berdasarkan sedutan gambar yang disiarkan semasa promosi program. Bangunan yang dikenal pasti itu diumumkan dalam blog dan dari situ, mereka membuat unjuran mengenai lokasi seterusnya.
Untuk menerima bulat-bulat Google Street View ini pun tidak elok, malah sama negatif jika menolaknya sama sekali. Ia ada kelebihan untuk memajukan sektor pelancongan tetapi berisiko daripada segi keselamatan negara. Tentulah kita tidak mahu lokasi kem tentera atau polis kita dipantau dengan mudah oleh negara asing atau penyangak profesional.
Semua ini harus diambil serius oleh Suruhanjaya Multimedia dan Komunikasi Malaysia. Pesanan ini ditekankan di sini kerana kerajaan macam tidak ambil berat mengenai kelebihan dan keburukan penggunaan telefon pintar Blackberry tatkala banyak negara mengambil langkah proaktif mengawalnya. Bukan hendak menyarankan Blackberry atau Google Street View diharamkan, cuma sekadar meminta kerajaan mengambil inisiatif mengadakan penilaian sewajarnya mengenai kaedah penggunaannya agar kita tidak rugi dalam ledakan Internet ini.
Oleh JOHARDY IBRAHIM
0 Komen:
Post a Comment