Air Kelantan dicemari logam, rakyat kecewa

Monday, November 21, 2011

Data rasmi Panduan Industri Air Malaysia (PIAM) 2011 mengenai Kelantan menduduki tempat paling bawah mendapat bekalan air bersih sehingga dilabelkan sebagai negeri yang memiliki air kurang selamat dan berisiko mendapat reaksi kurang menyenangkan di kalangan orang ramai.

Kementerian Kesihatan menerusi uji kaji berasingan bagi tempoh 2008-2010 juga mendapati air di negeri itu mengandungi arsenik, merkuri, mangan dan plumbum, iaitu logam berat yang kesemuanya boleh memudaratkan kesihatan termasuk mengakibatkan kanser.

Rata-rata rakyat Kelantan kecewa apabila air yang dibekalkan kepada mereka didakwa dicemari dengan unsur-unsur logam yang boleh memudaratkan kesihatan.

Jika selama ini mereka berhadapan dengan masalah tekanan air rendah dan tidak bersih, dakwaan menyatakan air yang digunakan mereka turut dicemari unsur logam amat membimbangkan para pengguna.

Seorang penduduk, Normah Harun, 45, berkata, jika apa yang didakwa itu benar, keadaan tersebut tidak sepatutnya dibiarkan berlarutan kerana air yang disalurkan itu merupakan satu-satunya sumber yang ada untuk kegunaan harian.

"Kerajaan mesti peka untuk melakukan sesuatu demi kesihatan serta kesejahteraan rakyat kerana hanya itu pilihan yang kami ada. Jika sebelum ini pengguna hanya diancam masalah tekanan dan air tidak bersih, tetapi kalau sampai boleh menyebabkan penyakit, itu boleh dianggap kritikal.

"Memang sejak bermasalah dengan bekalan air bersih saya sering menggunakan air yang ditapis untuk kegunaan harian, namun amat berharap kerajaan negeri menyelesaikan masalah ini dengan segera," katanya.

Fauziah Mahmood, 50, pula mengaku tidak mengetahui mengenai air tidak bersih dibekalkan kepada rakyat di negeri ini selama ini kecuali melalui hebahan media.

"Sejak bertahun-tahun lamanya saya dan keluarga memang menghadapi masalah air yang disalurkan ke paip di rumah yang tidak berapa sesuai digunakan untuk memasak nasi atau dijadikan air minuman.

"Sekiranya laporan dalam akhbar ini benar, saya merayu kerajaan negeri Kelantan melakukan tindakan sewajarnya sebelum membahayakan kesihatan rakyat negeri ini," ujarnya.

Seorang lagi penduduk, Azura Zakaria, 38, memberitahu, kebanyakan pengguna berhadapan dengan masalah tekanan air rendah dan sesekali keruh dan berkeladak.

"Apa yang saya tahu tekanan air rendah dan kelihatan macam kotor walaupun selepas dididihkan, jadi saya terpaksa guna air tapis yang dibeli untuk minum dan masak lebih-lebih lagi untuk menyediakan susu anak. Saya lebih berhati-hati kerana bimbang mereka mendapat sakit perut.

"Selepas pendedahan akhbar, saya sekeluarga mesti lebih peka dengan penggunaan air di negeri ini dan usaha daripada pihak-pihak berwajib untuk menjamin bekalan air bersih dan tidak tercemar kepada rakyat mesti dilakukan," katanya.

~ Utusan

0 Komen:

Post a Comment

 

ZONFINITI